Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 24 Julai 2015

Seorang Maisara (Bahagian 6)



-Seorang Maisara- (Bahagian 6)


"Sebelum Mak Su hendak mengata orang, ada baiknya Mak Su cermin diri sendiri. Mak Su sendiri "Ratu Mulut Puaka" di kampung ini. Siapa tidak kenal Rokiah Binti Seman? Tukang jaja cerita! Kalau bukan saya, akan ada orang lain yang akan mengata keluarga Mak Su. What you give, you will get back!"
Maisara bersuara serius. Kening gadis itu terangkat sebelah, hatinya diamuk rasa marah dan geram yang teramat. Terasa hendak diterkamnya wajah orang tua bersanggul senget itu. Ratu Drama Kampung Kenanga! Mulut puaka! Maisara mendengus kasar.
"Biadap kau!" Mak Su menjerit kasar. Orang tua itu menyinsing lengan bajunya sekali lagi, kain batiknya diikat kuat-kuat. Pantas kaki orang tua itu melangkah menaiki tangga rumah kayu milik kakaknya. Tangkas tangan Mak Su menarik rambut Maisara sehingga gadis itu tersungkur di atas lantai.
"Kiah, lepaskan anak aku!" Halimah cuba menghalang, tetapi tidak berhasil. Adik bongsunya masih galak menarik rambut Maisara sehingga Maisara menjerit kesakitan.
"Orang tua tak sedar diri, kalau tak ada mak aku, tak ada orang nak tolong kau tebas semak-samun belakang rumah kau tu. Tak ada orang gaji percuma yang kau boleh suruh itu ini tanpa bayar apa-apa. Tak ada! Tak kenang budi, dasar adik tak sedar diri. Memperhambakan kakak kandung sendiri."
Mulut Maisara tidak berhenti menyumpah seranah walaupun Mak Su Kiahnya masih tidak berhenti menarik rambut dan menghempaskan badan gadis itu ke atas lantai. Malik turut masuk campur, tidak sanggup melihat anak daranya diperlakukan sedemikian rupa.
Tetapi, belum sempat pun Malik hendak menahan tangan adik iparnya, terdengar bunyi seseorang berdebuk jatuh ke atas lantai. Rengekan si bongsu, Haikal mulai kedengaran. Anak kecil itu mulai berasa takut melihat pergaduhan yang terjadi di hadapan matanya.
"Maisara! Sudah!"
Malik menjerit kuat ketika melihat Maisara pula yang sedang menarik rambut Mak Su Kiahnya. Gadis itu kelihatan sudah teramat marah, raungan Mak Su langsung tidak dipedulikannya. Amira yang berusaha menolong ibunya turut tersungkur jatuh kerana ditampar oleh Maisara.
"Maisara, cukup! Cukup! Demi mak, tolong berhenti!" Halimah meraung sendirian, sudah tidak berupaya menghalang kemarahan si anak sulungnya yang sudah terpendam sejak sekian lama. Malik menahan tangan Maisara, menyebabkan anak daranya itu meraung-raung minta dilepaskan.
Maisara mendengus kasar, Kedengaran nafas gadis itu turun naik tidak tentu arah. Mata gadis itu kelihatan merah, genangan air mata jelas kelihatan di situ.
"Jika tak kerana mak, aku tak akan lepaskan orang tua ini!"
Suara Maisara bergetar menahan marah. Amira yang menangis teresak-esak di suatu sudut, bergerak perlahan-lahan menghampiri ibunya yang sudah hampir pengsan. Rambut orang tua itu sudah menggerbang tidak terurus. Tiada lagi sanggul sengetnya seperti biasa!
"Kiah, baliklah. Aku tidak akan dapat halang Maisara naik angin untuk kali kedua. Baliklah, Kiah! Baliklah!" Malik bersuara tegas, tangan Maisara masih ditahan kuat. Bimbang gadis itu menyerang Mak Su nya semula.
Pantas Amira memimpin tangan ibunya, membawa orang tua itu melangkah pergi meninggalkan rumah Mak Ngah Halimahnya. Sebaik sahaja kelibat Mak Su Kiah hilang, Maisara terkejut wajahnya ditampar kuat oleh ibunya.
"Mak!" Maisara memandang wajah si ibu.
"Mak tak pernah ajar anak-anak mak untuk biadap dengan orang tua!" Suara Halimah bergema di kawasan rumah kayu itu, nyaring dan kuat.
"Mak.." Laju air mata Maisara mengalir. Wajah ibunya ditatap sayu, perasaan sedih mulai bertandang. Sakit dihina oleh Mak Su, sakit lagi ditampar oleh ibu kandung sendiri. Sakit!
"Berani kamu buat begitu dekat Mak Su kamu, Maisara. Berani kamu! Kamu tahu kan dia itu adik mak. Dia keluarga mak, satu-satunya adik perempuan yang mak ada. Mak tak kisah sekali pun jika mak perlu merangkak bekerja untuknya, asalkan dia bahagia! Mak tak kisah!"
Bercucuran air mata jatuh menuruni pipi Halimah.
Wajah Maisara direnung marah.
"Maisara, masuk dalam bilik sekarang. Biar abah yang uruskan semua ini. Masuk sekarang! Haikal, kamu pun pergi masuk bilk sekarang, pergi tidur awal. Esok pagi-pagi hendak ke sekolah!" Malik mengarahkan anak-anaknya masuk ke dalam bilik dengan wajah yang serius.
Maisara akur, mungkin itu yang terbaik dilakukan buat masa sekarang. Bertekak dengan ibunya bahawa Mak Su Kiah yang memulakan pergaduhan tersebut hanya akan memburukkan keadaan. Perlahan kaki Maisara melangkah masuk ke dalam bilik. Haikal juga begitu. Anak kecil itu sempat memandang takut-takut ke arah kedua-dua orang tuanya sebelum masuk ke dalam bilik. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, Maisara merebahkan dirinya di atas katil.
Air matanya dikesat dengan tangan.
"Salahkah apa yang aku buat tadi?" Maisara menyoal dirinya sendiri. Siling di atas direnung kosong, bantal berbentuk hati berwarna merah dipeluk erat.
Maisara mengeluh kecil. Rambutnya dibelai perlahan, sakit benar kepalanya. Maisara fikir, segalanya akan menjadi lebih baik setelah dia bangun pada keesokan paginya. Semoga!
Perlahan-lahan matanya cuba dipejamkan.
Dan ketika mata itu mulai terpejam, bayang wajah seseorang yang langsung tidak dikenalinya datang menerpa di ruang minda. Membuatkan lenanya sedikit terganggu. Membuatkan malamnya menjadi berbeza dari sebelumnya. Mimpi yang aneh datang membawa tanda tanya!
-Akan bersambung -


Perhatian : 

Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya. 

Harap maklum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan