-Seorang Maisara- (Bahagian 12)
"BAM!!!"
Dalam sekelip mata, Maisara terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan seperti orang yang sedang mabuk. Beberapa minit kemudian, gadis itu terjelepok jatuh di atas jalan raya. Tangannya meraba-raba bahu dan pipi, sakit benar rasanya!
"Ya Allah! Kamu rupanya Maisara. Yang kamu langgar pintu kereta cucu nenek tu dah kenapa? Patutlah berdebam bunyi, dengar sampai dapur sana!" Mak Som berlari-lari anak mendapatkan Maisara.
Bahu dan pipi Maisara diperiksa.
Lebam dan bengkak!
"Sakit, nek!" Maisara terpaksa memejamkan matanya kerana terlalu sakit. Tangannya masih meraba-raba bahagian pipi dan bahu kanannya.
"Itulah lain kali berjalan tengok depan! Bukan meliar tengok tempat lain." Mak Som menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.
"Tadi Mak Su kejar saya, nek! Dia kejar saya sambil bawak kayu. Sebab tu saya tak nampak pintu kereta tu bukak. Dah kereta tu pun satu, sapa suruh bukak pintu tak tutup lagi?" Maisara bersuara geram, matanya memandang marah ke arah kereta Myvi berwarna merah.
Pintu kereta itu masih terbuka.
Walaupun pipi gebu Maisara telah menjadi habuannya. Dan bahu Maisara yang tidak terkecuali!
"Dah cucu nenek dan kawan dia nak cuci kereta, sebab tu la dia tak tutup! Dah, naik atas rumah nenek. Nenek sapu minyak!"
Maisara terdiam mendengar kata-kata Mak Som. Gadis itu menoleh sebentar ke arah belakang, manalah tahu Mak Su masih larat mengejarnya sehingga ke tempat itu. Tapi kelibat orang tua itu tidak lagi kelihatan.
Sudah pengsan di tengah jalan agaknya! Kalau ya, baguslah!
Biar dia tahu bagaimana rasanya kulit menjadi hitam kerana lama berjemur. Maisara sempat tersenyum jahat!
"Eh, ni kenapa pulak ni?" Seorang lelaki berbaju kuning dan berseluar panjang hitam muncul dari arah rumah Mak Som sambil membawa sebaldi air.
Seorang lagi lelaki, berbaju T hijau dan berseluar jeans kelabu turut menyusul selepas itu.
Pandangan pelik dilontarkan ke arah Maisara yang masih terduduk di atas jalan.
"Ni haaa! Maisara ni, terlanggar pintu kereta kamu, Firdaus! Bengkak pipinya!" Mak Som bersuara menjelaskan. Wajah cucunya, Firdaus dipandang serius.
"Siapa pulak lelaki dua ekor ni, nek?" Maisara menyoal, bibirnya dijuihkan ke arah dua pemuda yang sedang berdiri memerhatinya.
Tak pernah dia melihat kedua-dua lelaki itu di kampung ini sebelum ini. Wajah yang kelihatan sangat asing.
"Yang baju kuning tu cucu nenek, si Firdaus. Yang baju hijau tu pulak, kawan dia, Rayyan! Entah apa mimpinya tiba-tiba bawak kawan balik kampung!" Mak Som bersuara sinis, wajah cucunya dikerling sekilas.
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan