Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Rabu, 10 Februari 2016

Novel Hipokrit Bab 5

HIPOKRIT- (Bahagian 5)



Ilyana memandang wajah-wajah yang dikenalinya satu persatu sebelum gadis itu mula menyambung langkah yang tergendala. Marina berlari-lari anak mengejar langkah sahabat baiknya itu daripada belakang.

"Kalau ya pun, slowlah sikit jalan." Marina tercungap-cungap cuba menyaingi langkah kaki Ilyana.

Ilyana nampaknya langsung tidak peduli, kakinya terus pantas mengatur langkah. Sebaik sahaja tiba di rumah, gadis itu langsung tidak bersuara memberi salam tetapi sebaliknya terus menerpa masuk ke dalam biliknya.

"DAMN!" Jerit Ilyana agak kuat.

Beg sekolah yang berwarna merah dan hitam dicampakkan kasar ke atas lantai. Tudung sekolah di atas kepala direntap kasar dan dilemparkan ke arah rak buku.

"Yana, kenapa dengan kamu ni? Balik sekolah terus mengamuk! Beri salam pun tak ada." Maria, si ibu muncul tiba-tiba dengan wajah yang berkerut di hadapan pintu bilik anaknya.

Ilyana hanya mendiamkan diri.

Langsung tidak menjawab.

"Ilyana!" Suara Maria kedengaran lebih tegas dari sebelumnya. Wajah anak gadisnya yang kemerah-merahan diperhati serius. Orang tua itu berdiri sambil bercekak pinggang.

"Tak ada apa-apa!" Pantas Ilyana menjawab. Langsung tidak mahu memandang wajah si ibu. Matanya hanya merenung marah ke arah beg sekolahnya di atas lantai.

Maria mengeluh berat. Hatinya dapat merasakan ada sesuatu yang sengaja disembunyikan oleh Ilyana. Tetapi untuk mendesak Ilyana memberitahu perkara yang sebenar ketika ini, mungkin bukan tindakan yang tepat. Emosi anak daranya itu masih tidak menentu dan masih memerlukan waktu untuk bertenang.

"Dah, pergi makan kat dapur." Ujar Maria lembut sambil mengatur langkah meninggalkan bilik Ilyana.

Ilyana mendengus kasar. Panas juga hatinya. Entah siapa punya angkara! Si Ema berambut ikal mayang itu mungkin? Atau si Acha yang memang sentiasa tidak berpuas hati?

"Ah, pening!" Ilyana mengeluh kecil. Gadis itu merebahkan dirinya ke atas katil.

"Ilyana!" Si ibu menjerit lagi dari arah dapur.

Ilyana menutup telinganya dengan bantal. Selimutnya ditarik menutupi keseluruhan badannya. Kipas angin di atas siling dipasang sekuat-kuatnya. Apa pun yang terjadi, Ilyana mahu tidur terlebih dahulu. Biar hilang pening kepalanya.

Settle!

Maria yang naik hairan melihat anak daranya tidak muncul-muncul juga di dapur meninjau semula ke bilik Ilyana. Mengucap panjang orang tua itu melihat Ilyana berbungkus dengan selimut.

"Haih, apalah nasib aku dapat anak dara macam ni? Tengah hari terik berbungkus dalam bilik!" Maria menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.

Orang tua itu melangkah semula menuju ke dapur sambil membebel panjang. Dan Ilyana pula semakin galak memejamkan mata, memaksa diri untuk terlena.

Biar reda marah di hati.

Biar luput dendam di sanubari.

Biar!


-Akan bersambung-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan