-HIPOKRIT- (Bahagian 4)
Beberapa minit kemudian, Cikgu Kasim masuk ke dalam
kelas. Semua pelajar 5A1 diminta menghantar esei yang diberikan sebagai kerja
rumah pada hari Jumaat minggu yang lepas. Meon kelihatan tergesa-gesa,
tangannya semakin pantas menulis. Pelajar-pelajar yang lain sedang sibuk
menghantar tugasan esei masing-masing tetapi Meon masih tetap di tempat
duduknya.
"Meon, tengah siapkan esei ke?" Cikgu Kasim
menyoal dengan kening yang terangkat sebelah. Wajah Meon yang cemas diperhati
sambil tersenyum lebar.
"Dah siap, cikgu!" Pantas Meon meletakkan
kertas eseinya di atas meja guru sebelum berlari semula menuju ke tempat
duduknya. Cikgu Kasim tergelak kecil, dia dapat mengagak bahawa Meon telah menyiapkan
esei di saat-saat akhir.
Pada hari itu, Cikgu Kasim tidak mengarahkan
pelajarnya mengarang esei memandangkan kelasnya ialah kelas terakhir pada hari
tersebut. Sseorang demi seorang pelajarnya disuruh mendeklamasikan sajak yang
terdapat di dalam buku. Bagi yang memang suka bersajak, itu memang bukan suatu
yang bermasalah tetapi bagi pelajar nakal seperti Meon, bait-bait sajak
tersebut dinyanyikannya seperti sebuah lagu. Habis satu kelas ketawa gara-gara
pelajar lelaki berambut senget itu.
Sebaik sahaja loceng terakhir berbunyi, semua pelajar
kelihatan kelam kabut mengemas barang masing-masing. Usai sahaja Cikgu Kasim
keluar daripada kelas, pelajar 5A1 mulai berebut-rebut dengan pelajar kelas
lain di bahagian koridor blok C hanya kerana ingin cepat keluar dari kawasan
sekolah.Berbeza dengan Ilyana, dia masih tenang berdiri di hadapan pintu kelas
sementara menunggu keadaan di koridor bertukar lengang.
"Yana!" Marina yang sedang menggalas beg
sekolah berwarna biru berjalan dengan penuh gaya ke arah Ilyana. Gadis yang
belajar di kelas 4A3 kelihatan agak mengantuk.
"Kau mengantuk?" Soal Ilyana agak pelik.
Wajah Marina ditatap dengan dahi berkerut.
"A'ah, waktu Sejarah waktu last." Marina
menjawab perlahan.
"Sejarah best apa? Aku suka sejarah, tanpa
sejarah, kita tidak akan mampu belajar dari kesilapan lalu. It's worth to learn
about history." Ilyana cuba memberi pandangannya yang tersendiri.
"Itu kau, bukan aku. Aku suka PSV. Seni Visual!
Dahlah, jomlah balik. Perut aku dah berkeriuk lapar ni." Marian menguap,
mulutnya ditutup dengan tangan kanan. Mengantuk!
Memandangkan keadaan sudah agak lengang, Marina dan
Ilyana mulai mengatur langkah untuk pulang. Sepanjang perjalanan pulang, Marina
tidak berhenti bercerita mengenai betapa seronoknya tugasan PSV kelas mereka.
Ilyana hanya mampu mengangguk perlahan dan sesekali, gadis berlesung pipit di
pipi itu turut menyampuk.
"Eh, apa yang diorang berkumpul ramai-ramai
tu?" Ilyana menyoal aneh ketika melihat ramai remaja yang berpakaian
sekolah berkumpul di bahagian selekoh menuju ke kampung.
Ilyana dan Marina berpandangan sesama sendiri sebelum
kedua-duanya bergegas berlari menghampiri gerombolan pelajar tersebut. Sampai
sahaja di tempat itu, Marina dan Ilyana menyedari beberapa orang pelajar Tingkatan
Lima turut berada di situ, hanya pelajar-pelajar tersebut bukan rakan sekelas
Ilyana.
"Eh, Ilyana pun ada di sini?" Sarah, gadis
berhidung mancung dan bermata agak sepet menegur Ilyana.
"Ya saya, kenapa?" Ilyana menyoal kembali.
"Yana, cuba kau tengok apa yang tertulis di papan
tanda tu." Marina menjuihkan bibirnya ke arah papan tanda berwarna putih
di hadapan mereka. Di papan tanda putih tersebut, tertulis ayat "ILYANA
PEREMPUAN HIPOKRIT" padanya. Ayat tersebut ditulis menggunakan cat
berwarna merah yang sangat terang.
"Ya Allah, siapa punya kerja ni? Sampai nak
mengaibkan orang macam ni sekali!" Riduan, pelajar kelas 5S1 turut
bersuara terkejut. Semakin banyak pelajar yang dalam perjalanan menuju ke
kampung berkumpul di kawasan selekoh itu.
Ilyana terdiam, matanya hanya merenung tulisan
berwarna merah itu dengan pandangan yang sukar dimengerti. Siapa yang tergamak
menulis ayat tersebut di situ? Sejahat itukah dirinya sehingga ada yang sanggup
memalukan Ilyana di khalayak ramai?
"Ini cat putih bapak aku, aku ambik kat rumah
tadi. Cat semula papan tanda tu, buang tulisan berwarna merah tu." Asri,
rakan sekelas Ilyana datang ke tempat itu sambil di tangannya membawa satu tin
cat yag berwarna putih dengan dua batang berus. Wajah Ilyana sempat dipandangnya
sekilas. Masih tenang seperti biasa, wajah yang tiada perasaan.
Tin cat dibuka dan ketika Asri hendak mulai mengecat
papan tanda putih itu, pantas tangan Ilyana merampas berus cat dari tangan
lelaki tersebut. Gadis yang masih berpakaian seragam sekolah itu mengecat
dengan penuh geram dan marah. Sesekali, papan tanda itu kelihatan seakan-akan
hendak roboh kerana ditekan-tekan kuat oleh Ilyana.
"Dah siap!" Ilyana memulangkan semua berus
cat kepada Asri sebaik sahaja selesai mengecat. Papan tanda berwarna putih
direnung puas, tiada lagi namanya dan gelaran "Hipokrit" yang
dilemparkan kepadanya terpampang di situ.
"Siapa yang berani buat benda macam ni kat kau,
Yana?" Sarah menyoal dengan dahi berkerut.
"Sapa-sapa yang tak takut dosa." Ilyana
menjawab ringkas.
"Ha'ah, jawapan yang klise seperti biasa daripada
Ilyana Nasuha!" Asri menggeleng perlahan, sempat tergelak kecil mendengar
jawapan daripada Ilyana.
"Orang yang buat macam ni orang pengecut je.
Orang berani tak akan buat macam ni. Dah dia tak dapat nak apa-apakan Ilyana,
sebab tu dia pergi malukan Yana pulak." Marina mengetap bibirnya geram.
Yang lain hanya mengangguk-anggukkan kepala mendengar
kata-kata Marina. Memang benar, orang yang benar-benar berani tidak akan
melakukan perkara tersebut walaupun terhadap orang yang paling dibencinya.
Tindakan seperti itu hanyalah tindakan seorang pengecut yang bacul. Penakut!
"Orang yang berani dan orang yang bermaruah
tinggi, dia tetap akan menjaga aib dan air muka seseorang itu, walaupun
seseorang itu ialah musuh ketat yang paling dibenci olehnya di dunia ini."
Ilyana bersuara sinis, bibirnya tersenyum jahat.
"Walaupun itu musuh dia?" Sarah menyoal agak
ragu-ragu.
"Jadi musuh, biar jadi musuh yang bemaruah."
Semua yang ada di situ berpandangan sesama sendiri
mendengar ayat yang diungkapkan oleh Ilyana. Menjadi musuh yang bermaruah? Di
mana hendak mencari musuh yang bermaruah, yang tidak membongkar aib orang yang
dibenci kepada seluruh dunia? Di mana?
Mungkin Ilyana satu-satunya musuh yang akan berbuat
seperti itu.
Musuh yang menjaga aib musuhnya sendiri.
-Akan bersambung- —
Tiada ulasan:
Catat Ulasan