Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Rabu, 10 Februari 2016

Novel #Hipokrit Bab 1

-HIPOKRIT- (Bahagian 1)


Ilyana duduk sambil menongkat dagu di atas kerusi. Jauh fikiran gadis itu melayang. Wajah empat orang teman baiknya, Daud, Ziera, Marina, dan Aliff direnung kosong satu persatu. Gelak tawa riuh teman-teman langsung tidak dipedulikan.

"Fuh, nyaman otak aku lepas makan pil tu semalam. Hilang semua tension. Hilang!" Daud menjerit galak sambil ketawa puas.

"A'ah, yalah tu. Silap hari bulan kau mati terbongkang sebab makan pil khayal tu baru padan muka kau." Marina yang bertudung coklat membengkeng marah. Lengan bajunya disinsing sehingga ke paras siku.

"Aku kisah apa? Janji kepala aku nyaman dan ringan. Lantaklah mati ke apa ke!" Daud masih galak ketawa.

"Kadang aku pun terfikir nak makan benda tu. Aku tension dekat rumah, mak aku tu asyik berleter 24 jam. Rimas!" Ziera yang berambut panjang paras pinggang mengetap bibir. Geram hatinya mengenangkan situasi di rumahnya sendiri.

Suasana menjadi senyap tiba-tiba. Aliff dan Marina berpandangan sesama sendiri selepas mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Ziera.

"Walau tension sekalipun, janganlah sampai buat benda tak elok." Aliff menggumam perlahan. Wajah Daud dan Ziera dipandang silih berganti.

"Aku tak kacau orang kalau aku gaduh, teguk air haram, hisap gam. Aku buat hal aku sendiri je." Daud menepuk bahu Aliff sambil tersenyum kecil.

"Daud!" Marina menggeleng-gelengkan kepalanya pantas. Hairan benar melihat telatah Daud yang tak pernah makan nasihat yang diberikan.

Ilyana masih diam.

Nafasnya ditarik dalam.

"Kalau semua itu kau fikir cara yang terbaik untuk lupakan masalah, kau salah."

Suara Ilyana kedengaran tegas. Gadis itu memandang muka Daud dengan pandangan tajam.

"Kami semua sayang kau, Daud. Kami semua tak nak kau hancur sebab siang malam bergelumang dengan air haram tu. Tapi kau, kau tak pernah sayangkan diri kau sendiri. Tak pernah fikirkan pasal kami. Kau tetap buat benda tu bila kami tak ada bersama dengan kau. Aku sedih, Daud. Sedih tengok kawan baik aku macam ni." Ilyana meluah rasa, tubir matanya mulai terasa panas. Sebak!

Daud terdiam. Aliff mengeluh berat. Ziera dan Marina pula, masing-masing tertunduk merenung lantai. Kata-kata Ilyana itu memang benar, tidak dapat disangkal lagi

"Kau boleh saja tak berkawan dengan aku lagi, Yana." Daud bersuara separuh berbisik.

"Dan kau fikir aku jenis kawan macam tu? Akan biarkan kawan aku macam tu je tanpa tegur dan nasihati kau ? Wei, korang berempat dah macam adik-beradik kandung aku! Takkan aku nak tengok je kawan buat salah tapi tak tegur." Ilyana meninggi suara.

Sampai hati Daud menuturkan kata-kata tersebut. Sedangkan mereka berlima sudah lama berkawan. Walaupun ada umpatan dan cacian kedengaran di mulut jiran-jiran kerana Ilyana berkawan dengan mereka, Ilyana tidak kisah. Merekalah kawan-kawan terbaik yang pernah Ilyana miliki. Ya, yang terbaik!

"Yana, kau tegur aku macam mana pun, aku tak akan dapat tinggalkan benda ni semua. Aku dah ketagih! Kau jangan risau, kalau ada orang kacau kau, kau beritahu aku, aku akan bunuh orang yang kacau kawan baik aku." Daud bersuara serius namun senyuman lebar terukir di bibirnya.

Dan ketika itu juga, laju air mata Ilyana mengalir menuruni pipi gebunya. Gadis bertudung hijau itu menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Sebak, marah dan pilu, semuanya bercampur baur.


-Akan bersambung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan