-HIPOKRIT- (Bahagian 12)
Tepat pukul dua belas tengah malam, Ema melangkah
keluar dari rumahnya. Segala pesanan Mak Itam tersemat rapi di dalam minda,
bahkan mantera yang disuruh oleh Mak itam agar dihafal, juga masih jelas
berlegar-legar sama. Ema menarik nafas sedalam yang mungkin. Langkah kaki
diatur menuju ke rumah Mustafa yang tidak jauh dari rumahnya.
"Gelapnya!"
Ema memeluk tubuhnya sendiri. Kedinginan malam
menyelubungi seluruh tubuh, membuatkan Ema menggigil kuat. Tiada sesiapa pun
yang kelihatan di mana-mana. Hanya daun pokok-pokok pisang yang asyik melambai
ke kiri dan ke kanan gara-gara ditiup angin. Ema berdehem kuat, matanya melilau
memandang keadaan sekeliling untuk memeriksa kalau-kalau ada mata-mata yang
memandangnya ketika itu.
"Selamat, tak ada orang!" Bisik Ema lega.
Pantas kakinya meluru ke arah tanah di bawah rumah Mustafa.
Tiang rumah yang terletak di bahagian tengah-tengah ditujunya dengan agak
tergesa-gesa. Kayu panjang dan keras yang tergeletak berhampiran dengan rumah
Mustafa digapai dan digunakan untuk mengorek lubang sedalam yang mungkin. Usai
mengorek lubang tanah, Ema mengeluarkan botol minyak yang kecil dari poket baju
tidurnya.
Arahan yang diberikan oleh Mak Itam beberapa hari
sebelumnya dilakukan tanpa perasaan takut dan ragu-ragu. Yang penting bagi Ema
sekarang, Mustafa mesti menjadi miliknya. Mesti! Maria atau pun Ilyana tidak
akan dapat menjadi penghalang, tidak akan!
Meski darah sendiri tepaksa dititiskan untuk
memastikan sihir ilmu hitam tersebut berkesan. Meski dia sendiri terpaksa
keluar tengah-tengah malam buta begini hanya untuk menanam minyak tersebut di
bawah rumah Mustafa. Ema tidak peduli. Dia sanggup! Walaupun dia tahu andainya
dia berjaya nanti, ilmu hitam tersebut tidak akan tamat. Masih "ada"
yang perlu dijamu. Itu yang Mak Itam pernah cakap, risiko yang perlu Ema
tanggung sendiri.
"Buka kalangkah, bunga penyeri. Keseriku naik ke
dahi."
Terkumat-kamit mulut Ema membaca mantera dan darah
dari jari manisnya dititiskan ke dalam botol minyak tersebut. Kemudian, botol
minyak itu ditanam. Ketika itu, Ema merasakan ada sesuatu yang sedang berdiri
bersama dengannya, sesuatu yang mungkin dimaksudkan oleh Mak Itam tempoh hari.
"Jangan takut, Ema. Jangan takut!" Ema
memujuk dirinya sendiri.
Usai menyelesaikan "kerja", Ema bergegas
meninggalkan bawah rumah Mustafa. Tercungap-cungap nafas Ema, matanya masih
memandang ke kiri dan ke kanan, masih risau kalau-kalau ada jiran-jiran
ternampak dirinya mencangkung di bawah rumah Mustafa sebentar tadi.
Ketika sampai di rumah, cepat-cepat Ema menutup pintu.
Perasaan cemas dan gelabahnya masih bermaharajalela, takut! Mungkin ini memang
kerja gila, ya, memang kerja gila! Tiada sesiapa yang sanggup keluar
tengah-tengah malam buta begini kecuali bagi orang yang mempunyai niat
tertentu. Dan mungkin, seperti Ema, yang mempunyai niat untuk memiliki sesuatu
yang bukan miliknya, walaupun dengan cara yang salah.
"Fuh, harap kali ini berjaya."
Ema melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu di
ruang tamu, peluh di dahi diseka dengan lengan baju tidurnya. Nafas ditarik
perlahan-lahan, jantungnya masih kencang berdegup. Dan serentak ketika itu
juga, kedengaran suatu jeritan yang amat dahsyat dari arah rumah Mustafa.
"Dah kenakah?" Ema menyoal dirinya sendiri.
Pantas kakinya mengatur langkah menuju ke pintu. Pintu
yang sudah ditutup dibuka semula, kepala dijengukkan ke arah rumah Mustafa.
Kelihatan rumah yang sebentar tadinya gelap, bertukar menjadi terang-benderang
kerana disinari cahaya lampu. Suara jeritan jelas kedengaran dengan sangat
kuat, sungguh menakutkan.
Rumah jiran-jiran yang tadinya gelap turut turut menjadi
terang, lampu rumah masing-masing dibuka. Masing-masing bergegas menuju ke
rumah Mustafa dengan wajah cemas. Jeritan kedengaran semakin galak dan
orang-orang kampung kian memenuhi rumah Mustafa. Hanya Ema yang masih berdiri
di atas tangga sambil tersenyum puas.
"Rasakan, kau Maria! Itulah akibat merampas
kekasih aku!" Ema berbisik jahat, matanya merenung puas ke arah rumah
Mustafa.
Beberapa minit kemudian, Ema masuk ke dalam rumah
semula. Pintu rumah ditutup rapat-rapat, pesan Mak Itam masih segar di ingatan.
Orang tua itu melarang Ema keluar dari rumah sehinggalah ke saat berita
mengenai keluarga Mustafa tersebar luas ke seluruh kampung.
Ya, berita kematian Maria!
-Akan bersambung-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan