-HIPOKRIT- (Bahagian 7)
"Aku benar-benar berharap, kalau kau belajar jauh
nanti seperti yang kau impikan selama ni, kau akan jumpa kawan yang betul-betul
jujur dan ikhlas berkawan dengan kau." Ujar Daud dengan suara separuh
berbisik.
"Jangan risaulah, Allah kan ada!" Ilyana
tersenyum lebar, lengan Ziera dan Marina diraih erat.
Memang tadi, dia agak marah. Tetapi apabila
difikir-fikir semula, tiada gunanya dia hendak menyimpan dendam. Langsung tidak
berfaedah, hanya akan menambahkan kehodohan di hati, yang sudah pasti akan
tergambar hodohnya di wajah. Hodoh hati dan hodoh wajah, apa lagi yang lebih
hodoh daripada kehodohan hati yang turut mencemarkan kemanisan wajah?
"Aku masih nak tahulah siapa punya angkara
tu." Ziera mencebik tidak puas hati.
"Dahlah, tak payahlah. Lunyai orang tu nanti
korang kerjakan. Biarlah Allah balas. Sekarang, aku masih boleh handle tapi
kalau dah parah sangat sampai melibatkan maruah keluarga aku, aku akan minta
tolong korang. Okay?" Ilyana cuba memujuk. Wajah teman-temannya dipandang
dengan senyuman kecil.
Ketiga-tiga temannya mengangguk perlahan. Sekeping
hati yang mudah memaafkan, walau kadang nampak bengis dan sukar diramal dari
luaran, itulah Iyana. Dia mungkin kadang gelak tidak menutup mulut, melompat
sana sini, menjerit tidak tentu arah kerana marah tetapi hati Ilyana itu, sukar
diramal. Perangainya boleh berubah dalam sekelip mata.
Unpredictable!
Keesokan harinya, ketika dalam perjalanan menuju ke
sekolah pada sebelah pagi, Ilyana yang sedang berjalan bersama Marina disapa
oleh Ema. Terkejut besar Ilyana dan Marina melihat betapa "luar
biasanya" keramahan Ema ketika itu.
"Kamu berdua nak ke sekolah ke?" Ema yang
rambutnya panjang mengurai menyapa mesra, kebaya coklat yang disarungnya
dibetul-betulkan seketika.
"Tak, kami nak pergi London!" Marina
menjawab geram. Macamlah si Ema itu tidak tahu, sudah sah-sah di hadapan mata
Ilyana dan marina mengenakan pakaian seragam sekolah. Ke mana lagi kalau tidak
ke sekolah? Stupid never finish!
"Yana, ayah kamu ada bagi duit belanja? Kalau tak
ada, nanti Auntie bagi dekat kamu. Mana tahu ayah kamu terlupa nak bagi duit
belanja. Auntie bukan apa, risau, takut kamu kelaparan di sekolah nanti!"
Ema mengipas-ngipaskan wajahnya dengan tangan.
Ilyana mengerutkan dahi.
Merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada hari
tersebut.
Bagaimana mungkin orang tua yang selama ini sentiasa
mengeji Ilyana tiba-tiba berbuat baik, bahkan menawarkan diri untuk memberi
duit belanja sekolah kepadanya. Ada udang di sebalik batu. Atau mungkin Ema
sudah insaf dan enggan bermulut jahat lagi?
Weirdo.
"Tak yah, orang ada duit belanja. Mak bagi."
Jawab Ilyana agak dingin.
Reaksi wajah Ema serta-merta berubah saat mendengar
perkataan "mak" disebut oleh Ilyana. Wajah Maria yang putih bersih
mulai singgah di ruang matanya. Ema mendengus kasar, benci benar hatinya mengenangkan
Maria. Sebagaimana dia membenci Maria, seperti itu jugalah dia membenci Ilyana,
anak gadis sulung Maria yang memang mewarisi wajah ibunya. Persis!
"Dahlah, jangan layan sangat si gila ni!"
Marina menderam marah. Tangan Ilyana ditarik agar segera meninggalkan Ema.
Ema mengetap bibir, langkah kaki dua gadis itu
diperhati marah. Si gila? Berani betul Marina itu menggelarkan Ema sebagai si
gila. Kalau tidak kerana si Marina itu cucu kepada Haji Ismail, sudah lama
gadis itu juga turut dikeji dan dihina. Kebiadapan Marina itu sama sahaja
dengan Ilyana, kurang ajar dan tidak tahu menghormati orang yang lebih tua.
Tudung sahaja berlapik di atas kepala tetapi perangai?
Hipokrit!
"Tunggu kau Ilyana, Tunggu kau, kau rasalah nanti
bila aku jadi mak tiri kau! Tak lama mak kau tu hidup, orang yang merampas
kekasih orang lain tak akan pernah hidup aman dan tenang. Kau rasalah nanti.
Tunggulah kau!" Ema bersuara geram.
Kelibat Ilyana dan Marina sudah hilang dari
pandangannya tetapi rasa geramnya terhadap dua orang gadis itu masih tersisa.
Ema pantas mengatur langkah menuju ke destinasi, rumah Mak itam jadi tujuan.
Rumah kayu milik orang tua bernama Mak Itam itu terletak agak jauh daripada
orang ramai. Di belakang rumah orang tua itu terdapat tanah perkuburan dan di
sekelilingnya terdapat pokok-pokok yang tumbuh meliar.
Sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Mak Itam, Ema
memberi salam. Salam itu disambut perlahan. Seorang wanita tua, yang berusia
dalam lingkungan tujuh puluh tahun keluar dari rumah kayu terpencil itu. Ema
pantas menyalami tangan orang tua tersebut sebelum kedua-duanya masuk ke dalam
rumah.
"Apa hajat engkau ke mari, Ema? Hendak menyuruh
aku buat minyak pengasih lagi? Tak habis-habis engkau hendakkan si Mustafa tu,
orang dah ada keluarga sendiri, tak payahlah kau kacau lagi!" Mak Itam
mengunyah daun sirih, wajah Ema yang tersenyum lebar diperhati jengkel.
"Mak Itam, saya ke sini bukan nak minta minyak
pengasih. Tapi saya nak minta benda lain. Kalau setakat mintak pengasih, sampai
bila-bila Mustafa tak akan jadi milik saya. Saya kena ikhtiar cara lain."
Ema tersenyum jahat. Rambutnya yang ikal mayang dibelai lembut.
"Cara apa lagi?" Mak Itam menyoal tidak
mengerti.
Ema mendekatkan bibirnya ke telinga Mak Itam,
membisikkan sesuatu yang membuatkan wajah Mak Itam bertukar pucat dan
takut-takut. Ema tersenyum lebar setelah selesai memberitahu Mak Itam mengenai
cadangannya, wajah Mak itam ditatap puas.
"Kau gila, Ema. Takkan kau tergamak nak buat
semua tu!" Suara Mak Itam kedengaran terketar-ketar, menandakan orang tua
itu sedang berasa cemas dan takut yang teramat.
"Mak Itam, Mustafa tu dulu saya yang punya. Maria
tu merampas je. Sekarang, Mak Itam kena tolong saya. Supaya saya dapat capai
apa yang saya nak. Saya sanggup bayar berapa pun asalkan Mustafa tu jadi milik
saya. Lima ribu? Sepuluh ribu? Dua puluh ribu? Berapa yang Mak Itam nak, saya
akan bagi. Asalkan "benda" yang saya nak tu, Mak itam berikan pada
saya."
Mulut Mak itam terlopong mendengar jumlah bayaran yang
disebut oleh Ema. Memang banyak jumlahnya, rugi jika Mak Itam tidak mengambil
peluang itu untuk meraih pendapatan yang lebih. Lagi pula selama ini, bukannya
Mak itam tidak pernah berbuat semua perkara itu. Sihir dan ilmu hitam memang
cara untuk Mak itam menyara kehidupannya sendiri. Walaupun terpaksa
memporak-perandakan kehidupan orang lain.
Suami dan isteri bercerai-berai.
Minyak pengasih untuk memikat lelaki.
Guna ilmu hitam untuk bunuh orang.
Sihir porak-peranda hidup keluarga yang aman-damai.
Semuanya Mak Itam pernah lakukan atas keinginan
pelanggan yang datang kepadanya dan menawarkan harga yang cukup tinggi. Ada
yang datang jauh daripada bandar dan tidak kurang juga, penduduk kampung
sendiri yang juga ada datang untuk bertemu dengannya. Kebanyakkannya ialah
anak-anak gadis yang meminta digugurkan kandungan dengan menggunakan cara sihir
dan ilmu hitam.
-Akan bersambung-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan