-Seorang Maisara- Bahagian 19
"Kamukah tu, Maisara?" Halimah kelihatan teragak-agak naik ke atas beranda. Wajah anak daranya direnung pelik. Tangan diletakkan di dahi Maisara, bimbang anak daranya itu tiba-tiba demam selepas terlanggar pintu kereta kelmarin. Siapa tahu?
"Apa ni? Kenapa dengan mak ni?" Maisara mengalihkan tangan si ibu dari dahinya. Tudungnya yang senget dibetulkan.
Halimah memerhati penampilan baru anak gadisnya.
Tidak berkelip mata orang tua itu memandang Maisara.
"Entah apa mimpi kamu tiba-tiba pakai tudung ni." Halimah bersuara perlahan. Cuba menghilangkan rasa terkejut yang masih beraja dalam dirinya. Bukannya dia tidak suka melihat Maisara bertudung, dia cuma terkejut melihat perubahan tiba-tiba anak daranya itu. Sebelum ini, bukan main lagi Maisara ke sana dan ke sini dengan rambut pendek paras bahu miliknya, langsung tidak pernah kisah dengan mulut-mulut orang-orang kampung yang mengutuk. Terutama mulut si Haji Mahmood yang selalu menghina Maisara yang tidak bertudung.
Bila ditanya oleh si ibu bila lagi hendak bertudung;
"Banyak dah saya tengok, ramai yang elok bertudung tetapi masih bermaksiat. Sesuka hati lelaki pegang sana sini, murah! Bukan setakat yang bertudung biasa, yang bertudung labuh dan berpurdah pun ada yang join sekaki. Saya malu mak, tengok mereka macam tu. Bagi yang jahil macam saya ni, bila tengok mereka macam tu, rasa macam "plastik" pun ada. Sepatutnya mereka tunjukkan contoh yang baik kepada kami yang jahil agama ini, agar kami dapat ikut jejak mereka."
Hanya itulah jawapan yang diberikan oleh Maisara beberapa tahun yang lalu. Sehingga ibunya naik jemu untuk bertanya tentang perkara yang sama. Disebabkan itulah, Halimah terkejut melihat Maisara mengenakan tudung. Bidang 50 pula yang digunakan olehnya. Agak labuh menutup dada. Kalau Mak Su melihat Maisara bertudung begini, sudah pasti naik meroyan orang tua itu. Mana taknya, Maisara itulah yang selalu dicopnya sebagai ahli neraka.
"Kenapa kamu bertudung, bukankah kamu pernah kata wanita bertudung itu "plastik" suatu ketika dahulu?" Halimah cuba menduga anak gadisnya. Maisara mengerutkan dahi merenung wajah si ibu, agak tidak menjangka soalan itu akan dilontarkan kepadanya.
Maisara mengeluh kecil.
"Memang ada muslimah "plastik", yang bersembunyi di sebalik pakaian, yang menjadikan pakaian mereka sebagai topeng semata-mata tetapi tidak semuanya begitu, mak! Dalam longgokkan permata palsu, pasti masih ada tersembunyi permata asli nan berkilau. Pasti masih ada! Cuma sukar nak jumpa, dan saya bertudung sebab saya rasa saya tiba-tiba nak bertudung. Mungkin Allah detikkan keberanian dalam hati saya untuk mula belajar menutup aurat. Mak doakan saya ya, saya tak nak menjadi muslimah yang memburukkan imej muslimah yang lain! Saya tak nak jadi plastik!" Sedikit emosi suara Maisara.
Tangan ibunya digenggam erat.
"Saya nak jadi anak yang terbaik untuk mak dan abah. Tak nak nanti, kerana saya yang tak tutup aurat, mak dan abah dilemparkan ke neraka."
Panas tubir air mata Halimah mendengar bicara si anak. Senyuman kecil dihadiahkan kepada Maisara, kepala gadis itu diusap lembut dan penuh cinta. Syukur, hidayah Allah telah menjentik hati keras bak batu milik Maisara. Benarlah, jika Allah berkehendakkan sesuatu, tiada apa pun yang mustahil. Syukur Alhamdulillah!
"Mak sentiasa doakan yang terbaik untuk Maisara." Dipeluknya erat tubuh si anak. Air mata yang mengalir laju dikesat pantas, bimbang diketahui oleh Maisara.
Maisara juga sedang menahan sebak.
Tetapi gadis itu cukup kuat untuk tidak menangis ketika itu.
"Mak, saya pergi ke pasar dulu. Takut lambat!" Ujar Maisara, suaranya agak bergetar. Halimah mengangguk perlahan, tubuh Maisara dilepaskan daripada pelukan.
"Pergilah, hati-hati. Jangan terlanggar pintu kereta lagi!" Maisara tergelak kecil mendengar pesanan ibunya. Pantas tangan ibunya disalami sebelum Maisara berlari-lari anak menuju ke simpang jalan besar. Sebaik sahaja kelibat Maisara sudah tidak kelihatan, Halimah melabuhkan punggungnya di atas tangga. Duduk seketika sambil termenung jauh.
"Maisara, Maisara."
Halimah mengomel sendirian.
Sementara itu Maisara yang sedang dalam perjalanan menuju ke pasar, terserempak dengan beberapa orang kampung. Masing-masing memandang Maisara dengan mata terbeliak, terkejut dengan gaya penampilan baru gadis itu.
"Eh, si Maisara ke tu?"
"Dia mimpi hari kiamat kot, sebab tu pakai tudung."
"Nak mati dah tu, sebab tu bertaubat!"
"Mungkin Maisara nak kahwin dengan ustaz, sebab tu bertudung."
Macam-macam andaian yang diluahkan oleh orang-orang kampung. Haji Mahmood turut merenung tidak percaya ketika gadis bertudung hitam itu melintasi kawasan warungnya. Masakan Maisara mampu berubah seperti itu, dengan tudung yang lebih labuh daripada si Humaira, anak gadis Haji Mahmood sendiri?
Ini tak boleh jadi!
Malu benar rasa Haji Mahmood ketika itu.
Maisara itulah yang selalu diperli dan dicacinya.
Tetapi kini gadis sudah mulai bertudung?
"Tuan Haji, tengok Maisara tu, sejuk hati aku tengok dia pakai tudung macam tu. Baju pun dah tak ketat macam biasa. Itulah dulu Tuan Haji, orang yang nampak jahil jangan dihina. Silap hari bulan, orang yang nampak jahil itulah yang boleh jadi jauh lebih baik daripada kita." Salah seorang pelanggan yang datang membeli kuih di warung Haji Mahmood bersuara menempelak. Memulang paku buah keras!
Pedih telinga Haji Mahmood mendengarnya.
Wajah isterinya, Hajjah Sofia turut bertukar menjadi merah padam.
Tanpa berfikir panjang, Haji Mahmood melangkah menuju ke arah Maisara. Dihalangnya gadis berkulit hitam manis itu daripada meneruskan perjalanan ke pasar. Beberapa orang pelanggan di warungnya memerhati penuh minat untuk melihat apa yang akan berlaku. Mereka sedia maklum, Haji Mahmood dan Maisara itu ibarat anjing dengan kucing. Selalu tidak sependapat dan bertengkar!
"Kenapa kau pakai tudung hari ni?" Kasar suara Haji Mahmood melontarkan pertanyaan kepada Maisara. Wajah gadis bertudung hitam itu ditatapnya marah.
"Sebab saya nak pakailah!" Maisara menjawap selamba.
Malas sungguh rasanya hendak bertengkar dengan Haji Mahmood awal-awal pagi begini. Lagipun, tentang tudung yang dipakai oleh Maisara, itu tiada kena-mengena langsung dengan orang tua itu. Suka hati Maisaralah nak pakai tudung!
"Kau bukak tudung tu! Bukak!" Haji Mahmood menerkam kepala Maisara tiba-tiba, ditariknya tudung gadis itu sekuat hati.
"Eh, apa ni? Kenapa tarik tudung orang ni?" Maisara cuba menepis tangan tangan Haji Mahmood tetapi tidak berdaya. Terlalu kuat cengkaman tangan orang tua itu pada kain tudungnya. Beberapa orang penduduk kampung datang melihat kekecohan tersebut.
"Kau tak layak pakai tudung labuh ni. Kau bukan budak sekolah agama! Bukan budak sekolah tahfiz macam anak aku, Humaira. Kau cuma budak sekolah aliran biasa yang jadi kuli orang kat pasar. Tak layak kau pakai tudung ni. Bukak cepat!" Haji Mahmood masih berusaha menanggalkan tudung Maisara tetapi tenaga Maisara juga cukup kuat untuk terus memastikan tudungnya masih kekal di atas kepala.
"Bukak tudung dia, bang!" Hajjah Sofia bersuara menyokong tindakan suaminya. Semakin ramai orang kampung datang untuk melihat apa yang berlaku. Bukannya datang untuk membantu Maisara yang dihempaskan oleh Haji Mahmood dan Hajjah Sofia ke atas jalan raya, tetapi hanya sekadar datang untuk melihat sahaja. Langsung tidak terfikir untuk membantu!
"Tolong saya! Tolong jangan bukak tudung saya!"
Sayu suara Maisara meminta belas kasihan. Tangannya masih cekal memegang tudung, masih sanggup untuk mempertahankan sehelai kain di atas kepala itu walaupun baru sahaja memakainya.
"Kau ingat kau siapa nak pakai tudung labuh begini? Mak bapak kau bukan Haji dan Hajjah, bukan agamawan, bukan ilmuwan! Jangan nak bajet alim sangat, baik kau bukak tudung kau sebelum aku rendam kau dalam tangki air belakang rumah aku!" Hajjah Sofia menampar wajah Maisara berkali-kali. Puas benar hatinya dapat mengerjakan Maisara. Berlagak!
Mengalir air mata Maisara diperlakukan sedemikian rupa.
Sakit! Terlalu sakit!
"Susah benar hendak mencabut tudung budak ni!" Haji Mahmood bersuara marah. Diarahkannya si isteri membawa gunting dari warung kepadanya. Ketika gunting itu sudah berada di tangan Haji Mahmood, hendak diguntingnya tudung si Maisara.
"Jangan! Tolong kasihani saya. Jangan gunting tudung saya!" Maisara sudah bermandi air mata. Gadis itu cuba melarikan diri tetapi kakinya ditahan oleh Hajjah Sofia. Tangannya pula ditahan oleh Haji Mahmood. Maisara tidak berdaya. Tidak berdaya! Tiba-tiba, kedengaran suatu suara menjerit lantang, menyebabkan gunting yang sedang dipegang oleh Haji Mahmood,ter jatuh ke atas jalan raya.
"Mahmood! BINATANG SUNGGUH PERANGAI KAMU!"
Haji Mahmood terperanjat melihat Mak Som yang sedang memegang sebilah parang di tangan. Muncul tiba-tiba entah dari mana, berkain batik dan berkasut but. Tajam mata orang tua berbadan gempal itu memamah wajah Haji Mahmood. Parang dihalakannya ke arah wajah orang tua berkopiah itu.
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan