-Seorang Maisara- (Bahagian 10)
Selesai sahaja berniaga di gerai Tauke Wong, Maisara terus singgah ke Sharmila's Hijab yang menjual pelbagai jenis tudung dan pakaian muslimah. Gadis itu kelihatan agak kekok melangkah masuk ke kedai muslimah itu, inilah kali pertama Maisara singgah ke tempat itu. Sebelum ini, dia hanya melihat-lihat dari jauh sahaja.
"Nak beli tudung ke, dik?" Salah seorang pekerja kedai tersebut menegur Maisara mesra. Senyuman manis diukirkan kepada Maisara, membuatkan rasa kekok Maisara mulai lenyap sedikit demi sedikit.
"A'ah kak! Nak beli tudung." Maisara menjawab sambil tersengih-sengih.
"Nak bidang berapa?" Pekerja itu menyoal lagi.
Maisara kelihatan berfikir seketika, tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada pekerja itu. Wajah pekerja itu diperhati, kepalanya digaru-garu perlahan. Bidang berapa ya? Kalau nak beli bidang 45, nanti nampak dada pulak! Tubuh Maisara bukannya kecil sangat, kalau dia bertubuh kecil, bidang 45 masih boleh dipertimbangkan.
"Saya tak tahu pula nak beli bidang berapa, kak! Ini first time ni, saya beli tudung. Tak pernah lagi beli tudung sebelum ni." Maisara mengerutkan dahi, benar-benar tidak tahu tudung bidang berapa yang harus dibeli olehnya.
Si kakak pekerja kedai tersenyum mendengar kata-kata Maisara.
Nampaknya, ada seorang lagi hamba Allah yang ingin menjadi cantik mengikut aturanNya. Alhamdulillah!
"Akak rasa, untuk saiz badan seperti adik ini, bidang 50 sangat sesuai. Tetapi kalau adik mampu pakai tudung bidang 60, itu lebih baik. Lebih terlindung. Kita ni kadang tak sedar tudung kita terselak, sehingga menampakkan apa yang tak sepatutnya. Sebab tu, akak suka pakai tudung besar-besar walaupun badan akak taklah sebesar mana."
Maisara mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar pendapat si kakak pekerja kedai. Ada benarnya kata-kata kakak itu, kadang-kadang, kaum hawa memang langsung tidak menyedari tudung mereka terselak. Terutama bagi muslimah yang aktif bersukan. Itu satu cerita. Terselak ditiup angin pula satu cerita yang lain!
Bab terselak ditiup angin itu memang selalu berlaku.
Maisara tahulah kerana ketika bersekolah dulu, dia juga bertudung.
Bezanya waktu itu, bertudung kerana takutkan ustaz dan ustazah di sekolah. Bukan kerana takutkan Allah. Lagipun, ketika itu, bertudung di sekolah memang suatu kewajiban bagi pelajar yang beragama Islam. Perkara biasa kalau ada pelajar yang hanya bertudung di sekolah tetapi di luar, mereka tidak memakai tudung. Freehair!
Maisara juga begitu.
Hanya sekadar memakai tudung ketika di sekolah saja.
Maisara mengeluh kecil. Rasanya dia sudah tahu tudung saiz apa yang hendak dibeli. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil, memandangkan inilah kali pertama Maisara cuba-cuba untuk memakai tudung setelah tamat sekolah dua tahun yang lalu. Kali terakhir Maisara mengenakan tudung ialah ketika masih bergelar pelajar Tingkatan Enam dahulu. Dan selepas itu, tudung-tudung yang dibeli oleh ibunya terus disimpan, langsung tidak digunakan lagi.
"Kak, saya nak beli tudung bawal bidang 50." Nada suara Maisara kedengaran cukup yakin.
"Tudung bawal? Adik boleh tengok sendiri di sini. Banyak jenis tudung bawal di sini. Tudung bawal Akel, bawal Rozella, bawal Aidijuma. Macam-macam ada! Adik pilihlah. Di rak sebelah sana tudung bidang 50 dan di sebelah sini, tudung bidang 60. Adik pilihlah mana yang berkenan ya!"
Maisara membelek-belek satu-persatu tudung bawal yang ada di situ. Maisara rambang mata, tidak tahu mana satu yang harus dipilih. Semuanya cantik-cantik belaka. Yang pasti tidak nipis dan tidak jarang!
Perfecto!
"Rasanya, mungkin nama tudung bawal diilhamkan daripada ikan bawal." Sempat Maisara mengomel sendirian. Tangannya masih mengusap lembut tudung bawal Akel di hadapannya. Maisara mengeluh, benar-benar terlalu banyak pilihan.
Ketika Maisara sedang rambang mata memilih tudung, dua orang gadis muda turut singgah di Sharmila's Hijab. Si kakak pekerja kedai tadi mendekati dua orang gadis tersebut. Salah seorang daripada gadis itu kelihatan terlalu asyik merenung skrin telefon. Seorang lagi, si gadis yang anggun mengenakan selendang labuh pula sedang bercakap dengan si kakak pekerja kedai.
"Saya nak beli tudung, kak. Tudung bawal Akel masih ada tak?"
"Ada, adik boleh tengok sendiri."
Si gadis berselendang labuh tersenyum lebar, pantas kaki gadis itu mengatur langkah mendekati rak tudung labuh Akel. Maisara yang masih berdiri berhampiran rak tersebut hanya memandang gadis itu dari atas sehingga ke bawah. Hanya satu perkataan sahaja yang terdetik di hati Maisara ketika itu.
Manis!
"Kau nak beli tudung labuh lagi ke?" Gadis yang asyik bermain dengan telefon tadi menyoal tiba-tiba, wajah rakannya dipandang pelik.
"Ya, nak beli lagi. Dapat guna untuk keluar ke mana-mana!" Si gadis berselendang labuh menjawab lembut. Tenang sahaja nada suaranya!
"Nak outing pakai tudung labuh? Apa class, babe? Tak cun ah!"
Gadis berselendang labuh kelihatan agak terkejut dengan kata-kata yang diluahkan oleh rakan baiknya. Keadaan menjadi sepi seketika. Tiada balasan daripada si gadis berselendang labuh. Maisara yang mendengar perbualan dua orang gadis itu berasa jengkel, separuh berharap agar gadis berselendang labuh itu membidas semula kata-kata rakannya yang celupar itu.
"Biar tak cun di mata manusia, biar cun di mata Allah!" Maisara pula yang "terbidas" tanpa sedar. Agak terkejut dengan kata-kata Maisara, kedua-dua gadis itu merenungnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan.
Maisara berasa pelik direnung sebegitu rupa.
Wajahnya berasa tebal tiba-tiba.
Pantas tangan Maisara menggapai dua helai tudung Akel bidang 50, satu berwarna hitam dan satu lagi berwarna hijau turqoise. Dibawanya segera ke arah kaunter pembayaran. Sempat gadis berkulit hitam manis itu memandang sekilas ke arah dua orang gadis muda tadi, dan ternyata kedua-dua gadis itu masih merenung Maisara aneh.
"Berapa semuanya, kak?" Soal Maisara, wajah penjaga kaunter pembayaran yang bertudung kuning diperhati.
"Lima puluh ringgit, dik."
Sekeping not bernilai RM 50 dihulurkan kepada wanita bertudung kuning itu. Tudung bawal Akel yang telah siap dibungkus dalam plastik digapai dan dipeluk erat.
"Terima kasih dik. Lain kali, datang lagi!" Ujar si wanita bertudung kuning dengan mesra. Maisara rasa, umur wanita bertudung kuning itu kira-kira dalam lingkungan usia tiga puluh tahun. Wajah wanita itu tidak terlalu tua tetapi tidak juga terlalu muda.
"Sama-sama!" Maisara membalas pendek.
Si kakak pekerja kedai yang melayan Maisara ketika mula-mula Maisara singgah di kedai itu tadi melambai-lambaikan tangan sambil tersenyum mesra saat Maisara melangkah keluar dari kedai muslimah tersebut. Dan dua orang gadis muda yang merenung Maisara tadi, kelihatan berbisik sesama sendiri.
Maisara mengeluh kecil.
"Lepas ni, nak beli seluar baru pulak! Nak beli baju Haikal lagi. Tak beli, nanti kena piat telinga dengan Mak Som. Tak sanggup aku." Maisara menghela nafas yang panjang.
Jika sudah membeli seluar baru dan baju si Haikal, barulah dia boleh pulang ke rumah dengan aman tanpa rasa takut dan khuatir akan dipiat telinga oleh Mak Som.
"Baiklah, sekarang kita ke kedai Angel's Shop!"
Pantas kaki Maisara melangkah menuju ke destinasi. Hatinya bersorak gembira kerana telah berjaya membeli dua helai tudung hasil duit gajinya sendiri. Dan Maisara juga berharap, baju yang akan dibelikannya untuk si adik bongsu nanti juga akan disukai oleh Haikal.
Cerewet Maisara, cerewet lagi si Haikal!
Little Fussy Boy!
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan