Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 29 Disember 2017

TERPATRI SEBUAH JANJI #TEASER II



             “Miss Raisha, next is your turn.”

Suara pengurus pentas itu mematikan lamunan Raisha. Raisha mengangguk perlahan sebelum mengukirkan senyuman. Ketika tiba giliran Raisha memperagakan busana, Raizul hanya mampu tersenyum melihat adik bongsunya itu melakukan cat-walk di atas pentas peragaan. Cat-walk Raisha itu mengingatkan dirinya kepada kenangan zaman silam di mana adik bongsunya itu selalu berjalan cat-walk di atas meja di dalam rumah nenek mereka, sehingga Wok Milah itu memarahi Raisha dan memukul anak kecil itu dengan rotan buluh. Adiknya yang satu ini benar-benar meminati dunia peragaan yang glamour.

“Cun gila adik kau, Raizul!” Khairul bersuara kagum.

Raizul hanya mendiamkan diri mendengar suara kagum rakan di sebelahnya itu. Sebenarnya dia tidak berapa menyukai Raisha terlibat dalam dunia peragaan, tetapi disebabkan kakak sulungnya sudah menentang terang-terangan apa yang diminati oleh adik bongsu mereka itu, Raizul tidak ingin menambahkan tekanan Raisha. Raizul tahu bahawa Raisha sangat rapat dengan Rania sebelum ini tetapi sejak si bongsu itu terlibat dalam dunia modelling, hubungan kedua-duanya tidak sebaik dahulu. Siapa sahaja yang akan suka jika tubuh adiknya dipamerkan sebagai tontonan mata-mata lelaki di luar sana?

“Lawanya dia . . .” Khairul masih tidak berhenti memuji.

“Diamlah.” Raizul bersuara serius.

Mendengar nada serius Raizul, Khairul menelan air liurnya sendiri. Bimbang Raizul marah dengan dirinya tiba-tiba. Ketika Raisha melemparkan senyuman yang paling manis sambil memusingkan badannya di atas pentas, kedengaran bunyi sorakan daripada hadirin yang hadir. Beberapa orang artis lelaki kelihatan tidak mampu mengelipkan mata mereka melihat kecantikan gadis muda di hadapan mereka itu. Di belakang Raizul, kedengaran beberapa orang wartawan memuji kejelitaan Raisha yang cukup berbeza dari yang lain dan wartawan-wartawan tersebut tidak berhenti mengambil foto adik bongsunya itu.

Oh my, she’s really a real Queen.” Juruacara majlis turut bersuara kagum.

Ketika Raisha berpusing melakukan putaran di atas pentas peragaan untuk kali ketiga, muncul seorang lelaki tampan yang mengenakan sepasang sut mewah berwarna kelabu dan lelaki itu tidak lain tidak bukan adalah Riz, pereka fesyen kesayangan seluruh Malaysia. Dan dengan wajah yang cukup bersahaja Riz melingkarkan tangan kanannya pada pinggang ramping Raisha. Raisha agak terkejut dengan tindakan Riz yang tiba-tiba itu, tetapi gadis itu kekal tersenyum manis dan tenang.

“Beraninya dia . .” Raizul mendesis geram melihat adiknya diperlakukan seperti itu.

Do you like her?” Juruacara majlis mengusik Riz sambil memberikan mikforon kepada Riz, memberikan peluang untuk pereka fesyen muda itu berbicara. Riz hanya tersenyum kecil sambil menyambut huluran mikforon tersebut.

Very much . .” Riz menjawab tenang, seperti kebiasaannya.

Kali ini Riz merenung wajah Raisha dengan lebih dekat, menikmati seraut wajah cantik yang selalu muncul di dalam mimpinya ini. Jika ada waktu yang tepat untuk meluahkan isi hatinya kepada Raisha, tidak ada waktu yang lebih sesuai daripada waktu itu di mana gadis kesayangannya itu sedang berada di atas pentas peragaan untuk pertama kalinya. Raisha menjadi tidak tentu arah tiba-tiba, hairan melihat tingkah laku Riz yang aneh semacam.

Actually, I want to confess something tonight.”

Ketika ini, kedengaran sorakan daripada hadirin dan Raizul pula sudah mula panas punggung melihat Riz merangkul pinggang adik bongsunya dengan erat. Khairul sudah mula gelisah saat melihat Raizul sudah mula mengetap bibir dan merenung penuh amarah ke arah pentas. Raisha kelihatan gelisah, sudah tidak mampu mengekalkan ketenangan dan dahinya berkerut memerhati wajah Riz yang masih tersenyum kecil.

“Apa ni, Tuan?” Raisha sedikit keliru.

I love you, Raisha.”

Kali ini, sorakan para hadirin seakan-akan memenuhi segenap ruang Pavilion Bukit Bintang. Wartawan-wartawan berebut-rebut ingin merakam detik bersejarah tersebut. Riz Azman, pereka fesyen jutawan Malaysia yang sangat hebat akhirnya meluahkan rasa cinta kepada seorang wanita yang merupakan model syarikatnya sendiri. Raisha memejamkan matanya, tidak sanggup melihat wartawan-wartawan yang berebut-rebut hendak mengambil fotonya. Riz menarik tubuh Raisha lebih dekat sehingga tubuh gadis itu berada di dalam pelukan sepenuhnya.

“Berani dia peluk adik aku . .” Raizul sudah tidak mampu bersabar.

Pemuda berbaju sut serba hitam itu melangkah pantas menuju ke arah pentas peragaan, meredah lautan manusia yang bersorak gembira mendengar pengakuan cinta yang baru sahaja disaksikan oleh mereka. Raizul menolak ke tepi artis wanita yang menghalangi laluannya dan langsung tidak kisah walaupun ketika mendengar suara artis wanita tersebut mengaduh kesakitan. Bagi Raizul, adiknya jauh lebih penting daripada sesiapa pun buat masa sekarang.


“Raisha!” Raizul menjerit memanggil nama adiknya.

Perhatian tertumpu kepada Raizul tiba-tiba setelah mendengar jeritan pemuda tersebut. Raizul meluru menuju ke atas pentas dan dalam sekelip mata, penumbuk dilayahkan ke arah wajah tampan pereka fesyen bernama Riz Azman itu sehingga Riz jatuh tersungkur di atas pentas. Keadaan menjadi kecoh tiba-tiba dan suasana yang tadinya dipenuhi sorakan gembira kini bertukar menjadi jeritan cemas. Wartawan-wartawan masih tetap setia merakam setiap detik yang berlaku, ingin mengetahui apa sebenarnya yang sedang terjadi.

“Abang . . .” Raisha terkejut melihat abangnya menumbuk Riz.

“Siapa dia?” Riz menjerit, masih terkejut dengan apa yang baru sahaja terjadi. Pipi kirinya bengkak akibat ditumbuk oleh Raizul dan beberapa orang model perempuan kelihatan datang membantu Riz dalam keadaan takut-takut.

“Berani kau sentuh dia . .” Raizul memandang wajah Riz dengan pandangan tajam.

“Raisha, what is this?” Riz mengetap bibirnya geram.

I’m sorry, sir.” Raisha serba salah.

“Jangan minta maaf pada orang seperti ini!” Jerkah Raizul marah.

Raisha termengkelan, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tidak mungkin dia akan membelakangkan abangnya sendiri memandangkan abangnya itu sudah sanggup bersusah payah datang dari Tanjung Malim untuk ke sini semata-mata untuk melihat dirinya di atas pentas peragaan untuk pertama kali. Dan Riz, majikannya itu sudah terlalu banyak membantu dirinya. Hanya dia tidak menyangka Riz akan meluahkan sesuatu yang di luar jangkaannya pada malam itu. Raisha sendiri masih belum mampu untuk percaya luahan perasaan Riz terhadapnya. Semuanya berlaku secara tiba-tiba.

“Raisha . .” Riz memandang Raisha dengan pandangan merayu.

“Jangan kau berani sebut nama dia.”

Raizul mencengkam kolar sut mewah Riz dan bertindak ingin menumbuk wajah lelaki itu sekali lagi. Raisha pantas menghalang abangnya dan merayu supaya abangnya melepaskan Riz. Raizul memandang wajah adik bongsunya dengan pandangan geram berbaur kecewa, di mana nilai agama yang orang tua mereka terapkan selama ini jika Raisha boleh membiarkan lelaki asing memegang tubuh gadis muda itu sesuka hati?

“Aku boleh saman kau dan kau jangan ganggu Raisha.” Riz bersuara separuh mengancam, cuba untuk berhadapan dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu.

“Sepatutnya kau yang jangan ganggu dia!” Herdik Raizul marah.

“Kau lelaki psiko yang gilakan Raisha.” Riz cuba untuk kembali tenang.

“Kau tak ada hak ke atas dia. Raisha Miranda Binti Amran, itu nama penuh dia. Dan nama aku, Raizul Mustafa Bin Amran. Kami berdua lahir dari rahim yang sama dan adakah kau fikir aku akan membiarkan kau sentuh dan peluk adik aku sesuka hati? Aku dari awal memang tak setuju dia menceburi dunia modelling tetapi kerana aku tak nak dia sedih, aku support dia tetapi kalau begini caranya, tak akan aku biarkan adik aku terus hidup dalam keadaan begini. Raisha, balik!” 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan