Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 24 Julai 2015

Seorang Maisara (Bahagian 5)

-Seorang Maisara- (Bahagian 5)

Usai makan malam, Maisara membantu ibunya membasuh pinggan mangkuk di dapur. Bunyi pinggang mangkuk berlaga jelas kedengaran, menyebabkan adik lelaki bongsu Maisara, Haikal, menutup kedua-dua belah telinga. Anak kecil yang berusia lima tahun itu hanya memerhati si kakak "bertarung" dengan pinggan dan mangkuk di sinki.
"Haikal, abah mana?" Si ibu yang masih mengemas meja makan bertanya, dahinya berkerut seketika saat menyedari suaminya tiada di situ. Aneh pula orang tua itu, lekas benar menghilangkan diri.
"Abah jahit pukat ikan!" Nyaring suara Haikal menjawab pertanyaan ibunya. Tangannya masih menutup kedua-dua belah telinga. Matanya masih setia memerhati tangan Maisara pantas mencuci pinggan mangkuk. Sesekali, kedengaran suara Maisara menggumamkan sesuatu yang berbunyi "Melekit! Melekit!" sambil tangannya menyental kuat kotoran yang terdapat pada pinggan.
"Abah kamu tu, jarang benar lekat di rumah. Tidak dapat berjauhan dari pukatnya. Apa boleh buat, itu sahaja sumber rezeki yang kita ada."
Haikal menggaru-garu kepalanya perlahan saat mendengar ibunya mengomel sendirian. Anak kecil itu melangkah mendekati si ibu dan kemudian, menyoal dengan suara perlahan;
"Mak, kenapa keluarga Mak Su selalu buli keluarga kita?"
Tangan Maisara tiba-tiba berhenti mencuci tatkala mendengar soalan yang dilontarkan oleh adik bongsunya. Buih sabun yang memenuhi tapak tangannya direnung kosong. Maisara tidak tahu apa sebabnya Haikal tiba-tiba bertanya tentang perkara itu, yang pasti, Maisara tahu bahawa adik bongsunya itu sudah mulai menyedari keluarga mereka selalu menjadi "hamba" kepada adik bongsu ibu mereka. Marah benar hati Maisara mengenangkan perkara itu.
"Haikal, kenapa Haikal tanya macam tu?" Si ibu menyoal, senyuman kecil dihadiahkan kepada anak bongsunya.
"Mak, budak kecik pun sedarlah, mak! Haikal bukannya pekak dan buta!"
Suara Maisara sedikit meninggi. Menyedari wajah ibunya mulai berubah, Maisara mengeluh kecil. Gadis itu menghabiskan kerjanya segera dan selesai sahaja semua pinggan dan mangkuk dicuci, Maisara segera melangkah menghampiri ibunya.
"Mak, saya tak tahan tengok mereka buat kita macam ni. Kita pun manusia, mak. Manusia! Mak jangan turutkan sangat Mak Su tu. Mak dah lupakah? Mereka pernah fitnah kita sekeluarga sampai nama kita buruk sekampung." Maisara bersuara kesal, wajah ibunya direnung sayu.
"Maisara, dia masih adik mak. Masih keluarga kita walau seburuk mana pun dia. Maafkanlah dia, Maisara. Tak baik kita bergaduh sesama kita. Biarlah mereka menghina, jangan kita yang menghina mereka." Lembut tutur bicara ibunya.
Maisara langsung tidak faham. Bagaimana mungkin begitu mudah untuk memaafkan mereka? Mungkin ibunya mampu tetapi Maisara? Maisara tidak yakin dia mampu melupakan semua itu. Tidak mungkin dia mampu!
"Halimah! Halimah! Keluar Limah!!"
Kedengaran suara seseorang menjerit-jerit di luar rumah mereka dan Maisara dengan cepat dapat mengenal suara itu. Suara yang tidak lain tidak bukan, suara Mak Su Kiahnya!
"Apa pulak Kiah ni terjerit-jerit malam-malam begini?" Si ibu melangkah keluar ke halaman rumah, Maisara dan Haikal mengekori dari belakang.
Maisara mulai berasa tidak sedap hati ketika melihat Mak Su dan Amira berdiri sambil bercekak pinggang di halaman rumah mereka. Amira ialah anak perempuan Mak Su, setahun lebih tua daripada Maisara. Dan Amira itu, tidak pernah sekepala dengan Maisara, sejak kecil lagi sehinggalah sekarang. Bagi Maisara, Amira itu memang bijak membawa watak. Batu api! Pengadu domba! Masak benar Maisara dengan perangainya.
"Bawa anak dara engkau ke sini, Angah!" Mak Su menjerit kuat. Lengan baju kurung dilipatnya sehingga paras lengan, seolah-olah hendak mengajak bergaduh.
"Kenapa ni, KIah? Kenapa dengan Maisara?" Si abah yang masih memegang pukat muncul tiba-tiba di halaman rumah sambil memerhati tajam wajah adik iparnya itu.
"Aku nak ingatkan engkau berdua, jaga anak dara kau berdua baik-baik! Jaga dia, jangan sampai dia bawa mulut satu kampung mengata anak aku. Hei Maisara, mulut engkau tu mulut jahat! Berani kau mengata Mira. Kau belum rasa, aku robek-robek mulut engkau agaknya."
Dahi Maisara berkerut, langsung tidak mengerti apa-apa yang dikatakan oleh Mak Sunya itu. Si ibu dan abah turut memerhati wajah Maisara dan kemudian, si abah bersuara tenang,
"Aku percaya anak aku bukan begitu. Jangan pandai-pandai burukkan dia."
Maisara tersenyum kecil saat mendengar abah mempertahankan dirinya. Bukan selalu dia dapat mendengar abah bersuara kerana orang tua itu selalu menghabiskan masa di sungai untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga.
"Kau tahu apa, Malik? Kau tu bertapa dekat sungai, bukan lekat duduk di rumah. Manalah kau tahu betapa buruknya perangai anak dara kau ni." Mak Su mengherdik kuat. Jari telunjuknya ditudingkan kasar ke arah Maisara.
"Saya tak tahu apa yang orang tua ni meroyan, abah!" Maisara bersuara sinis, riak wajahnya cukup bersahaja.
"Dah, anak aku cakap dia tak tahu apa-apa! Kau baliklah ke rumah kau. Buat kecoh saja kat rumah aku. Dan satu lagi, aku pandailah didik anak dara aku bagaimana. Engkau pula, didik anak dara kau sendiri, sebab walaupun aku selalu berada di laut, bertapa di sana bak kata kau, aku tahu perangai anak dara kau macam mana, Kiah! Jangan kau nak sorok dari aku! Dan aku juga kenal benar siapa Maisara, kerana aku bapak dia. Kau faham?"
Suara abah mulai meninggi. Matanya mencerlung tajam ke arah Mak Su dan Amira. Amira kelihatan menggigil seketika sambil menarik-narik lengan baju ibunya. Mak Su Kiah pula kelihatan tergamam, mata orang tua itu terbeliak merenung wajah Malik, abang iparnya.
"Kau tak tahu, anak engkau tu jahat, Malik!" Suara Mak Su sedikit bergetar.
-Akan bersambung bahagian enam-


Perhatian : 

Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya. 

Harap maklum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan