Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 22 Julai 2016

Tips menulis

Assalammualaikum.

Jumaat yang indah ;)

Hari ini saya mengambil kesempatan untuk berkongsi kepada semua mengenai tips-tips untuk menulis. Memandangkan banyak yang inbox saya tak kiralah whatsapp atau melalui laman facebook bertanyakan mengenai tips untuk menulis, biarlah saya coretkan di sini buat bacaan semua. Moga Allah redha. 

1. Niat 

Untuk menulis, kita mesti sentiasa perbaharui niat. Kadang-kadang niatnya sudah betul tetapi terpesong sedikit dek populariti dan pujian yang diraih semasa menulis sesuatu. Namalah kita pun manusia biasa kan? Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa perbaharui niat. Niat untuk menyebarkan kebaikan melalui penulisan kita, bagi yang beragama Islam, niatkan Lillahi Taala. Sentiasa update niat kita, re-check, takut-takut terpesong ke landasan lain ketika sedang dalam perjalanan menghasilkan sesuatu penulisan. 

2. Bahasa yang difahami sasaran pembaca

Untuk menulis, sudah tentu kita mahukan sasaran pembaca yang kita sasarkan memahami apa yang ingin kita sampaikan. Misalnya yang kita sasarkan ialah masyarakat umum, tidak mungkin kita menggunakan bahasa yang terlalu berbelit-belit sehingga sukar untuk difahami. Oleh sebab itu, penting untuk kita letakkan sasaran pembaca. Jika novel misalnya, yang kebanyakannya dibaca oleh masyarakat kita pada hari ini, ianya lebih menggunakan bahasa santai dan mudah difahami, 

3. Draft penulisan

Ada penulis yang membuat draft bab demi bab, dan di dalam setiap bab ditulis jalan cerita yang akan dihuraikan melalui keyword. Mungkin hal ini lebih memudahkan, itu tidak dapat dinafikan. Ada juga penulis yang langsung tidak membuat ringkasan bab dan terus menulis apa yang terdetik di hatinya ke dalam bentuk karya. Kebanyakan yang begini saya temui dalam kalangan pensyarah saya. Ada juga yang melakar plot-plot cerita sebelum mulai menulis bab demi bab. Semuanya boleh saja, asalkan mengikut kesesuaian masing-masing dan tidak menjejaskan mutu karya yang dihasilkan. 

4. Bagaimana untuk menghuraikan watak-watak di dalam cerita yang ditulis?

Hal ini mungkin agak sukar bagi mereka yang baru mula menulis, personaliti watak-watak yang wujud di dalam cerita yang kita nukilkan berkait rapat dengan kehidupan seharian kita sendiri. Ada yang jujur, ada yang berpura-pura dan ada yang terlalu polos sehingga mudah diperalatkan. Huraian watak-watak tersebut ada di sekeliling kita sendiri. Perhatikan. Kerana salah satu cara untuk menulis adalah berlandaskan pemerhatian. 

5. Menulis untuk memanusiakan manusia

Menulis untuk memanusiakan manusia - hal ini disebut oleh pensyarah saya untuk mengingatkan anak-anak didiknya tentang tujuan penulisan. Memang ada yang menulis untuk suka-suka, seperti saya dahulu ketika masih berada di sekolah menengah, menulis untuk suka-suka. Menulis untuk mengisi masa lapang, menulis kerana minat dan sebagainya. Alang-alang kita sudah menulis dan alang-alang kita minat menulis, jom kita luruskan tujuan kita. Misalnya sekarang, saya lihat ramai yang menghentam penulis novel kerana asyik menulis novel cinta. Bukan suatu kesalahan untuk menulis novel cinta dan saya yakin setiap penulis mempunyai tujuan kebaikannya yang tersendiri semasa menghasilkan sesuatu karya. Misalnya Habiburrahman El Shirazy dengan novel Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih yang menerapkan kemurnian ajaran Islam di dalam karyanya. Begitu juga dengan novel Pak Hamka, terutamanya novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Kedua-duanya adalah novel cinta tetapi diolah dengan tujuan yang cukup mapan dan mantap. Kesemua novel tersebut ada di dalam koleksi saya. Dan satu lagi, novel Hasya dan Taufik karya Wawa Taufik, ada pengajaran sendiri di dalam novel tersebut walaupun ianya novel cinta. 

See? 

Saya tidak suka menganggap karya orang lain sebagai karya picisan.

Kerana setelah saya menceburi dunia penulisan, saya mulai mengerti.

Bahawa setiap karya itu harganya tinggi dan punyai nilai tersendiri. 

6. Jangan pandang rendah pada hasil karya orang lain

Ini paling penting. Jangan sesekali merasakan diri kita yang paling bagus. Ini tidak bagus untuk keadaan hati kita. Kalau boleh, sentiasa hormat sesama kita dan raih ilmu dari penulis-penulis yang berpengalaman. Apatah lagi kalau penulis baru seperti saya, masih banyak yang perlu dipelajari daripada otai-otai senior yang hebat-hebat belaka.

7. Berdoa agar diberikan ilham yang bernas

Selain usaha menulis, doa juga penting. Kita harus sedar yang memberi ilham itu kepada kita ialah Allah. Dia berkuasa untuk memberi mana-mana ilham yang diinginiNya kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Berdoalah dan mohonlah dikurniakan ilham yang baik untuk terus menulis dan menebar kebaikan kepada manusia. 

Baiklah.

Malam ni tujuh tips sahaja yang dapat saya kongsi.

InsyaaAllah lain kali saya akan update lagi. Semoga bermanfaat untuk semua.

Sekian,

dari penulis yang masih bertatih mencari pengalaman,

Fitri Lyiana Amir. 


Doakan urusan manuskrip novel kedua saya 'Hipokrit' dipermudahkan semuanya.

Dan terima kasih kerana sudi membaca. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan