Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Rabu, 10 Februari 2016

Novel Hipokrit Bab 2

-HIPOKRIT- (Bahagian 2)



"Engkau ni pun satu, Daud. Yang sampai cakap nak putus kawan tu kenapa? Aku kenal hati perut Yana ni, tak adanya nak tinggalkan kawan-kawan dia macam tu je. Kalau dia nak, dia boleh je tak kawan dengan aku yang freehair dan couple sana sini ni." Ziera menggerutu geram. Tak pasal-pasal Ilyana menangis gara-gara si Daud.

Daud tergelak kecil.

Jejaka berbaju kelabu itu menggeleng perlahan. Memang dia kenal siapa Ilyana. Mereka berkawan bukan setahun dua tetapi sudah terlalu lama.

"Dahlah tu, Yana. Buah hati kau apa khabar? Si rambut terpacak macam ekor kucing mengawan tu!" Daud cuba menukar topik.

Marina ketawa besar mendengar kata-kata Daud. Si rambut terpacak macam ekor kucing mengawan?

"Wei, sejak bila si rambut terpacak tu jadi buah hati aku? Mulut kau jaga sikit eh." Sempat Ilyana menjerit marah dalam tangisan. Teman-temannya yang lain hanya mampu tergelak, sudah masak benar dengan perangai gadis bernama Ilyana Nasuha itu.

"Relaks, relaks!" Aliff bersuara menenangkan Ilyana. Dan Ilyana pula mengetap bibirnya geram.

Sedang asyik mereka mengetawakan Ilyana, mereka langsung tidak menyedari sesosok badan gempal dan gelap sedang memerhati dengan iri. Sosok itu duduk di atas tangga rumahnya yang berada di hadapan rumah Ilyana. Memandang dengan penuh dengki, dan mulutnya pula tidak berhenti terkumat-kamit menyumpah seranah.

"Haih, kau ni dok memerhati rumah si Mustafa tu dari tadi dah, Ema. Apa yang menarik sangat tu?" Mak Minah, orang tua berkain batik yang sedang menyidai kain di ampaian menegur dengan dahi berkerut.

"Bukan apa, Mak Minah. Tak senang hati aku tengok Ilyana, anak si Mustafa tu berkawan dengan budak-budak tak tentu arah. Berkawan dengan kaki botol, kaki hisap gam, macam tak ada orang lain dia nak jadikan kawan." Ema mendengus kasar, wajah Ilyana dan teman-teman gadis bertudung hijau itu ditatap tajam dari jauh.

"Biarlah dia. Dulu Yana tu berkawan dengan Marina, cucu Haji Ismail tu, kau tak puas hati. Kau kata Ilyana tu berlagak sebab berkawan dengan cucu seorang Haji. Sekarang pun, dia berkawan dengan Daud, Aliff dan Ziera pun kau tak puas hati." Mak Minah bersuara hairan.

Wajah Ema yang agak gelap diperhati pelik. Entah apa masalahnya sehingga Ema selalu tidak berpuas hati dengan keluarga Mustafa, terutamanya terhadap Ilyana, anak gadis sulung Mustafa dan Maria.

"Dah dia memang berkawan dengan orang jahat! Daud tu, tiap-tiap malam meneguk arak. Ziera tu pulak tidur dengan lelaki. Tengoklah nanti, lama-lama nanti tak adanya budak Yana tu nak menyarung tudung lagi." Ema tetap mempertahankan hujahnya. Baginya, Ilyana memang tidak pernah betul. Ada sahaja yang tak kena di matanya.

Bertudung, dikata berlagak alim.

Bila berkawan, dituduh itu ini.

Duduk memerap di rumah, dikata pemalas.

Memang ada sahaja kesalahan Ilyana di matanya. Semuanya tidak pernah betul.

"Suka hati kaulah, Ema. Yang aku tahu, Ilyana tu tak bermasalah. Mungkin kau yang bermasalah agaknya, masalah otak!" Mak Minah mencebik bibir.

Pantas orang tua berkain batik itu masuk ke dalam rumahnya. Malas hendak melayan jiran bermulut puaka di sebelah rumahnya itu.

Ema yang masih duduk di atas tangga rumah menyumpah seranah. Berani benar Mak Minah mengatakan Ema mempunyai penyakit otak.

Dasar orang tua gila!

Pandangannya dilemparkan semula ke arah Ilyana yang kini sedang tersenyum lebar. Gadis berlesung pipit di pipi itu sedang seronok memeluk tubuh Marina dan Ziera.

"Tak lama kau dapat gembira macam tu, Yana. Lepas ni, kau tak akan mampu tersenyum macam tu lagi."

Senyuman jahat terukir di bibir Ema. Rambutnya yang ikal mayang disentuh lembut. Matanya mengecil jahat.

Dan beberapa minit selepas itu, azan Asar kedengaran berkumandang dari arah masjid kampung. Ilyana yang sedang duduk di beranda rumah segera berlari ke dalam rumah. Daud dan Ziera pula menoleh ke arah Ema dengan pandangan curiga dan berbaur perasaan benci.

Menyedari dirinya direnung tajam, Ema segera masuk ke dalam rumah. Pintu rumahnya dihempas kuat.

"BAM!!!"

Ziera tersenyum sinis melihat gelagat wanita berambut ikal mayang itu dari jauh.

"Pontianak sesat!" Ziera menggumam kasar. Melihat wajah Ema dari jauh sahaja sudah menimbulkan rasa marah yang meluap-luap.

"Wei, mulut!" Marina tergelak besar mendengar dua patah perkataan yang terkeluar dari mulut Ziera. Sudah pasti gelaran itu ditujukan kepada Ema, siapa lagi kalau bukan wanita itu?

Marina tahu benar "secret code" mereka berlima. Lucu!

"Pontianak sesat." Aliff turut menyampuk sambil ketawa.


-Akan bersambung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan