Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 24 November 2017

PERANAN TULISAN JAWI



Gambar dikreditkan kepada laman web : http://babab.net/artikel/tulisan-jawi-semakin-pupus-dimamah-hari.html

Bincangkan peranan tulisan jawi pada zaman sekarang. Masih relevan atau tidak dalam perkembangan sains dan teknologi kini.

        Dalam era modenisasi ini, tulisan jawi seakan-akan dianaktirikan dan tidak digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat kita. Bahkan generasi muda zaman sekarang sekiranya diminta untuk membaca atau menulis tulisan jawi, kebanyakan antara mereka tidak akan berjaya untuk membaca dan menulisnya dengan baik. Hal ini demikian kerana anak-anak muda kita sedari kecil tidak dilatih dan dibiasakan dengan tulisan jawi. Senario seperti inilah yang akhirnya mengakibatkan wujudnya sesetengah pihak yang dengan angkuhnya menyatakan bahawa tulisan jawi sudah tidak relevan untuk digunakan di dalam era teknologi maklumat dan serba maju ini. Sejauh manakah kebenaran kenyataan bahawa tulisan jawi sudah tidak relevan dalam kehidupan di dalam dunia teknologi dapat dibuktikan?

        Pada tahun 1511, kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mencatatkan suatu sejarah ketamadunan yang hebat dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Dengan datangnya Islam di Melaka ketika itu, tulisan jawi mulai diperkenalkan dan tulisan tersebut juga mulai dikuasai oleh masyarakat. Tulisan jawi berkembang pesat dan disebabkan situasi ini, wujudnya banyak manuskrip-manuskrip lama yang ditulis dalam tulisan jawi. Masyarakat Melayu ketika itu amat arif dalam tulisan jawi bahkan semasa berutus surat, tulisan jawi menjadi wahana komunikasi yang utama. Buktinya, banyak surat-surat lama yang masih dijaga sehingga ke hari ini ditulis di dalam tulisan jawi. Misalnya dalam surat Raja Muda Jambu kepada Sheikh Al-Fatani, tulisan jawi digunakan oleh Raja Muda Jambu untuk meminta nasihat daripada Sheikh Al-Fatani mengenai Siam yang hendak menjajah kerajaannya. Begitu juga dengan teks manuskrip Sejarah Melayu yang turut ditulis dalam tulisan jawi.

       Berdasarkan bukti-bukti tinggalan manuskrip di dalam tulisan jawi tersebut dan juga sejarah perkembangan tamadun masyarakat Melayu semasa kedatangan Islam, adalah tidak wajar untuk mengatakan bahawa tulisan jawi tidak relevan untuk digunakan. Walaupun zaman telah berubah dan bertukar wajah menjadi dunia serba maju serta dilengkapi kecanggihan sains dan teknologi, tulisan jawi tidak wajar dilupakan. Sekiranya ia dibiarkan begitu sahaja tanpa adanya usaha untuk memelihara dan memartabatkan tulisan jawi, ianya sama sahaja seperti kita melupakan kehebatan tamadun masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Oleh sebab itu, kita seharusnya bijak menggunakan kehebatan sains dan teknologi marcapada ini untuk mengangkat martabat tulisan jawi. Jika dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dapat dilaksanakan dengan cukup baik, mengapa kita tidak boleh cuba untuk memartabatkan dan mengukuhkan penguasaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat Melayu moden kita? Sudah pasti dengan cara itu, tulisan jawi akan masih mampu dikekalkan kerana adanya pelapis dalam kalangan generasi muda yang mahir menguasainya.

       Konklusinya, tulisan jawi masih relevan walaupun dunia semakin canggih dan teknologi berkembang semakin pesat. Jika dunia semakin moden, kita juga seharusnya memanfaatkan kecanggihan teknologi tersebut untuk memastikan tulisan jawi terus difahami dan disukai dalam kalangan masyarakat Melayu di Negara kita.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan