Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Isnin, 27 Julai 2015

Seorang Maisara (Bahagian 18)



-Seorang Maisara- Bahagian 18


Pagi itu, usai solat subuh berjemaah dengan keluarga, Maisara menyempatkan diri untuk membaca beberapa petikan ayat al-Quran di dalam buku "Zainab Al Ghazali yang dibacanya malam tadi. Hendak membaca al-Quran, al Quran lamanya sudah kabur dan huruf di dalamnya sudah hampir hilang. Halamannya juga banyak yang terkoyak.
Maisara dulu langsung tidak pernah peduli kiranya al Quran itu basah terkena air hujan. Dan bagaimana kucing parsi Haji Mahmood telah mencakar-cakar al Quran lama Maisara sehingga koyak-rabak ketika Maisara masih belajar mengaji di rumah orang tua itu beberapa tahun yang lalu.
Geram benar Maisara dengan kucing gemuk itu. Rasanya seperti hendak dilemparkannya si gemuk itu ke dalam sungai ketika itu.
"Maisara, dah siapkah? Kamu nak hantar Haikal tadi kan? Haikal dah siap tu." Si ibu yang muncul tiba-tiba di hadapan pintu biliknya mengejutkan Maisara.
"Belum siap. Mandi pun belum!" Maisara menjawab malas.
"Mak pun boleh tengok itu." Halimah menggeleng-gelengkan kepala, si anak yang masih lengkap bertelekung diperhati dan kemudian, orang tua itu menutup pintu bilik si anak perlahan.
"Mak, suruh Haikal jalan sendirilah!" Maisara menjerit kuat agar ibunya dapat mendengar suaranya di luar.
"Haaaa, molek sangatlah tu! Silap hari bulan, ke bendang Pak Mat itu ditujunya, bermain dengan kerbau!"
Maisara tergelak mendengar balasan suara geram si ibu dari arah ruang tamu. Takut benar orang tua itu Haikal pergi melawat kerbau Pak Mat di bendang.
Tapi Maisara rasa, kerbau Pak Mat tu comel juga! Selalu kerbau itu berbunyi tatkala Maisara melintasinya, seolah-olah makhluk Allah yang satu itu sedang menegur Maisara mesra.
Maisara meletakkan buku "Zainab Al Ghazali" di atas meja. Telekungnya ditanggalkan dan kemudian, telekung itu dilipat kemas sebelum digantung di tepi dinding. Tuala berwarna biru muda yang disidai di jendela dicapai malas. Perlahan-lahan kaki gadis itu melangkah menuju ke pintu bilik.
"Mengantuknya!" Maisara menguap. Pintu bilik dibuka. Kakinya diheret menuju ke bilik air.
Usai mandi, Maisara terasa lebih bertenaga dan segar. Gadis itu mulai bersiap-siap untuk turun kerja. Plastik hitam di atas meja digapai. Seluar jeans berwarna hitam dikeluarkan dan disarungkan terus ke badan. Baju berwarna coklat di dalam almari digapai dan dipakai.
"Bagus!" Ujar Maisara yang cukup berpuas hati ketika melihat gayanya sendiri di dalam cermin besar di biliknya. Cermin yang mampu memuatkan keseluruhan badan Maisara di dalamnya.
Maisara memusing-musingkan badannya. Baju tidak ketat, berlengan panjang, tutup bahagian punggung. Seluar jeans hitam yang longgar dan tak ikut bentuk kaki. Okay, beres!
"Tudung lagi."
Tudung yang masih tersimpan rapi di dalam plastik dikeluarkan. Akel berwarna hitam digapai dan dipakai. Agak kekok Maisara memakai Akel bidang 50 itu memandangkan sudah terlalu lama dia tidak memakai tudung.
Maisara merenung wajahnya sendiri di dalam cermin. Manis juga ya! Maisara tersengih sendiri, tidak menyangka dirinya nampak manis menyarung tudung Akel bidang 50.
"Tapi ayu sangat! Aku kan kasar." Maisara kelihatan berfikir seketika. Beberapa minit kemudian, gadis itu menggumam perlahan.
"Tak apalah. Nampak ayu ke, nampak macam Heliza Helmi ke, Diana Amir ke, janji Allah redha. Tapi kalau nampak macam Ummi Nazeera pun boleh juga." Maisara berbicara sendiri. Diperhatinya sekali lagi gaya pakaiannya di dalam cermin.
"Set!"
Beg biru kesayangannya yang digantung di tepi dinding digapai. Pintu bilik dibuka. Pantas Maisara menggapai kasutnya di dalam kotak di belakang pintu. Dibawanya kasut itu ke beranda.
Ketika gadis itu sedang mengikat tali kasut, ibunya baru sahaja balik dari menghantar Haikal ke sekolah. Orang tua itu berasa pelik melihat ada seorang perempuan bertudung di beranda rumahnya. Semakin hampir, semakin Halimah mengenali sesosok tubuh itu.
"Maisara?" Soal Halimah terkejut. Berkelip-kelip mata Halimah yang masih berdiri di atas tangga, merenung anak sulungnya yang telah selesai mengikat tali kasut.
-Akan bersambung-


Perhatian : 

Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya. 

Harap maklum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan