Seorang Maisara- Bahagian 20
"Kak Som.." Bergetar suara Haji Mahmood memandang wajah Mak Som. Hajjah Sofia yang masih menahan kedua-dua belah kaki Maisara segera bersembunyi di belakang suaminya. Orang-orang kampung yang sejak tadi galak menjadi penonton mulai menjauhkan diri. Parang Mak Som kelihatan cukup tajam diasah untuk menetak sesiapa yang ada di situ.
"BINATANG KAU!" Jerkah Mak Som kasar.
"Nek, tolong saya nek..tolong.." Maisara menangis merayu. Gadis itu merangkak perlahan ke arah Mak Som yang tercegat berdiri sambil menghunus parang. Tidak larat rasanya untuk bangkit berdiri, seluruh tubuh badannya terasa sakit.
"Ya Allah ya Tuhanku! Maisara!" Mak Som memeluk badan Maisara. Parangnya diletakkan di sisi. Habis renyuk dan koyak-rabak tudung Maisara ditarik dan diterkam oleh Haji Mahmood dan Hajjah Sofia. Muka Maisara diperiksa teliti dan orang tua itu menjerit marah ketika menyedari mulut dan hidung Maisara berdarah.
Melampau betul!
"Nek, tudung saya nek...tudung saya.." Maisara terus menangis. Kedua-dua belah tangan masih setia memegang tudung yang sudah hampir tertanggal dari atas kepalanya. Kerongsang yang digunakan untuk menggayakan tudung sudah tercabut dan hilang entah ke mana.
Melihat keadaan Maisara sebegitu, Mak Som mendengus marah.
Parang yang tergeletak di sisi diambil semula.
"Kau orang berdua ni, memang lagi teruk dari binatang!" Herdik Mak Som lantang. Parangnya dihayunkan tepat ke arah kepala Haji Mahmood. Mujur Haji Mahmood pantas mengelak, jika tidak, alamatnya, ke liang lahadlah jawabnya selepas ini.
"Kak Som, sabar kak Som!" Hajjah Sofia bersuara takut-takut.
"Sabar? Kau suruh aku bersabar? Hoi, Sofia! Tak layak kau jadi Hajjah kalau begini perangai kau. Nasib baik aku dalam perjalanan pergi ke warung nak beli kuih, kalau tak, mati budak Maisara ini kau dua orang kerjakan. Kalau itu berlaku, memang aku cencang daging engkau dan suami engkau kepada seratus cebisan, kau dengar? Lepas tu aku lempar dalam sungai, biar buaya baham!"
Marah sungguh Mak Som.
Parangnya dihayunkan lagi beberapa kali.
Bersilat Haji Mahmood dan Hajjah Sofia disebabkannya.
Dari kejauhan, Firdaus dan Rayyan berlari pantas menuju ke arah Mak Som. Tangan Mak Som yang tidak berhenti menghayunkan parang ke arah Haji Mahmood membuatkan Firdaus menjadi cemas. Neneknya itu pun satu, sudah sampai di kebun, katanya mahu ke warung sebentar membeli kuih-muih pula. Tetapi lain yang dirancang, lain yang terjadi, mengamuk pula si nenek di situ.
"Nenek! Nenek! Stop. nek!" Firdaus cuba menahan tangan neneknya.
Tetapi Mak Som masih galak menghalakan parangnya ke arah Haji Mahmood dan Hajjah Sofia. Kecut perut Haji Mahmood dibuatnya. Boleh terbang kepalanya kalau orang tua gempal itu berterusan menghayunkan parang. Gulp!
"Nek, tenang nek. Istighfar!" Rayyan pula yang bersuara, cuba menenangkan Mak Som yang mengamuk dengan parang. Mak Som menepis tangan Firdaus kasar. Rayyan mengambil peluang tersebut untuk memujuk Mak Som memberikan parang di tangan orang tua itu kepadanya.
Dan cara itu berhasil.
Parang diserahkan kepada Rayyan!
"Kau orang berdua, kalau kau berdua ganggu lagi Maisara, siap! Dan selepas ini, aku jumpa kau orang berdua di balai polis. Aku akan suruh Maisara reportkan engkau!" Mak Som menjerit kasar. Sempat orang tua itu menyepak kaki Haji Mahmood sebelum melangkah mendekati Maisara semula.
Tubuh Maisara diraih ke dalam dakapannya.
"Firdaus, kamu pergi bawak kereta kamu ke sini. Kita bawak Maisara pergi hospital. Teruk budak ini kena hempas dengan dua ekor tu! Tak ada hati perut!" Mak Som bersuara mengarah. Wajah orang ramai yang mulai mengerumuni Maisara semula diperhati tajam.
"Yang kau orang semua ni kenapa? Pergi balik rumah masing-masing! Tadi budak ni kena hempas, kau orang seronok jadi penonton setia. Nanti kau orang jawablah depan Allah nanti, tak melarang, tak menghalang kezaliman berlaku di depan mata. Balik! Menyemak saja kat sini! Langsung tak berguna!" Bentak Mak Som marah. Orang ramai menjarakkan diri mereka daripada Mak Som tetapi masih belum beredar dari tempat itu. Mak Som menjerit marah lagi, kali ini suaranya bergema di tempat itu.
Firdaus menelan air liurnya sendiri melihat kemarahan si nenek.
Tidak berkelip matanya merenung wajah neneknya.
Menakutkan!
"Aku rasa, lebih baik kau cepat-cepat bawa kereta ke sini. Sebelum nenek engkau hayunkan parang tajam dia tu kat engkau pula." Rayyan sempat berbisik di telinga Firdaus. Firdaus mengangguk pantas, ada benarnya kata-kata si Rayyan itu. Pantas kakinya berlari menuju ke arah kereta Myvi merah yang terletak di hadapan kebun neneknya.
Rayyan yang masih tinggal di hadapan warung Haji Mahmood bersama dengan Mak Som mengarahkan orang ramai segera bersurai. Dengan wajah berat hati, masing-masing mulai meninggalkan tempat tercetusnya kekecohan. Haji Mahmood dan Hajjah Sofia juga diminta oleh Rayyan agar menyembunyikan diri, bimbang Mak Som mengamuk dengan parang buat kali kedua.
"Rayyan, tolong nenek angkat Maisara Letak dia ke tepi jalan, daripada budak ni terus terbaring tak bermaya di tengah-tengah jalan begini." Mak Som bersuara sebak, Rayyan diminta agar membantunya mengangkat badan Maisara.
Tetapi Maisara tiba-tiba bersuara lemah.
Ditepisnya kasar tangan Rayyan yang baru hendak menyentuhnya!
"Tak payah..saya tak..redha..lelaki..asing..pegang..saya.."
"Tapi kamu lemah sangat ni, Maisara!" Mak Som terus mendesak. Dia lebih bimbangkan keadaan Maisara yang sangat lemah ketika ini. Tetapi Maisara pula? Langsung tidak mengizinkan dirinya disentuh walaupun dalam keadaan tidak berdaya seperti itu.
"Langkah..mayat..saya...dulu.."
Dan selepas itu, mata gadis berkulit hitam manis itu terus terpejam erat. Langsung tidak menyedari apa yang berlaku terhadap dirinya selepas itu. Walaupun selepas tubuhnya diangkat masuk ke dalam kereta Myvi berwarna merah, Maisara langsung tidak sedar.
Langsung tidak!
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan