Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 24 Julai 2015

Seorang Maisara (Bahagian 8)

-Seorang Maisara- (Bahagian 8)


"Kamu dah bawa bekal makanan kamu, Maisara? Nanti terlupa pula dibawak, berlaparlah kamu nanti." Halimah memandang anak gadisnya yang sedang mengikat tali kasut di beranda rumah.
"Sudah mak, dalam beg!" Jawab Maisara pendek.
Gadis itu bingkas bangun. Tangan ibunya disalami pantas sebelum gadis itu berlari-lari menuju ke arah simpang jalan di hadapan rumahnya. Halimah mengerutkan dahi, sedikit aneh melihat tingkah laku Maisara pada pagi itu. Bangun awal untuk sembahyang subuh dan kemudian, menawarkan diri untuk menghantar adik bongsunya ke tadika. Perkara yang tak pernah dibuat oleh Maisara sebelum ini. Pelik!
"Baik-baik jalan tu, Maisara!" Halimah sempat menjerit kecil.
Maisara menoleh ke arah ibunya, dan gadis itu melambai-lambaikan tangan sambil tersengih-sengih. Maisara meneruskan perjalanan menuju ke pasar, tidaklah begitu jauh dari kawasan kampungnya. Tiga puluh minit jika berjalan kaki seperti biasanya. Benda kecil bagi Maisara. Sudah terbiasa!
"Maisara, awal kamu hari ni. Tadi nenek tengok kamu hantarkan si Haikal ke tadika. Jarang berjumpa kamu sanggup hantarkan adik kamu pagi-pagi ke sekolah!" Mak Som yang berjalan berlenggang sambil membawa bakul di tangan menegur Maisara. Orang tua itu cukup mesra dengan Maisara sekeluarga. Dan Maisara sudah menganggap orang tua itu seperti neneknya sendiri.
"Tak adalah, nek! Saja bangun awal."
Mak Som merenung pakaian yang dipakai oleh Maisara dari bawah sehingga ke atas dan kemudian dari atas sehingga ke bawah. Maisara yang sudah biasa dengan semua itu hanya mengeluh kecil.
"Seluar jeans kamu sudah koyak teruk di bahagian lutut, Maisara. Dari dulu lagi dah nenek suruh kamu beli seluar baru tetapi kamu, kepala batu! Degil sangat." Mak Som menggeleng-gelengkan kepalanya sambil bercekak pinggang. Maisara sempat terfikir rupa orang tua itu ketika itu tidak ubah seperti "Mak tiri Cinderella" yang bengis.
Tetapi mak tiri yang baik hatilah.
Kerana Mak Som seorang wanita tua yang sangat penyayang.
"Kadang-kadang, orang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kita lebih baik dengan kita berbanding saudara-mara dan kaum kerabat kita sendiri. Mak Som dan Mak Su tu, ibarat langit dengan bumi!"
Itulah yang selalu Maisara luahkan kepada abah dan ibunya. Seperti biasa, ibunya sudah pasti akan mengelak setiap kali soal "Mak Su" dibangkitkan oleh Maisara.
"Bersangka baiklah dengan Mak Su kamu."
"Maafkanlah dia!"
"Mak Su kamu tak sengaja!"
Maisara sudah bosan mendengar semua itu dari mulut ibunya. Tetapi mengenangkan ibunya yang sangat menyayangi Mak Su, Maisara hanya memekakkan telinga dan menahan rasa setiap kali si ibu bertindak menyebelahi Mak Su. Kerana si ibu yang sangat dikasihi, Maisara sanggup bertahan.
"Nah, ambil duit ni. Beli seluar baru. Jangan lupa belikan sekali untuk si Haikal tu. Nanti dia merajuk pulak kalau dapat tahu belikan untuk kamu saja." Mak Som menghulurkan wang kertas berwarna ungu kepada Maisara. Maisara menyambut huluran itu dengan tangan terketar-ketar.
"Banyak duit ni nek!" Maisara bersuara terkejut.
"Ambillah, nenek tak suka orang pulangkan sesuatu yang telah nenek berikan. Kamu tahu kan sikap nenek?" Suara Mak Som separuh mengugut, dan itu menyebabkan Maisara tergelak besar. Pantas tangan Mak Som memiat telinga Maisara.
"Anak dara tak elok gelak macam pontianak!" Geram benar nada suara Mak Som. Matanya dijegilkan ke arah Maisara yang mengaduh kesakitan. Maisara mengetap bibir, sakit benar telinganya dipiat oleh orang tua berbadan gempal itu.
"Baiklah! Baiklah! Saya tak akan gelak begitu lagi." Maisara mengalah, sudah tidak dapat menahan rasa sakit di telinganya. Qaisara mengeluh panjang, memang berbisa betul tangan Mak Som! Sakit!
"Bagus! Nanti beli pakaian baru untuk kamu dan Haikal tau, jangan lupa pulak. ;Lain kali kalau nenek terserempak kamu masih pakai jugak jeans koyak-rabak ni, siap kamu. Faham?"
Maisara menahan gelak, kepalanya diangguk-anggukkan pantas. Sempat gadis itu mencium pipi Mak Som yang putih bersih sebelum terus melangkah menuju ke pasar. Mak Som tersenyum sendiri memerhati telatah Maisara, cuma gadis itu dan Haikal yang selalu menjadi penghibur buat dirinya tatkala sunyi.
Hendak harapkan cucu sendiri, alamatnya sampai ke matilah Mak Som kesunyian. Tak pernah langsung terfikir akan keadaan nenek mereka di kampung. Jika pulang ke kampung pun, hanya sekejap cuma. itu pun hanya pada waktu raya. Jika tak, jangan harap muka mereka hendak muncul di kampung ini.
"Oh mak kau!" Orang tua berbadan gempal itu melatah. Seekor kucing hitam melompat dari tepi jalan ke arah Mak Som. Pantas orang tua itu mengatur langkah menuju ke kebunnya, kucing hitam yang melompat ke arahnya dihalaunya dengan tangan. Sempat Mak Som mengherdik kucing hitam yang bengis itu.
"Pergi kau ke sana! Jangan kacau aku!"
Sementara itu Maisara sudah pun sampai di kawasan pasar, laju kaki gadis itu meluru ke arah gerai ikan Tauke Wong. Tauke berbangsa Cina itu tersenyum lebar ketika melihat Maisara tiba di situ. Maisara itulah satu-satunya pekerja Tauke Wong yang tahan lasak dan tidak takut berjemur di bawah terik mentari. Bahkan kadang-kadang, keberaniannya mengalahkan lelaki.
"Amoi hitam manis, baru sampaikah?" Ramli, salah seorang peniaga yang turut berniaga di pasar tersebut menegur Maisara tiba-tiba. Maisara tersenyum sinis ke arah Ramli, langsung tidak melayan pertanyaan lelaki tersebut.
"Tauke Wong, lu punya pekerja banyak sombong sama orang!" Ujar Ramli sambil ketawa besar. Beberapa orang peniaga di kawasan berhampiran juga turut serta ketawa. Tauke Wong menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Perkara seperti itu memang terjadi setiap hari,.
"Si sombong Maisara!" Jerit salah seorang peniaga yang berniaga di kawasan seberang. Panas juga hati Maisara dibuatnya, tetapi gadis itu masih enggan melayan "kegilaan" lelaki-lelaki miang itu. Gatal!
Ada yang sudah beristeri.
Ada yang sudah ada anak lima.
Ada yang sudah bertunang.
Tetapi masih galak menganggu anak dara orang.
What a shame!
"Ramli, tak payahlah. Orang lelaki berpakaian macam engkau, manalah dia nak pandang! Cuba kau pakai kopiah, berjubah, berserban dan bawa tasbih ke sana-sini. Confirm dia lekat dekat engkau." Johari, lelaki yang berniaga buah nanas di gerai bersebelahan turut mencelah.
"Jadi imam muda! Kah kah kah!" Ramli bersuara sinis. Ketawanya semakin galak dan hati Maisara pun sudah semakin panas. Silap hari bulan, ada yang akan merasa penampar selepas ini.
"Eh, lu semua tidak ada kerja lainkah? Tidak berhenti mahu kacau Maisara, lu olang patut malu, lu semua itu suami olang, bapa olang, masih mahu kacau anak dara olang. Kalau saya, malu saya!" Tauke Wong menyampuk, tidak mahu membiarkan Maisara terus dijadikan bahan gurauan.
Maisara itu sudah seperti anaknya sendiri.
Mana mungkin Tauke Wong akan membiarkan Maisara diperlekehkan sesuka hati? Kalau sedikit, masih boleh dipertimbangkan. Ini pula, sudah keterlaluan, terlalu berlebihan. Maisara bukan patung yang tidak mempunyai perasaan. Gadis itu manusia! Ada hati, ada perasaan!
"Tauke Wong, kita main-main saja sama dia! Jangan marah haaa!" Ramli bersuara takut-takut, wajah Maisara yang masam mencuka dikerling sekilas. Wajah gadis berkulit hitam manis itu jelas menunjukkan perasaan benci dan meluat yang tidak dapat disembunyikan lagi.
"Apa tengok-tengok? Kau nak aku lempar belangkas ni dekat muka kau?"
Qaisara bersuara kasar, belangkas yang masih hidup di dalam besen digapai, hendak dilemparkan ke arah Ramli. Terkejut beruk Ramli dibuatnya! Pantas lelaki berusia tiga puluh tahun itu berpura-pura menyusun sayur-sayuran yang dijual olehnya.
"Anak rimau dah naik angin!" Johari mencelah lagi. Ketawanya meledak melihat wajah pucat Ramli dan beberapa orang peniaga lain yang turut menikus sebaik sahaja mendengar suara Maisara meninggi.
"Dan tikus pun terus berhenti berbunyi." Tauke Wong menyambung ayat Johari. Suka benar Tauke Wong melihat Ramli terus mendiamkan diri sebaik sahaja dijerkah oleh Maisara. Padan muka, itulah miang sangat! Biar bertemu buku dengan ruas. Maisara bukan sembarangan gadis yang dapat dibuat bermain-main.
"Silent revenge"
Itulah gelaran yang diberikan oleh Mei Ling, anak gadis Tauke Wong kepada Maisara disebabkan gadis itu suka mendiamkan kemarahannya dan saat kemarahannya meledak, di situlah tercetusnya "bahaya" yang tak dijangka!
-Akan bersambung-


Perhatian : 

Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya. 

Harap maklum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan