-Seorang Maisara- (Bahagian 14)
"Mana kakak kamu ni, Haikal? Tak pernah dia balik lambat macam ni. Selalunya jam satu tadi Maisara sepatutnya dah ada di rumah! Sekarang dah jam 3 dah!" Halimah bersuara bimbang.
Orang tua itu mundar-mandir di beranda rumah. Matanya tidak lekang memandang ke arah simpang di jalan yang tidak jauh dari rumahnya. Mengharapkan Maisara segera muncul di situ.
Tetapi hampa.
Walaupun selepas begitu lama menunggu, kelibat Maisara langsung tidak kelihatan. Halimah khuatir, kalau-kalau terjadi sesuatu yang buruk kepada anak gadisnya itu. Tidak pernah gadis itu berperangai seperti ini.
Jika Maisara memang terpaksa balik lambat, dia akan memberitahu ibunya sehari lebih awal. Agar ibunya tidak risau begini!
"Mak, Eykal dah balik mengaji pun kak Sara masih belum sampai." Ujar Haikal pelik. Selalunya ketika anak kecil itu sudah balik mengaji dari rumah Haji Mahmood, si kakak sudah pasti ada di rumah.
"Sebab itulah mak risau ni!"
Halimah memandang wajah anak bongsunya yang sedang duduk bersila di atas lantai. Anak itu sedang mendongak, memerhati si ibu yang gelisah dan kebingungan.
"Mak! Mak!" Suatu suara jelas kedengaran. Halimah yang dengan pantas dapat mengecam suara itu menoleh ke arah simpang jalan.
"Ya Allah, Maisara!" Menggelabah Halimah melihat Maisara berjalan dengan bahu yang senget. Laju kakinya membuka langkah mendekati si anak.
Haikal turut berlari-lari anak, mengekori langkah Ibunya dari belakang. Ketika melihat wajah kakaknya dengan lebih dekat, anak kecil itu menjerit kecil.
"Pipi kak Sara bengkak!"
"Benda kecik jer tu!" Maisara membalas perlahan. Lemah!
"Kamu kena pukul dengan siapa ni? Cuba cakap kat mak! Siapa pukul kamu sampai lebam dan bengkak macam ni?" Halimah menyoal dengan suara yang agak marah. Habis badan Maisara diperiksanya.
Maisara mengeluh kecil.
Kalut benar ibunya ini!
"Tak ada orang pukullah, mak! Terlanggar pintu kereta tadi. Cucu Mak Som parking kereta tepi jalan tapi pintu kereta dibiarkan terbuka. Orang terlanggarlah!" Maisara menjawab dengan suara bersahaja.
Halimah mengerutkan dahi.
Terlanggar pintu kereta?
Boleh pula jadi macam tu!
"Wahhh! Bestnya terlanggar pintu kereta!" Haikal cukup teruja, anak kecil itu bertepuk tangan sambil melompat-lompat gembira.
"A'ah bestlah sangat! Sampai lebam bengkak macam ni." Maisara meraba-raba bahunya yang sudah senget sebelah.
"Mak pun tak tahu kamu letak mata kamu kat mana waktu berjalan." Halimah menggeleng-gelengkan kepala, tidak tahu apalah yang sebenarnya telah berlaku sehingga Maisara tak melihat pintu kereta terbuka di depan mata.
"Mak, laparlah!" Maisara mengadu kepada si ibu, perutnya sudah memulas menahan lapar.
"Eh, dalam bengkak-bengkak macam ni pun sempat mengadu lapar?" Halimah bersuara terkejut, tidak menyangka Maisara akan mengadu lapar.
Dalam keadaan lebam dan bengkak seperti itu, sepatutnya anak sulungnya itu mengadu sakit. Bukan lapar!
"Mak, saya pun manusia! Bengkak-bengkak pun kelaparan tetap ada." Maisara memeluk tangan si ibu, muka merayu kasihan ditunjukkan olehnya.
"Yalah. Mak dah masak tadi dah! Pergilah ke dapur sana."
Maisara tersenyum mendengar kata-kata si ibu. Kakinya mulai melangkah menuju ke tangga dan sebaik sahaja kaki kanannya memijak tangga kayu yang pertama, suara Amira menjerit memanggil Maisara kedengaran tiba-tiba.
"Maisara! Maisara!"
Maisara menoleh ke arah simpang jalan. Dahi gadis itu berkerut ketika melihat sepupunya, si Amira berlari menuju ke rumahnya.
Mimpi apa pula si Amira?
Selalunya hendak melihat wajah Maisara sekeluarga pun gadis berambut panjang itu enggan. Inikan pula hendak datang ke rumah mereka!
Kalau datang pun, pasti ada hal.
Seperti malam tadi!
Jika tak ada hal, Amira tak akan sudi menjejakkan kaki ke kawasan rumah kayu Mak Ngahnya. Memang sombong! Itu Maisara akui.
"Ada apa pulak ni?" Halimah menyoal Amira saat melihat anak saudaranya itu tergesa-gesa. Agak cemas riak wajah Amira!
"Mak Ngah, ibu saya ada ke sini tak? Maisara, ibu aku, kau ada nampak tak?" Tercungap-cungap si Amira menyoal.
"Tak ada Kiah ke sini!" Ringkas Halimah menjawab. Wajah Maisara dipandang sekilas dan anak gadisnya itu sedang cuba menahan senyum.
Halimah mulai berasa pelik.Melihat wajah Maisara, Halimah yakin ada sesuatu yang diketahui oleh gadis hitam manis itu.
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan