-HIPOKRIT- (Bahagian 8)
"Mak Itam buatkan untuk saya ye." Ema
bersuara memujuk.
Mak Itam mengeluh panjang. Wang puluhan ribu ringgit
sudah terbayang di hadapan mata, hatinya melonjak-lonjak membayangkan wang yang
begitu banyak bakal menjadi miliknya. Pantas tangan Mak Itam menggapai botol
kecil berisi minyak di dalamnya.
Perlahan-lahan, penutup botol tersebut dibuka. Lima
batang jarum diletakkan di dalam botol tersebut dan kemudian, bibir orang tua
bersanggul tinggi itu terkumat-kamit membaca sesuatu.
"Jagukku dekuk, erangku tungkang, lidahku
patah."
Mantera yang dibaca oleh Mak Itam membuatkan bulu roma
Ema tiba-tiba tegak berdiri. Ema menelan air liur, entah mantera apa yang
dibaca oleh Mak Itam sehingga bulu roma Ema meremang sebegitu rupa. Usai sahaja
Mak Itam membaca jampi serapahnya, minyak di dalam botol kecil tersebut
digoncang-goncangkan kuat sehingga warnanya menjadi hitam.
"Kau tanam botol minyak ni dekat bawah rumah
Mustafa pada waktu tengah malam. Pastikan tidak ada orang nampak kau waktu tu.
Tanam di penjuru tiang rumah yang terletak di tengah-tengah. Tanam dalam-dalam,
jangan bagi ada orang yang tahu. Dan sebelum kau tanam, kau baca mantera yang
aku baca tadi dan titiskan darah dari jari manis kau lima kali dalam botol
minyak ni." Suara Mak itam cukup bersahaja.
Ema menelan air liurnya lagi.
TItiskan darahnya sendiri?
"Darah saya?" Ema menyoal agak ragu-ragu.
"Ya, darah kau. Supaya bila si Maria tu mati
nanti, taklah si Mustafa tu melekat pada perempuan lain. Kau jangan bimbanglah,
Ema. Kali ini, pasti jadi. Sihir yang aku guna ni, bukan sembarangan. Lepas kau
tanam, kau duduk je di rumah dan tunggu saja berita beberapa hari lepas
tu."
Ema mengeluh kecil mendengar kata-kata Mak Itam. Darah
pun darahlah, asalkan Mustafa akan menjadi miliknya. Tidak sabar rasanya hendak
menunggu saat itu, saat di mana segala yang diimpikannya selama ini akan
menjadi kenyataan. Ema tersenyum kecil, ketika itu nanti, sikap bongkak dan
angkuh Ilyana juga tidak akan mampu menghalangnya.
"Tapi aku pesan dekat engkau, selagi kau tak
dengar berita daripada keluarga si Mustafa tu, kau jangan sesekali keluar dari
rumah. Aku tak akan tanggung kalau ada apa-apa benda lain yang berlaku kalau
kau tak turuti pesan aku." Pesan Mak Itam serius.
Ema mengangguk perlahan sebagai tanda memahami.
"Baiklah, Mak itam. Akan saya ingat pesan
tu." Gumam Ema perlahan.
Mak Itam menghulurkan botol minyak tersebut kepada Ema
dan ketika menyambut huluran botol tersebut, Ema merasakan ada sesuatu yang
tidak kena, hatinya berdegup kencang tiba-tiba. Bulu roma di bahagian
tengkuknya meremang lagi.
"Dan kalau kau berjaya, jangan lupa jamu "dia"
nanti!" Mak itam mengekeh ketawa.
"Jamu "dia", apa maksud Mak itam?"
Ema menyoal dengan dahi berkerut.
Mak Itam langsung tidak menjawab soalan yang
diutarakan oleh Ema, bahkan orang tua itu ketawa dengan lebih kuat. Ema
menggerutu geram, tetapi lebih memilih untuk berdiam. Mak Itam memang
kadangkala menjengkelkan, tetapi kalau tiada orang tua itu, susah juga Ema
hendak melunaskan dendamnya.
Ya, dendam!
Dendamnya terhadap keluarga Mustafa.
Tiada misi yang lebih besar daripada itu.
-Akan bersambung-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan