-HIPOKRIT- (Bahagian 10)
Mikhail berlari-lari anak menghampiri Ilyana dan
Marina yang sedang melangkah keluar di bahagian pintu gerbang sekolah.
Tangannya didepakan di hadapan Ilyana, cuba untuk menahan langkah kaki gadis
itu yang sedang melaju.
"Eh, apa ni? Orang nak baliklah!" Ilyana
meninggikan suara, pandangan tidak senang dilemparkan kepada Mikhail.
"Wait, Ilyana. Awak dapat jalan balik ke dengan
keadaan cedera macam ni? Kalau tak, its okay, I can send you back. Nanti saya
suruh ayah saya hantar awak ke kampung dulu before balik ke rumah kami."
Mikhail bersuara separuh memaksa. Sedikit mendesak.
"Tunggu, saya luka kat pipi. Bukan di kaki. Saya
masih boleh berjalan. Dan awak, tak perlu nak caring sangat kat saya. Saya naik
bosan! Rimas!" Suara Ilyana agak meninggi.
Wajah Mikhail dipandang tajam. Lelaki yang satu ini
juga tidak berhenti menyusahkan hidupnya. Sikap prihatin yang keterlaluan dan
berlebihan.
Over!
"I just want to help you." Mikhail bersuara
perlahan, wajah Ilyana yang masam mencuka diperhati dengan perasaan tidak
mengerti.
Apakah suatu kesalahan untuk Mikhail ambil berat dan
prihatin perihal Ilyana?
Ilyana tidak pernah membenarkan Mikhail bersahabat
dengannya, gadis itu tidak suka. Jika mereka bergaul sekalipun, hanyalah
sekadar rakan sebaya yang bersekolah di tempat yang sama. Bezanya Mikhail
pelajar aliran sains dan Ilyana pula merupakan pelajar aliran sastera.
"I don't need your help. Marina ada, I don't need
you. Please, go away!" Ilyana menarik tangan Marina agar segera meninggalkan
Mikhail.
"Ilyana." Mikhail mengeluh panjang. Sukar
benar dia hendak mengerti perasaan gadis berlesung pipit di pipi itu. Susah!
Laju kaki Ilyana mengatur langkah, pipinya yang
bertampal dengan pembalut luka diraba-raba sambil berjalan. Marina hanya
menurut langkah Ilyana, amat memahami sikap sahabat baiknya itu yang memang
tidak berapa menyukai Mikhail.
"Aku tak fahamlah apa salahnya si Mikhail tu, dia
hanya ambil berat pasal kau." Marina yang sejak tadi mendiamkan diri
akhirnya bersuara.
"Aku tak suka. Aku tak suka dia ambil berat pasal
aku. Tak suka! Dia hanya akan menambahkan masalah aku. Bukan
mengurangkan!" Suara Ilyana tegas. Dahinya berkerut seribu.
"Kau bersangka baik dengan dia, boleh? Seperti
mana kau selalu bersangka baik dengan orang lain. Dia terlalu baik dekat
engkau, tahu tak?" Marina mengetap bibirnya geram. Kepalanya digelengkan
perlahan.
"Kerana dia terlalu baiklah aku takut. Kau dapat
jamin hati aku selamat kalau aku terus biarkan dia melayan aku baik sangat
macam tu?" Ilyana melontarkan pertanyaan dengan suara bergetar.
-Akan bersambung-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan