-Seorang Maisara- (Bahagian 11)
Maisara berjalan pulang ke rumahnya sambil menyanyi-nyanyi kecil. Gembira benar hatinya. Plastik yang mengandungi tudung Akel dan baju "Upin Ipin" si adiik dilontarkan ke atas udara dan kemudian disambut pantas ketika kedua-dua plastik tersebut jatuh beriringan.
"Terbang tinggi-tinggi, sampai pucuk atap!"
Ceria suara Maisara menyanyi.
Langsung tidak peduli beberapa orang kampung yang berbisik sesama sendiri sebaik sahaja Maisara melintas di hadapan mereka. Maisara terus menyanyi sehinggalah gadis berkulit hitam manis itu ternampak Mak Su Kiah nya berdiri bercekak pinggang di tengah-tengah jalan.
Nyanyian gadis itu terhenti secara tiba-tiba.
Matanya tidak lekang menatap wajah Mak Su yang menyeringai bengis. Apa yang Mak Su buat di tengah-tengah jalan tengah hari terik begini? Sudah hilang akalkah? Tidak takutkah orang tua bersanggul senget itu kulitnya akan menjadi gelap dan kasar gara-gara terkena sinar mentari?
Bak kata orang bersanggul senget itu suatu ketika dahulu;
"Keturunan aku tak biasa kerja-kerja kasar. Anak-anak aku tak biasa dengan bau hanyir ikan dan berjemur macam engkau. Sebab aku tak nak kulit anak aku kasar, hitam legam macam engkau! Kau tengok kulit Amira dan Aqila tu, licin, mulus, berseri! Tip top! Macam kulit Angelina Jolie!"
Dahi Maisara berkerut mengenangkan kata-kata si Mak Su.
Wajah Mak Su yang kemerah-merahan diperhati.
Apa yang orang tua tu buat di tengah-tengah panas begini?
"Mak Su, kenapa berjemur tu? Tak takut hitam ke? Kasar kulit tu nanti." Maisara menyoal sinis. Kakinya melangkah mendekati Mak Su tanpa sedikit pun rasa takut. Kening gadis itu terangkat sebelah, matanya mengecil jahat.
Evil mode on!
"Aku memang tengah tunggu kau pulang. Baguslah kau sudah pulang, taklah aku berjemur tengah-tengah panas begini semata-mata nak tunggu engkau. Engkau ingat engkau puteri raja, nak ditunggu segala? Puih!" Mak Su meludah di atas jalan. Kedua-dua belah tangannya disembunyikan di belakang badan, membuatkan Maisara berasa sedikit curiga.
Seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan di situ.
"Bukannya saya yang suruh Mak Su berjemur di sini untuk tunggu saya." Wajah Maisara cukup bersahaja membidas kata-kata si Mak Su.
"Kurang ajar!" Mak Su menjerit kasar.
"Mak Su yang buat saya begini, ajar saya untuk jadi biadap dengan Mak Su! Jadi, untuk apa mengatakan saya kurang ajar kalau Mak Su sendiri jauh lebih biadap? Mengata dan memfitnah keluarga kakak sendiri tanpa rasa malu!" Suara Maisara mulai meninggi, matanya tepat menikam wajah Mak Su. Nafasnya mulai turun naik tidak tentu arah.
"Kau siapa nak mengajar aku?" Mak Su menujah dahi Maisara kasar.
Maisara mendengus kasar.
Masih cuba menahan amarah.
Wajah ibunya terbayang di ruang mata. Demi ibunya, Maisara harus bersabar. Harus bersabar! Bukankah untuk berubah menjadi seorang muslim yang lebih baik, Maisara juga harus belajar menahan marah? Marah itu tidak akan membawa apa-apa kebaikan bahkan hanya akan mengundang malang yang berterusan.
Kerana "marah" itu datangnya dari syaitan.
Maisara mengeluh berat. Nafasnya ditarik dalam-dalam.
Sabar, Maisara! Terus bersabar!
"Bawak sini benda tu!" Mak Su menjuihkan bibirnya ke arah dua beg plastik hitam yang sedang dipeluk oleh Maisara. Maisara menggeleng-gelengkan kepalanya pantas, enggan menyerahkan barang-barang tersebut kepada Mak Su. Mak Su tidak boleh merampas barang-barang itu. Tidak boleh!
"Saya tak akan bagi pada Mak Su!" Maisara mengundur beberapa langkah ke belakang dan ketika Mak Su Kiahnya hendak menerkam ke arah Maisara, gadis hitam manis itu pantas mengelak.
"MAISARA! BERI BARANG ITU PADA AKU!"
Maisara pantas berlari meninggalkan Mak Su tercungap-cungap mengejarnya dari belakang. Langsung tidak peduli untuk berhenti walaupun Mak Su menjerit-jeritkan namanya sehingga beberapa orang penduduk kampung sanggup keluar daripada rumah masing-masing semata-mata untuk melihat "kejadian kejar-mengejar" antara mereka berdua.
Misara sempat menoleh ke belakang.
Orang tua bersanggul senget itu masih tetap mengejarnya.
"Ini tak boleh jadi ni!" Maisara mengomel sendirian. Peluh mulai membasahi tubuhnya. Sesiapa pun akan bermandi peluh sekiranya berlumba lari di tengah hari terik seperti itu. Kerja gila!
"MAISARA!!!" Nyaring suara Mak Su.
Maisara menoleh sekali lagi, matanya digosok-gosok dengan tangan.
"Haih, dia bawak kayu panjang pulak?" Maisara menggeleng-gelengkan kepala dan tanpa perlu berfikir panjang, gadis itu terus berlari semula. Hampir satu kampung dipusing olehnya gara-gara hendak lari daripada Mak Su.
-Akan bersambung-
Perhatian :
Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya.
Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan