-Seorang Maisara- Bahagian 17
"Kamu pasti masih nak turun berniaga esok? Muka kamu bengkak tu!" Halimah turut menyoal si anak. Agak sedikit khuatir untuk membenarkan Maisara turun bekerja dalam keadaan seperti itu.
Tetapi Halimah faham benar dengan perangai Maisara. Kalau Maisara kata akan turun kerja, memang gadis itu akan turun bekerja jua walau seteruk mana pun sakitnya! Maisara itu, bukan senang hendak diubah dan dipengaruhi fikirannya. Payah benar!
"Tak apalah, mak. Bengkak sikit saja pun." Maisara masih berdegil.
"Suka hati kamulah, Maisara." Malik menggeleng-gelengkan kepalanya, degil benar anak daranya itu. Abah dan maknya pula yang risau lebih-lebih, dia sendiri? Duduk relaks baca buku, langsung tak nampak seperti orang baru sahaja ditimpa kemalangan.
Maisara bingkas bangkit dari tempatnya bersila.
Kakinya melangkah menuju ke bilik tidur.
Tiba-tiba, matanya terasa mengantuk pula.
"Awal benar kamu masuk ke bilik malam ni. Selalunya jam 9 macam ni, kamu masih berlunjur kaki di atas kerusi, baca buku!" Halimah menegur anak gadisnya yang berjalan mengheret kaki menuju ke bilik. Malik juga memandang aneh ke arah anak daranya! Kebelakangan ini, aneh benar perangai si Maisara. Tidak seperti biasanya!
"Orang dah ngantuk, esok bangun awal." Balas Maisara bersahaja.
"Bukan kamu selalu pergi kerja pukul 8 pagi ke?"
Maisara menggaru-garu kepala, banyak betul soalan yang dilontarkan olah mak dan abah kepadanya malam itu. Sampai naik pening Maisara hendak manjawabnya. Tidak terjawab rasanya!
"Subuh!" Jawab Maisara pendek.
Kalau dibiarkan tidak berjawab, nanti maknya merajuk pula. Orang tua itu memang kuat merajuk, walaupun sudah agak berusia. Bak kata abah, semakin meningkat umur, semakin galak rajuknya. Sikap mak yang satu itu memang diwarisi oleh si Haikal yang kuat merajuk. Persis!
"Yeay! Esok kak Sara solat subuh lagi, dapat jemaah sama-sama!" Haikal menjerit gembira. Habis tangan abahnya digoncang-goncang kerana gembira mendengar si kakak hendak bangun awal keesokan hari untuk menunaikan sembahyang subuh.
"Seronoknya Haikal!" Ujar Maisara perlahan.
Wajah adiknya direnung sambil tersenyum kecil sebelum gadis itu masuk ke dalam bilik. Malik dan Halimah berpandangan sesama sendiri sebaik sahaja Maisara menghilang dari pandangan. Kedua-duanya tersenyum penuh makna.
"Abang perasan kan? Perubahan Maisara?" Halimah menyoal si suami yang masih duduk selesa di atas kerusi sandar rotan. Malik mengangguk-angukkan kepala, menandakan dia juga turut menyedari perubahan mengejut Maisara.
Siapa yang tidak terkejut melihat anak yang kasar, degil, pemarah dan suka menjawab kata-kata orang tua, yang dahulunya tak pernah peduli tentang solat akhirnya tiba-tiba sanggup bangun awal pagi untuk menunaikan kewajiban kepada Tuhan? Kalau dulu, hendak bangunkan anak daranya itu pagi-pagi sangat payah, senang lagi membangunkan si Haikal daripada Maisara. Tapi kini?
Maisara sendiri dengan rela hati bangun pagi untuk menghadap Ilahi.
"Semoga dia akan menjadi seorang muslim yang lebih baik!"
Malik bersuara tenang, pintu bilik Maisara diperhati penuh kasih. Semoga lena tidur si anak dan semoga mimpi-mimpi buruk tidak menganggu tidurnya! Semoga, hanya yang baik-baik saja datang mendekatinya.
Maisara,
moga kau tak mudah goyah dalam hijrah!
Malik tersenyum kecil.
Sempat hatinya menitip doa,
"Ya Allah, moga Kau bimbing anak-anakku ke jalan yang benar."
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan