Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Ahad, 26 Julai 2015

Seorang Maisara (Bahagian 15)



-Seorang Maisara- Bahagian 15


"Maisara, cakap betul-betul dekat mak, kamu tahu di mana Mak Su kamu?" Halimah menyoal dengan wajah serius, wajah anak gadisnya dipandang tajam. Maisara masih menahan senyum, rambut yang jatuh menutup matanya diselak ke tepi.
"Maisara!" Suara si ibu kedengaran lagi. Jauh lebih tegas dari sebelumnya.
Maisara tersenyum jahat.Wajah ibunya yang berkerut diperhati agak lama. Haikal juga memandang penuh curiga ke arah si kakak. Anak kecil itu sempat mencebikkan bibir kepada Maisara.
"Maisara, cakaplah ibu aku kat mana? Cakaplah!" Amira bersuara tidak sabar. Geram benar hatinya melihat wajah Maisara yang dhiasi sebuah senyuman lebar. Ya, senyuman lebar yang jahat!
"Kau carilah mak kau dekat seluruh jalan yang ada di kampung ni." Maisara menjawab malas.
"Maksud kau?" Amira menyoal lagi, langsung tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Maisara. Maisara mengeluh panjang, masih tidak faham juga rupanya si Amira itu. Masalah otak betul!
"Aku cakap, kau cari mak kau di seluruh jalan yang ada di kampung ni. Cari dia dekat seluruh kampung ni. Sebab tadi mak kau kejar aku dengan batang kayu, dan aku larilah! Siapa yang nak kena pukul? Aku rasa mak kau pengsan tengah jalan ataupun tersungkur dalam sawah Pak Mat tu. Cari, pergilah cari mak kau!"
Amira tergamam mendengar jawapan Maisara.
Gadis berambut panjang ikal mayang itu menghentakkan kakinya.
Geram! Marah! Sakit hati!
Semua perasaan timbul ketika itu.
"Kau ni kan? Engkau pun bertanggungjawab untuk mencari ibu aku sampai jumpa! Kalau dia tak kejar engkau, semua ini tak akan jadi! Engkau pun mesti cari ibu aku! Mesti!" Amira mendesak, tangan Maisara ditarik agar ikut sama mencari ibunya.
Namun, Maisara pantas menepis tangan Amira. Sempat dipulasnya pergelangan tangan sepupunya itu sehingga Amira menjerit kuat. Halimah segera mencelah, bimbang terjadi pergaduhan lagi antara gadis dua bersaudara itu.
"Sudah sudahlah! Jangan nak bergaduh pula di sini!" Halimah merenung wajah Maisara dan Amira silih berganti. Kedua-dua gadis itu memberikan reaksi wajah yang berbeza. Amira mengetap bibirnya geram manakala Maisara tersenyum puas!
"Mak Ngah, Maisara yang sebabkan ibu saya hilang!"
Amira menjuihkan bibir ke arah Maisara. Cepat-cepat tangan Maisara menggenggam penumbuk. dihalakan ke wajah putih bersih milik Amira. Kang kena tumbuk, lebam muka cantik anak dara yang dibanggakan Mak Su selama ini. BUkan mirip seperti Angelina Jolie lagi, Angelina Swollen adalah!
"Maisara, kalau betul kamu yang sebabkan Mak Su kamu hilang, baik kamu cari dia cepat. Sebelum abah kamu balik dari sungai!" Halimah bersuara tegas.
Maisara menguap mendengar arahan ibunya.
Tak terfikir pun di fikirannya untuk mencari orang tua bermulut puaka itu!
Tak teringin langsung!
"Bukan saya yang salah. Dia yang kejar saya, dia sendirilah yang salah. Saya tak suruh dia kejar saya, mak! Tahu badan sendiri bukannya muda lagi, janganlah kejar orang sampai habis satu kampung dipusingnya. Pengsan tengah jalan atau disondol dek kerbau dalam sawah, saya tak tanggung semua tu!" Ujar Maisara bersahaja.
"Pusing satu kampung?" Halimah menyoal tidak percaya.
"Ya, mak! Pusing satu kampung! Sebab dialah saya terlanggar pintu kereta cucu Mak Som tu. Selain disebabkan kecuaian si Firdaus tu tak menutup pintu kereta!"
Halimah menepuk dahinya sendiri, terkejut mendengar jawapan si anak. Pusing satu kampung? Sah-sahlah si Kiah akan jatuh pengsan di tengah jalan kalau adik bongsunya itu berlari mengelilingi seluruh kampung. Kiah itu bukannya muda lagi. Alahai!
"Kiah oh Kiah!" Halimah menggeleng-gelengkan kepalanya pening.
"Amira, cari mak kau cepat! Jangan ajak aku, aku tak akan cari orang tua tu, Amira! Go find your beloved mommy by your own! Jangan susahkan aku, and one more Amira, use your brain. Jika engkau ada maruah, engkau tak akan meminta bantuan daripada aku yang selalu kau hina dan caci." Sinis nada suara Maisara.
"Maisara.." Amira kehilangan kata-kata untuk membalas.
"Pergilah! PERGI!" Kasar tangan Maisara menolak bahu Amira, sehinga gadis berambut panjang ikal mayang itu kelihatan hampir menangis kerana berasa kalah dan terhina tiba-tiba. Sangat terhina!
"Mak Ngah ikut kamu, Amira. Jom kita cari ibu kamu!" Halimah pantas menyarung selipar jepun berwarna hijau dan kemudian, kakinya laju melangkah menuju ke simpang jalan besar.
Amira mengekori langkah Mak Ngahnya dari belakang.
Sempat wajah Maisara dijeling sekilas.
"Kak Sara, kalau Mak Su tu kena tanduk dengan kerbau, mesti seronok kan?" Soalan Haikal yang tiba-tiba mencetuskan tawa Maisara. Kena tanduk dengan kerbau? Kalau betullah kena tanduk dengan kerbau, silap hari bulan habislah nyawa orang tua bersanggul senget itu. Jadi arwah gamaknya!
"Biarkanlah dia, Haikal. Tak penting! Jom naik atas, kak Sara dah lapar sangat dah ni. Mari ke sini, kita naik atas. Kita makan! Haikal dah makan?" Maisara memimpin tangan Haikal menaiki tangga.
Walaupun Haikal boleh menaiki tangga dengan sendiri, Maisara lebih suka memimpin tangan si adik. Oleh sebab itu, hubungannya dengan Haikal amat rapat. Haikal juga tidak pernah kisah sekiranya Maisara menganggunya, siapa lagi yang anak kecil itu ada sebagai teman bergaduh dan bermain kalau bukan si kakak?
"Dah makan tadi. Kak Sara dah sembahyang zuhur? Haikal dah sembayang tadi!" Maisara menepuk dahinya sendiri mendengar soalan yang dilontarkan oleh si adik. Gadis itu mendengus kasar. Bagaimana dia boleh terlupa untuk menunaikan solat Zuhur?
Tup tup! Allah bagi peringatan secara direct melalui Haikal.
"Belum, Haikal. Hmm, Haikal pergi duduk dekat kerusi dulu. Kak Sara pergi solat dulu. Rugi pulak rasanya kalau sudah solat subuh pagi tadi, tapi tak solat zuhur pulak. Ni, baju Upin Upin Haikal, Mak Som suruh akak belikan tadi." Maisara menghulurkan plastik hitam yang berisi baju Upin dan Ipin kepada Haikal.
Melompat-lompat anak kecil itu dibelikan baju yang baru.
Maisara tersenyum kecil.
Cukup terhibur hatinya melihat telatah si Haikal.
"Jangan keluar rumah, akak nak pergi ambik wuduk dulu kat bilik air!" Tegas pesanan diucapkan kepada Haikal. Anak kecil itu mengangguk perlahan, sebagai tanda memahami.
Maisara melangkah menuju ke bilik air.
Ketika air paip dibuka, gadis itu kelihatan berfikir seketika. Wajahnya yang agak gelap di dalam cermin diperhati sayu. Mampukah seraut wajah di dalam cermin itu berubah sepenuhnya? Mampukah dia? Mampukah Maisara menjadi hamba yang taat pada Tuhannya sebelum ajalnya menjemput entah bila masanya?
Maisara tunduk merenung air paip yang deras mengalir.
Hidup, memang tiada yang mudah!
Dan untuk menjadi manusia yang baik itu, lagilah tidak mudah!
Maisara tahu, dengan sikap kasarnya, panas barannya dan sikap pendendamnya yang keterlaluan, seakan mustahil untuk Maisara mengorak langkah untuk meniti tangga perubahan. Dengan mulutnya yang lantang menyumpah seranah, semua orang akan memandang serong terhadap dirinya!
Tetapi,
bagi jiwa yang ingin kembali kepada Tuhannya, pasti akan ada jalan yang terbuka untuknya. Selangkah kita melangkah mendekati Allah, beribu langkah Allah mendekati kita. Hanya "KITA" yang sering alpa dan leka! Lebih suka mencari alasan yang menjauhkan kita dari Tuhan berbanding mencari jalan untuk kita lebih dekat dengan Nya.
Hanya "KITA" merupakan masalah di situ.
Ya, hanya kita!
Maisara tersenyum hambar.
Pantas wajahnya dicuci dengan air paip sebelum gadis itu mulai mengambil wuduk. Ketika itu, ayat yang pernah dibacakan oleh seorang ustazah di dalam televisyen kembali berlegar di ruang minda Maisara.
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."
(Al-Baqarah Ayat 186)
Dan saat teringatkan ayat itu, hati Maisara menjadi tenang.
Setenang-tenangnya!
-Akan bersambung-


Perhatian : 

Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya. 

Harap maklum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan