Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Rabu, 10 Februari 2016

Novel Hipokrit Bab 9

-HIPOKRIT- (Bahagian 9)



"Aku dengar ada nama orang kena conteng dekat papan tanda di tepi jalan semalam." Seorang gadis yang berjalan melintasi Ilyana bersuara sinis. Tiga orang rakannya di belakang ketawa mengekeh.

Ilyana mengeluh kecil.

Matanya masih terpaku ke arah nasi lemak di hadapannya. Suara-suara sinis yang semakin galak menyindir langsung tidak dipedulikan.

"Tapi, aku rasa gelaran "Hipokrit" tu memang sesuai untuk dia. Sesuai sangat!"

"A'ah! Aku setuju. Berlagak suci! Macam orang tak pernah buat dosa!"

"Menyampah! Munafik!"

Cacian dan makian terus dilemparkan kepada Ilyana. Suara hilai tawa bergema di kawasan kantin sekolah, menyebabkan ramai pelajar mulai berbisik sesama sendiri.

Ilyana masih diam.

Nasi lemak disuap perlahan ke dalam mulut. Air mata menitis perlahan, mengalir menuruni pipi gebu Ilyana. Suara-suara sinis semakin galak mengutuknya.

"Acha, korang memang tak ada kerja lain ke? Nak mengutuk orang je kerja kau dan kawan-kawan kau!" Marina yang muncul di situ bersama dengan sebungkus mee goreng tapau menjerit geram.

"Kami bukan mengutuk, kami cakap benda yang betul. Memang kawan baik kau ni hipokrit. Konon nampak baik tapi sebenarnya jahat tahap setan!" Acha membentak kuat. Bahu Ilyana ditolaknya kasar.

"Wei, kau jangan nak berani buat macam tu dekat Yana!" Marina bersuara kasar, dahi Acha ditujahnya kasar.

"Jahanam!" Acha menerpa pantas ke arah Marina.

Pergelutan hebat berlaku antara kedua-dua gadis tersebut. Beberapa orang pengawas sekolah cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku. Ilyana menarik tangan Marina, gadis itu sempat menepis kasar tangan Acha yang mencengkam kuat lengan Marina.

"Sudah!" Suara Ilyana kedengaran sedikit meninggi. Ditariknya tangan Marina meninggalkan kawasan kantin.

"Betina sial! Munafik!" Acha menjerit dengan lebih kuat dan kali ini tangannya mencakar kasar pipi Ilyana.

Kuku Acha yang panjang menyebabkan lima garisan luka di pipi gebu Ilyana, darah mulai menitis titik demi titik. Semua pelajar menjadi senyap tiba-tiba melihat pipi gadis berlesung pipit itu terluka. Ilyana meraba-raba bahagian pipi kanannya, terasa pedih dan perit.

Sakit!

"Apa yang berlaku?" Mikhail, ketua pengawas yang sebaya dengan Ilyana menyoal hairan. Wajah-wajah yang ada diperhati aneh. Dia baru sahaja selesai menangkap pelajar lelaki yang merokok di tandas sekolah sebentar tadi. Oleh sebab itu, dia langsung tidak tahu apa yang menyebabkan ramai pelajar berkumpul di hadapan kantin.

"Acha cederakan Yana!" Marina mengadu tidak puas hati. Luka di wajah Ilyana ditunjukkan kepada Mikhail.

"Ya Allah, kenapa sampai macam ni sekali? Cepat bawa dia ke bilik rehat, ada Puan Melati di sana. Boleh tolong rawat luka dia." Arah Mikhail tegas. Wajah Ilyana yang sudah kemerah-merahan diperhati bimbang.

"Dan kau, Acha. Ikut aku ke bilik guru disiplin!" Bentak Mikhail marah.

Acha mendengus kasar.

Wajah Mikhail direnung tajam.

"Bedebah!" Jerit Acha tidak berpuas hati. Mikhail menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Perangai Acha memang tidak pernah berubah.

Degil dan penuh kebencian.

Ilyana yang selalu menjadi mangsa.

Ya, Ilyana!

Marina memaut bahu Ilyana, ada air mata mengalir laju di pipi sahabat baiknya itu.

"Sabar, Yana. Sabar!"

Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Marina. Ilyana menghela nafas yang panjang sebelum kakinya mulai melangkah menuju ke bilik rehat. Tangan kanannya masih memegang pipi, sakit di luar, sakit lagi di hati.

Mungkin ini ujian.


Untuk menguji hati seorang Ilyana. Bertabahlah hati! Semuanya akan baik-baik saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan