-Seorang Maisara- (Bahagian 7)
Kedengaran azan subuh berkumandang dari surau kampung. Gemanya memecah hening dinihari yang dingin. Hujan renyai-renyai di luar menambahkan lagi kedinginan pagi yang menggigit itu. Di dalam rumah, Maisara yang sedang lena tidur terbangun tiba-tiba. Azan subuh pada pagi itu mbangunkan gadis berkulit hitam manis itu, tidak seperti hari-hari biasanya, di mana Maisara biasanya akan meneruskan tidurnya tanpa mempedulikan suara azan yang berkumandang,
"Masih gelap lagi!" Ujar gadis itu ketika membuka jendela biliknya.
Maisara mengeluh kecil. Luar biasa betul hari ini dia boleh terbangun ketika azan subuh berkumandang. Selalunya, selimut akan menjadi teman setia ketika waktu dinihari begini. Maisara duduk sebentar di atas katilnya, matanya memerhati sepasang telekung yang tergantung di tepi dinding.
Lama benar sudah telekung itu tidak berkhidmat.
Masih suci dan bersih telekung itu kerana tidak selalu digunakan.
"Sudah lama aku tak sembahyang." Bisiknya perlahan. Matanya masih merenung telekung yang putih bersih. Susah hati benar dia melihat telekung yang putih bersih itu, yang jelas menunjukkan dirinya sudah lama tidak menunaikan solat. Sudah lama mengabaikan kewajiban dirinya sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Agung! Yang menunjukkan dirinya ialah hamba yang derhaka. Derhaka!
"Derhakakah aku?" Sedikit tersentak hatinya tatkala terfikir tentang kewajiban sebagai hamba yang tidak ditunaikan. Lama Maisara merenung telekung itu sehinggalah akhirnya gadis itu bangkit dari katil dan melangkah perlahan ke arah telekung lamanya.
Tiba-tiba, kata-kata Mak Su Kiahnya terngiang-ngiang di telinganya.
"Engkau ni, kalau sembahyang cukup waktu pun tak guna! Muka macam engkau tak akan pernah cium bau syurga, jangankan hendak masuk syurga. Jangan bermimpi, Maisara! Jangan pernah bermimpi. Jadi, tak ada gunanya engkau sembahyang lima waktu sehari semalam. Ahli neraka tetap ahli neraka!"
Pedih hati Maisara mengingatkan kembali kata-kata orang tua bersanggul senget itu. Mudah benar menghukum orang lain, seakan-akan dirinya Tuhan. Padahal taraf manusia sama sahaja di mata Pencipta, yang bezanya cuma takwa!
"Aku mesti solat, aku tak boleh terus macam ni."
Maisara berbicara sendiri, telekungnya diusap lembut. Berhabuk telekung itu. Maisara tidak peduli sekali pun Mak Su melabelkan dirinya sebagai ahli neraka, dia tidak peduli! Mak Su bukan Tuhan untuk menetapkan siapa ahli neraka dan siapa yang layak menjadi ahli syurga. Bukan! Orang tua itu hanya sekadar manusia biasa, sekadar "hamba" seperti Maisara juga.
"Maisara, awal kamu bangun hari ni." Suara si ibu mengejutkan Maisara. Entah sejak bila ibunya berdiri di hadapan bilik Maisara, Maisara langsung tidak menyedarinya. Bunyi pintu dibuka juga langsung tidak kedengaran.
Wajah ibunya diperhati.
Tenang sahaja wajah itu memandang Maisara sambil tersenyum kecil.
"Terbangun tadi, mak." Maisara membalas perlahan. Agak takut-takut kerana bimbang ibunya masih marahkan dirinya gara-gara perkara yang berlaku malam tadi.
Halimah hanya tersenyum kecil melihat telatah si anak. Wajah Maisara yang agak takut-takut mengundang rasa lucu di hatinya. Maisara memang kasar, memang perengus dan memang pantang dicaci maki. Tetapi anak sulungnya itu sangat menghormati kedua-dua ibu bapanya, walaupun ketika itu, jelas-jelas bukan dirinya yang bersalah. Seperti apa yang baru sahaja terjadi malam tadi, yang jelas-jelas ianya bukan merupakan kesalahan Maisara.
Semua yang Halimah lakukan, semuanya untuk kebaikan Maisara.
"Kamu nak sembahyang?" Halimah menyoal pelik ketika terlihat anak sulungnya yang sedang memegang kain telekung. Maisara memandang wajah ibunya dan kain telekung silih berganti sebelum gadis itu menggumam perlahan.
"Ya, mak! Saya nak sembahyang subuh."
Jawapan yang diberikan Maisara membuatkan riak wajah si ibu bertukar terkejut. Halimah merenung wajah anak gadisnya dengan renungan tidak percaya. Maisara hendak bersembahyang? Maisara, anak sulungnya? Bermimpi gadis itu barangkali. Tidak pernah sebelum ini, gadis itu bangun pagi-pagi untuk menunaikan sembahyang. Demamkan Maisara?
"Kamu demam atau bermimpi?" Halimah menyoal lagi. Dahinya berkerut.
"Taklah, mak. Memang saya nak sembahyang!"
Pantas Maisara mengambil telekungnya yang digantung di tepi dinding. Dipeluknya erat telekung lama itu sambil memerhati wajah ibunya yang masih berdiri tercegat di hadapan pintu.
"Kalau nak sembahyang, pergi ambil wuduk sekarang. Abah sudah tunggu di ruang tamu. Kita sembahyang berjemaah. Cepat!" Suara si ibu jelas sedang mengeluarkan arahan kepada anak gadisnya.
"Baiklah, mak. Saya pergilah ni."
usai mengambil wuduk, Maisara memakai telekung lamanya. Terasa semacam pula ketika menyarung telekung itu pada tubuhnya. Ibu dan abahnya saling berbalas senyuman ketika melihat Maisara memakai telekung dan berpusing-pusing untuk menggayakan telekung tersebut. Haikal pula memerhati telatah aneh kakaknya itu. Anak kecil itu sudah lengkap bersongkok dan duduk di tepi sejadah.
"Maisara, sudahlah tu. Ini bukannya pertunjukan fesyen." Si abah tergelak melihat gelagat Maisara. Maisara mencebik bibir, boleh pula abah mengetawakannya dirinya. Haikal turut mengangguk-anggukkan kepala, sebagai tanda bersetuju dengan kata-kata si abah.
Selepas semuanya sudah bersedia, mereka sekeluarga pun menunaikan solat subuh dua rakat secara berjemaah. Malik menjadi imam bagi keluarganya. Haikal kelihatan tersengguk-sengguk ketika berdiri dan anak kecil itu tidak lagi bangun untuk rakaat yang kedua setelah sujud pada rakaat yang pertama.
Sebaik sahaja si abah habis membaca doa, Maisara terus menggeletek bahagian belakang Haikal yang masih lagi sujud di atas sejadah. Halimah menggeleng-gelengkan kepalanya, sudah terlalu biasa dengan perangai kedua-dua anaknya itu. Si Maisara, tidak sah jika dalam sehari gadis itu tidak mengusik Haikal.
"Hei, Haikal! Ini sujud ke tidur ni?" Maisara menyoal nyaring.
Tiada jawapan kedengaran dari Haikal.
"Haikal, bangun!"
Masih juga si kecil itu sujud di atas sejadah. Maisara mengeluh kecil, tidak pula dia tahu si Haikal boleh tertidur di atas sejada ketika menunaikan solat subuh. Maisara kemudian mendekatkan mulutnya di bahagian telinga Haikal dan menjerit kuat.
"Haikal! BANGUN CEPAT!"
Haikal terus bangun sebaik sahaja Maisara menjerit di telinganya. Anak kecil itu kelihatan terkejut. Wajah kakaknya direnung tajam, tidak berpuas hati dengan tindakan Maisara yang mengusiknya.
"Kak Sara, jangan kacau Eykal boleh tak?" Haikal memuncungkan mulutnya, tidak senang dengan kelakukan si kakak yang suka menganggunya.
"Tak boleh!" Pantas Maisara menjawab pendek.
"Kak Sara ni kan, tak sukalah Eykal kalau macam ni!"
Haikal merajuk. Tetapi Maisara nampaknya langsung tidak peduli akan rajuk adik lelaki bongsunya itu. Gadis itu bahkan lebih selesa mengetawakan Haikal sambil menepuk-nepuk bahu adik lelakinya itu. Haikal memerhati kakaknya seketika. Entah apa yang difikirkan oleh anak kecil berusia lima tahun itu.
"Kak Sara, kenapa kak Sara sembahyang? Bukankah kak Sara ahli neraka?"
Terkejut Halimah dan Malik mendengar soalan yang diutarakan oleh anak lelaki bongsu mereka kepada Maisara. Tidak menyangka anak sekecil itu akan bertanyakan soalan seperti itu. Langsung tidak menyangka! Jika kedua-dua ibu bapanya terkejut, Maisara pula kelihatan cukup bersahaja. Sudah tentu adik bongsunya itu mendengar kata-kata Mak Su, siapa lagi kalau bukan orang tua bermulut puaka itu?
"Haikal dengar dari mana benda ni?" Halimah menyoal cemas. Tangan orang tua itu sedang melipat kain telekung putihnya.
"Dari Mak Su!" Selamba Haikal menjawab.
Halimah terus terdiam, tidak tahu apa yang harus dibicarakan lagi. Malik menggeleng-gelengkan kepalanya sambil melemparkan pandangan yang tajam kepada isterinya yang duduk di sebelah.
"Haikal, selagi dunia belum kiamat, sesiapa pun boleh berubah menjadi orang yang lebih baik, menjadi hamba yang taat pada Tuhannya. Sekalipun Mak Su Kiah kita tu selalu kata kita ni ahli neraka,sebenarnya, dia tak ada hak pun untuk menentukan syurga dan neraka seseorang. Sepatutnya kita membimbing, bukan menghukum orang yang jahil agama macam kak Sara ni."
Haikal mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai tanda anak kecil itu memahami kata-kata kakaknya. Bibirnya diketap dan Haikal kelihatan pening seketika. Kemudian, anak kecil itu tersenyum lebar dan terus mendakap erat si kakak secara tiba-tiba.
"Sekalipun Mak Su kata kak Sara ahli neraka, Eykal percaya kita sekeluarga akan berkumpul di syurga nanti. Kita ronda-ronda syurga dengan kuda terbang!" Suara Haikal kedengaran sangat teruja.
Maisara terdiam.
Sebak hatinya mendengar kata-kata Haikal.
"Mampukah aku menggapai syurga sedangkan aku ini jahil dan hina?"
Menitis air mata Maisara. Semoga dikuatkan hatinya untuk terus berubah. Semoga tabah hatinya tatkala dicaci maki, disindir dan difitnah. Semoga!
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan