Alhamdulillah, jari ini masih diizinkan Allah untuk terus berupaya menaip entry pada hari ini. Bukan selalu saya dapat update entry baru setiap hari. Bahkan mungkin dalam beberapa bulan hanya berupaya menghasilkan beberapa coretan sahaja. Masa banyak digunakan untuk perkara lain, aktiviti yang disusun atur mengikut prioriti dan keutamaan, dan masa akan lebih banyak digunakan untuk perkara yang penting. Hanya ketika hujung minggu, dapat meluangkan masa bertemu dengan adik-adik tercinta dan berdating dengan mereka. Jika tidak, masa mereka cukup padat dan hanya berhubungan melalui watsap atau wechat.
Dan hari ini, tiba-tiba terdetik ingin bercerita dan berkongsi tentang Gunung Kinabalu.
Kita, orang lain, termasuk orang dari negara lain.
Sangat mengagumi sosok si Gunung Kinabalu itu. Yang merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara, Untuk menawan puncaknya juga bukan mudah, kosnya melambung tinggi jika ingin mendaki Gunung Kinabalu sehingga mampu mencecah RM 500 untuk setiap seorang jika tiada promosi. Ada yang membayar jumlah yang begitu banyak hanya untuk mendaki si Gunung Kinabalu tetapi gagal menawan puncaknya kerana tidak cukup stamina, sudahnya, berpatah balik dan berputus asa di pertengahan jalan.
Apa ibrah / pengajaran kita dapat ambil dari si Gunung Kinabalu yang gah dan indah?
1. Sudah pastinya mengingatkan kita kepada Yang Maha Pencipta, kerana Dialah yang yang menciptakan si Gunung Kinabalu yang begitu indah dan dikagumi seluruh penduduk dunia.
"Tidaklah sesuatu itu dijadikan dengan sia-sia.."
Begitu kita melihat sosok gunung yang hebat, sudah pastinya mengingatkan kita kepada Pencipta kepada si gunung yang Maha Hebat. Kerana itu kita dikurniakan untuk berfikir, untuk memerhati dan meneliti segala yang kita lihat dan mengaitkannya dengan kejadian alam semulajadi. Apa kita mengira sengaja si gunung diciptakan hanya dengan suka-suka? Mana mungkin. Setiap sesuatu diciptakan dengan sebab seperti mana manusia diciptakan untuk menjadi hamba ( 51:56) dan khalifah (2:30) di muka bumi Allah ini. Dan manusia, gunakanlah akal dengan fitrah kebaikan kita dan ke jalan yang betul.
2. Hanya benar-benar bersungguh-sungguh akan mampu menawan puncak Si Kinabalu
Seperti yang saya ceritakan tadi, ada pendaki gunung yang berputus asa dan menyerah kalah di pertengahan jalan. Sebabnya kerana tidak mempunyai stamina yang cukup dan kuat untuk meneruskan pendakian untuk menawan puncak si Kinabalu. Kita analogikan kisah ini ke dalam kehidupan kita sebagai abid / hamba dan khalifah di bumi Allah ini. Kita sedia maklum sebagai manusia, kita mesti menjalankan kedua-dua peranan kita di bumi, seperti mana yang diamanahkan oleh Allah. Dua peranan itu;
1. Abid / hamba
Hamba sepenuhnya kepada Allah dan sentiasa berusaha mentaati larangan dan suruhanNya.
(Surah Az-Zariyat : Ayat 56)
2. Khalifah
Berperanan sebagai pemimpin atau dalam erti kata lain menegakkan dan menyebarkan agama Allah di muka bumi ini. Menjalankan amar makruf nahi mungkar dan bukannya hanya mengamalkan prinsip berpeluk tubuh dan berdiam diri melihat kemungkaran bermaharajalela. Menjalankan tanggungjawab untuk terus membina dan membina jiwa-jiwa yang inginkan kebaikan di luar sana agar nanti, mereka akan menjadi penyambung tugas dakwah dan tarbiyah.
Dan di sini, hanya yang benar-benar mampu dan bersungguh-sungguh akan mampu mengharungi segala liku-liku dan cabaran untuk melaksanakan kedua-dua peranan manusia diciptakan di dunia ini dengan sukses dan jayanya, sehingga menghembuskan nafas yang terakhir. Dan itu bukan mudah, sungguh bukan mudah. Tetapi kerana Allah tiada yang mustahil. Dan semua itu menjadikan kita semua pejuang di dunia ini, dan bukankah sepatutnya begitu, jika kita benar-benar menjalankan dua peranan itu, kita memang pejuang, right?
"Orang lain musuhnya kurang, pejuang musuhnya tidak terbilang"
Lirik lagu Sunnah Orang Berjuang - Rabbani
- Orang yang di jalan ini memang selalu mempunyai ramai musuh-
3. Kisah sang gunung lebur menerima al-Quran
Firman Allah SWT maksudnya:
" Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung,
" Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung,
pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah.
Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. "
(Surah Al-Hasyr, 59:21)
Allah umpamakan gunung di dalam al Quran, yang jika al- Quran ini diturunkan kepada sebuah gunung, pasti gunung itu akan berpecah-belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Allah menyuruh manusia berfikir dengan turunnya ayat ini. Just imagine, gunung yang kuat, gah, hebat dan kukuh itu hancur, lebur, berpecah belah dan tunduk hanya kerana diturunkan al Quran kepadanya. Subhanallah, sedangkan gunung yang hebat itu pecah lebur, apatah lagi kita manusia ini, tidakkah suatu keistimewaan al Quran itu diturunkan kepada kita, di saat gunung tidak berupaya memikul tanggungjawab al Quran itu? Dan masih lagi kita mengingkari kebenaran dan berpaling menuju kebatilan. Nauzubillahiminzalik.
Pemandangan Si Kinabalu dari arah Dairy Farm, Sabah.
Dari si Kinabalu, kita belajar sesuatu bahkan ketika saya berupaya menatap si Kinabalu di hadapan mata ketika melawat Sabah baru-baru ini, memang ia cukup gah dan besar. Manusia hanya umpama semut jika dibandingkan dengan si Kinabalu tetapi Allah memilih manusia untuk menerima al Quran yang cukup tinggi dan mulia. Si Kinabalu yang dikelilingi awan, memang cukup menarik, tampak menawan dan memukau dan tentu susah untuk percaya bahawa gunung yang sehebat itu akan pecah belah sekiranya al Quran diturunkan kepadanya.
Allah memang Maha Mengetahui dan,
",, Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.."
Surah Al Baqarah : 6
Terima kasih Si Gunung Kinabalu dan sudah tentu Alhamdulillah, kerana Allah mencelikkan hati kita untuk belajar sesuatu dari sosok gunung yang hebat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan