Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Rabu, 10 Februari 2016

Novel Hipokrit Bab 3

-HIPOKRIT- (Bahagian 3)



Suasana di dalam kelas 5A1 riuh-rendah. Suara jeritan nakal penghuni 5A1 hampir kedengaran di seluruh blok C. Nakal memang nakal, tetapi guru tetap sayang. Senakal-nakal mereka, tidaklah sampai ke tahap biadap dan kurang ajar terhadap guru yang mengajar mereka.

Beberapa orang pelajar berbangsa Cina sedang sibuk menelaah pelajaran dalam suasana riuh-rendah tersebut. Dan nun di suatu sudut di bahagian belakang kelas, Ilyana sedang asyik membaca buku Kesusasteraan Melayu Tingkatan Lima. Khusyuk dan langsung tidak terganggu dek bunyi bising rakan-rakan sekelasnya.

"Yana, kerja rumah Bahasa Melayu kau dah siap? Nanti cikgu Kasim masuk dan aku pulak belum siap lagi, bagi aku pinjam. Nak salin jawapan!" Meon, pelajar paling nakal dan paling pemalas di dalam kelas 5A1 bersuara memujuk, punggungnya dilabuhkan di kerusi kosong di sebelah Ilyana.

Ilyana merenung kosong wajah rakan sekelasnya yang dipenuhi jerawat itu. Gadis itu diam seketika. Bibirnya diketap!

"Kau rasa aku nak bagi?" Soal Ilyana dengan suara sinis.

"Of course kau bagi, kau kan kawan baik aku!" Yakin benar suara Meon memberikan jawapan.

Maisara tersenyum sinis.

Kawan baik ya?

Kawan baik waktu kerja rumah tak siap saja. Kalau waktu lain, Ilyana ibarat patung yang diperlekehkan dan dijadikan bahan ketawa seisi kelas.

"Stop dreaming! I will not give it to you. Ada tangan, ada otak. Boleh tulis dan fikir sendiri." Ujar Ilyana agak marah.

Meon mengeluh panjang.

Susahlah kalau begini.

Berbirat tangannya selepas ini dirotan Cikgu Kasim. Itu masih baik kalau dirotan, kalau dihukumnya mencuci tandas selepas habis waktu persekolahan? Mampus Meon! Balik lambat pulak nanti!

"Yana, please!" Meon tetap merayu. Wajah memohon belas kasihan ditunjukkan kepada Ilyana.

"Don't ever think you can do everything you want on me, Sameon Bin Kudin! I'm not stupid." Ilyana membentak keras.

"Wuuuuu, orang speaking tuuu! Nak tunjuk diri terror BI." Jaafar yang sedang duduk berlunjur kaki di atas meja bersuara menyindir.

Ilyana malas hendak melayan. Bacaannya yang tergendala disambung semula.

"Sampai hati kau, Yana." Suara Meon kedengaran kecewa. Anak muda itu segera kembali ke tempat duduknya sendiri dengan wajah yang sugul.

"Tak ada orang lainkah dia mahu pinjam? Setiap hali mau pinjam sama kamu." Siew Ling, gadis Cina yang duduk di hadapan Ilyana melontarkan pertanyaan.

"Entahlah. Hobi dia kot." Jawab Ilyana ringkas. Tidak tahu jawapan apa lagi yang lebih tepat diberikan sebagai jawapan.

"Pelik itu orang!" Siew Ling bersuara aneh, kepalanya digeleng-gelengkan perlahan.

Ilyana mengeluh kecil. Dari jauh, Meon yang duduk di hadapan sekali diperhati. Lelaki berambut senget itu sedang berusaha menyiapkan esei Bahasa Melayu dengan sangat bersungguh.

"Hmm, at least dia usaha sendiri daripada dia meniru." Ilyana berbisik sendiri.


-Akan bersambung- —

Tiada ulasan:

Catat Ulasan