-Seorang Maisara- (Bahagian 9)
Maisara mulai sibuk. Pelanggan tidak putus-putus datang membeli ikan-ikan segar dari gerai Tauke Wong. Tidak cukup tangan Maisara melayan pelanggan yang datang. Gerai Tauke Wong bukan sahaja menjual ikan-ikan segar, malah ketam, belangkas, dan udang-udang segar juga ada dijual di situ. Harganya juga sangat berpatutan. Tidak hairanlah gerai Tauke Wong sentiasa digemari ramai!
"Dik, udang galah sekilo!"
"Bagi akak ikan bawal lima kilo."
"Nak ikan siakap yang besar tu!"
Kesabaran yang amat tinggi diperlukan dalam melayan karenah pelanggan. Ada pelanggan yang mesra dengan peniaga dan tidak kurang ada juga pelanggan yang kedekut dan sentiasa tawar-menawar harga walaupun harga yang paling rendah sudah diberikan! itu semua sudah biasa Maisara hadapi. Hanya satu jenis pelanggan sahaja yang Maisara memang tak nak layan.
Pelanggan yang datang hendak menggatal!
Maisara tidak dapat mengelak kemungkinan ada pelanggan lelaki yang datang membeli ikan di gerai Tauke Wong semata-mata untuk menganggu Maisara. Bukan sekali dua perkara itu berlaku, tetapi berkali-kali sehingga Maisara sudah boleh hafal nama dan rupa lelaki-lelaki miang itu.
"Dik, akak nak beli udang galah empat kilo." Suatu suara lembut dan gemersik kedengaran di telinga Maisara. Maisara yang masih bergelut untuk memasukkan beberapa ekor udang galah yang masih hidup ke dalam plastik segera mendongak ke atas, menoleh ke arah si pemilik suara lembut itu.
"Wah!" Pandangan mata Maisara terpaku pada seorang wanita berbaju kurung dan bertudung labuh di hadapannya. Maisara terlopong seketika, langsung tidak menyedari seekor udang galah sedang menyepit ibu jari kanannya.
"Dik, akak nak udang galah empat kilo!" Wanita bertudung labuh itu menggerak-gerakkan tangannya di hadapan Maisara, menyebabkan Maisara pantas tersedar menungannya sendiri.
"Ya. Baik kak! Udang galah empat kilo ya!" Maisara bersuara ceria, senyuman lebar terukir pada wajah gadis berkulit hitam manis itu.
Selesai sahaja membayar harga udang galah yang dibeli, si wanita bertudung labuh mengucapkan terima kasih kepada Maisara. Kakinya mulai melangkah meninggalkan gerai Tauke Wong. Maisara tidak mampu menahan dirinya daripada terus memerhati langkah wanita bertudung labuh itu sehinggalah kelibat wanita itu menghilang di sebalik selekoh menuju ke laluan kiri pasar.
"Kamu pun mau jadi begitu?" Tauke Wong menyoal tiba-tiba.
"Begitu apa?" Maisara mengerutkan dahi, tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Tauke Wong. Tauke Wong tersenyum kecil. Kepalanya diangguk-anggukkan perlahan.
"Saya tau, Maisara. Saya tau kamu kagum dengan itu perempuan tadi." Ujar Tauke Wong tenang. Maisara itu sudah seperti anaknya sendiri, masakan dia tidak tahu apa yang ada di benak gadis berkulit hitam manis itu. Sudah dua tahun Maisara bekerja dengannya. Dan dua tahun itu bukan masa yang singkat! Cukup lama!
"Cantik! Cantik kerana dia ikut aturan Tuhannya." Suara Maisara sayu. Sayu, mengenangkan dirinya tidak mampu menjadi seperti wanita itu. Sayu, kerana dirinya derhaka kepada Tuhan yang telah menciptakan dirinya. Sayu, yang tidak terungkap dengan kata-kata.
Sayu yang sangat menyedihkan!
"Kadang saya sendiri naik pelik tengok orang Islam, orang pakai tudung labuh dihina macam-macam. Jika saya, saya suka, walaupun saya orang Cina. Sebab saya banyak kawan Melayu yang bertudung labuh. Dan mereka tak jahat pun, tak macam apa yang olang lain selalu cakap pasal mereka!" Tauke Wong bersuara yakin, wajah Maisara yang sugul dan muram diperhati.
"Sebenarnya Tauke, lebih senang kita katakan "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" dan saya rasa, Tauke faham maksud perumpamaan itu."
Maisara mengeluh kecil.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Itulah yang sering terjadi pada zaman ini.
"Bila kita membawa imej Islam, tidak kira siapa pun kita, di mana pun kita berada, orang akan sentiasa memerhatikan kita. Apabila akhlak tidak seiring dengan pakaian atau imej Islam yang kita tampilkan, saat itulah kita telah menimbulkan "fitnah" kepada Islam"
Entah di mana Maisara membaca kenyataan tersebut. Amat terkesan hati Maisara ketika membacanya. Sangat terkesan! Kata-kata itu benar-benar menggugah jiwa walaupun Maisara bukanlah daripada golongan mereka yang bertudung labuh mahupun berpurdah. Langsung tidak! Tetapi Maisara ada niat untuk menjadi seperti mereka itu.
Maisara percaya.
Masih ada muslimah yang benar-benar menghargai nilai tudung labuhnya.
Masih ada muslimah yang benar-benar menghargai nilai secebis kain di wajahnya. Masih ada! Maisara yakin.
Senyuman kecil terukir di bibirnya.
Wajah Tauke Wong dipandang serius.
"Tauke, saya nak tanya. Adakah saya masih boleh bekerja di sini kalau saya membuat keputusan untuk mula memakai tudung?" Maisara menyoal tiba-tiba. Tauke Wong kelihatan agak terkejut mendengar soalan yang diutarakan oleh Maisara.
"Bertudung? Kamu mahu bertudung?" Tauke Wong memandang wajah Maisara dengan pandangan tidak percaya. Berkelip-kelip mata orang tua berkepala botak itu merenung Maisara.
"Ya, Tauke! Saya rasa saya nak mula pakai tudung."
Maisara menjawab dengan suara yang kedengaran sangat menyakinkan. Sungguh, hatinya sangat berharap Tauke Wong masih dapat menerima dirinya bekerja walaupun ketika dia sudah memakai tudung nanti.
"Maisara, saya langsung tiada masalah dengan itu. Bertudunglah jika itu membuatkan kamu senang hati! Kamu senang, saya lagi manyak senang!" Tauke Wong tergelak kecil.
Maisara tersenyum puas!
Matanya dipejamkan erat.
Bibirnya menggumam perlahan.
"Alhamdulillah! Kau permudahkan, ya Allah!"
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan