Bab 31
Sa’di
hanya memerhati Ema menghempas barang-barang di dalam rumah. Tidak berani dia
hendak menegur Ema yang sedang naik angin. Ema yang masih lengkap berbaju
kurung biru dengan selendang yang masih berselirat di atas kepala usai pulang
dari rumah Tok Man, terus mengamuk sebaik sahaja sampai di rumah. Akuarium
berisi ikan emas dibalingnya ke dinding sehingga pecah. Bingkai-bingkai gambar
juga jatuh berkecai dan Ema langsung tidak terjejas sedikit pun ketika kakinya
mulai berdarah kerana terpijak serpihan kaca. Gelas-gelas antik yang disusun
kemas di bahagian ruang tamu dilemparkan ke arah televisyen sehingga retak
televisyen LCD keluaran terkini tersebut. Begitu juga dengan pasu-pasu bunga
yang mahal, semuanya pecah disebabkan amarah Ema yang sudah tidak berupaya
dibendung lagi.
“Ini
tidak boleh dibiarkan!” Jeritnya tidak tentu arah.
“Ema,
bertenang.” Sa’di cuba memujuk.
“Bagaimana
mungkin dia boleh dibenarkan kembali semula ke sini? Tok Man sudah bersetuju
untuk mengusir dia semula tetapi Haji Ismail keparat itu bersungguh-sungguh
mempertahankan anak derhaka itu!” Gumam Ema kasar. Matanya mencerlung tajam ke
arah Sa’di dan melihat renungan itu, Sa’di menjadi kecut perut tiba-tiba.
“Aku
tidak tahu apa yang bahayanya tentang anak itu.” Sa’di kelihatan berfikir
seketika. Dia memang benar-benar buntu melihat tingkah laku Ema yang tidak
tentu arah sejak kedatangan gadis bernama Ilyana Nasuha ke kampung itu. Pada
pengamatan Sa’di, gadis muda itu tidak kelihatan mampu membahayakan sesiapa.
“Kau
tidak tahu sejarah antara dia dan aku, Sa’di.”
Suara
Ema kedengaran mulai kendur, nada marahnya sudah mulai berkurangan. Selain
bimbang rahsia silamnya diketahui orang, kedatangan Ilyana ke kampung itu
membuatkan Ema terkenang kembali terhadap kenangan lamanya bersama arwah Maria.
Wajah Ilyana itu persis seperti wajah Maria, terlalu persis. Ema sendiri tidak
tahu entah mengapa sejak terlanggar Ilyana ketika majlis perkahwinan Meon dan
Sarah tempoh hari, bayangan wajah Maria sering datang bertandang dan mimpi
ngeri yang sering menguliti lenanya selama ini, hilang begitu sahaja.
“Ada
apa sebenarnya, Ema?” Sa’di bersuara prihatin, bahagian belakang Ema diurut
penuh kasih. Dia banyak terhutang budi dengan Ema, walaupun wanita berambut
kerinting itu kasar dan terkenal dengan sikap kuku besi sehingga orang-orang
kampung tidak suka kepadanya.
“Aku
keliru.” Pendek jawapan yang diberikan oleh Ema.
Sa’di
menghela nafas yang panjang. Dia memang tahu bahawa Ema memang ada menyimpan
suatu rahsia besar daripada pengetahuannya selama ini. Tentang “benda” yang
satu lagi, Sa’di memang sudah sedia maklum. Walaupun berulang kali Sa’di
menasihati Ema agar membuang “benda” itu, Ema tetap berdegil mahu membelanya
untuk kekal cantik dan jelita. Bukan itu sahaja, apabila “benda” itu ada bersama
Ema, orang-orang kampung akan takut dan tunduk padanya. Oleh sebab itu, Ema
enggan membuang “benda” itu. Sa’di pernah bertanya kepada Ema mengenai benda
peliharaannya itu, katanya, benda itu bukan datangnya dari keturunan. Sa’di
menjadi takut untuk bertanya dengan lebih lanjut, bimbang dirinya pula yang
diganggu nanti.
“Jangan
ikut campur urusanku!”
Amaran
daripada Ema itu masih terngiang-ngiang di telinganya sampai sekarang. Sudah
empat tahun Sa’di tinggal bersama dan membantu wanita itu menguruskan apa yang
patut, Sa’di tidak pernah ikut campur dalam urusan peribadi Ema terutamanya
dalam soal “benda” yang dibela oleh wanita berambut kerinting itu. Selalu juga
dia melihat Ema berkurung di dalam bilik stor di bahagian belakang rumah setiap
kali bulan penuh dengan bermacam-macam juadah yang disediakan seperti telur dan
bangkai ayam hutan, tetapi Sa’di takut untuk menegur. Bimbang terjadi perkara
yang lebih buruk pula.
“Berat
rasa beban ini, Sa’di. Berat sungguh!” Ema menggumam perlahan.
Ema
jatuh terjelepok di atas lantai. Ketika itu wajah Maria dan Mustafa silih
berganti bermain di ruang matanya. Wajah Ilyana kemudiannya menyusul tiba.
Sosok anak kecil yang sedang bermain di halaman rumah, menikmati saat-saat
gembira bersama sang ibu dan sang ayah. Sang ayah langsung tidak peduli ada
hati lain yang terluka melihat kebahagiaan keluarganya. Dan hati yang terluka
itu tidak lain tidak bukan merupakan hati milik Ema.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan