Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Khamis, 18 Ogos 2016

Teaser Novel Hipokrit Bab 48

Bab 48
Alunan bacaan al-Quran jelas kedengaran dari arah bilik Ilyana. Suara merdu dan halus melafazkan kalimah-kalimah keramat Sang Tuhan Maha Agung dengan penuh syahdu dan penghayatan. Sesekali terdengar bunyi gadis itu tersedu seketika dan kemudian menyambung kembali bacaannya yang tergendala. Setelah sekian lama rumah kayu peninggalan Mustafa itu sepi dari alunan ayat-ayat Sang Tuhan di dalamnya, kini ayat-ayat keramat itu bergema kembali di situ, dengan setiap bait-baitnya yang cukup menyentuh hati dan sayu.

“Panas!” Ujar Ema kasar.

 Dia yang sedang duduk di dalam biliknya bermandi peluh saat mendengar alunan ayat-ayat al-Quran yang dilantunkan oleh Ilyana. Peluh yang mengalir deras dikesatnya dengan tuala berwarna putih namun peluh tersebut bukannya semakin berkurang, bahkan semakin banyak yang memercik keluar.

“Panas! Panas!” Ema menjerit semakin kuat.

Penghawa dingin di biliknya dipasang dengan lebih kuat. Jendela dibuka luas dan rambut kerintingnya diramas-ramas kasar dengan tangan. Kepalanya menjadi pening, bagaikan sedang dicucuk dengan jarum-jarum kecil dari segenap arah. Keadaannya menjadi semakin teruk ketika suara Ilyana masih membaca ayat-ayat al-Quran secara berterusan tanpa berhenti sedikit pun.

“Ema, kau kenapa?” Sa’di yang muncul dari dapur menjengukkan kepala di bahagian pintu bilik Ema. Wanita berkain batik corak bunga raya itu agak terkejut melihat keadaan Ema yang tidak tentu arah dengan peluh yang membasahi seluruh tubuh.

“Suruh budak tu berhenti baca. Suruh dia berhenti!” Jerkah Ema kasar.

“Dia buat benda baik, takkan aku nak arahkan dia berhenti? Lagi pula, inilah kali pertama aku mendengar ayat-ayat al-Quran dialunkan memenuhi segenap ruang sudut di rumah ini, Ema.” Sa’di membantah arahan yang dikeluarkan oleh Ema.

“Persetankan semua itu!” Jerit Ema sekuat hati.

“Aku tak faham kau.” Ujar Sa’di sayu, simpati melihat keadaan Ema yang semakin hari semakin sukar untuk difahaminya.

Personaliti Ema sukar diramal sejak akhir-akhir ini. Sa’di tidak pernah menyangka Ema akan membenarkan Ilyana Nasuha, anak tiri yang dibenci oleh wanita berambut kerinting itu sendiri tinggal di rumah tersebut. Dia sangat terkejut dengan keputusan yang dipilih oleh Ema dan pernah juga Sa’di terfikir, sekiranya Ema itu tidak waras sekali pun, tindakan mengizinkan Ilyana tinggal semula di rumah kayu itu merupakan keputusan paling akhir yang akan diambilnya. Bukannya ketika saat ini, saat di mana Ema sedang berada di posisi selesa dan pengaruhnya dalam kalangan penduduk kampung bermaharajalela.

“Dia sengaja menyiksa aku!”

Pantas kaki Ema melangkah menuju ke bilik Ilyana. Berdentum pintu bilik gadis itu dibuka kasar olehnya. Ilyana yang sedang duduk di atas sejadah sambil memegang tafsir al-Quran berwarna hitam kelihatan sedikit terkejut. Gadis muda itu masih lengkap bertelekung putih dan matanya tidak berkelip memerhati Ema yang sedang tidak tentu arah di bahagian pintu biliknya.

“Kenapa tiba-tiba menerjah masuk bilik orang?” Ilyana menyoal agak tidak puas hati.

Gadis bertelekung putih itu melipat sejadah berwarna biru tua di hadapannya dan kemudian, meletakkan sejadah tersebut di birai katil. Ilyana menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan sebelum bingkas bangun dari duduknya yang agak lama usai menunaikan solat Isyak tadi.

“Selepas ini, jangan pernah kau baca al-Quran lagi di rumah ini. Di sini bukan tempat untuk kau mempamerkan sikap hipokrit dan berlagak alim. Aku tak suka! Kau buat aku panas! Panas! Panas!” Ema mengherdik Ilyana dengan suara yang sangat kuat, membuatkan Ilyana merenung wajah wanita berambut kerinting itu dengan dahi berkerut seribu.

“Al-Quran itu sumber ketenangan. Jika kau gelisah mendengar aku membaca al-Quran, aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kau. Tidakkah kau sepatutnya suka mendengar kalimah-kalimah Tuhanmu dialunkan, bukannya melarang orang untuk membacanya? Aku tidak faham dengan orang seperti kau.” Balas Ilyana agak hairan.

Memang dia hairan.

Terlalu hairan.

“Ini rumah aku, jadi kau kena dengar cakap aku!” Ema masih bertegas.

Ilyana hanya mendiamkan diri mendengar kenyataan yang dikeluarkan Ema. Gadis itu tersenyum kecil, langsung tidak berasa bimbang dengan ayat-ayat ancaman daripada si wanita berambut kerinting di hadapannya. Mungkin Ema belum tahu akan kebiasaan Ilyana yang baru setelah dihalau keluar dari kampung lapan tahun yang lalu. Jika mudah menyerah kalah, bukan Ilyana Nasuhalah gerangannya.

“Lihat sahaja nanti.” Ujar Ilyana dengan suara yang cukup bersahaja.

Ema mengetap bibir melihat wajah tenang Ilyana yang langsung tidak terkesan dengan ayat-ayat ancamannya. Dia tidak terkejut sekiranya anak muda itu masih tetap meneruskan aktiviti membaca ayat-ayat al-Quran memandangkan Ilyana nampaknya seperti acuh tak acuh mendengar amaran daripadanya. Anak yang degil! Jauh beza dengan Maria yang sangat menurut kata dan mudah dibawa berbincang.

“Kau sengaja menyakiti aku kan? Sebab itu kau baca ayat-ayat tu. Kau mahu membuatkan aku sakit dan kepanasan. Berterus-terang sahajalah, Ilyana. Kau memang berniat ingin membalas dendam kepada aku!”

“Jika ya, kenapa?” Ilyana mulai serius.

Memang itulah niatnya sejak dahulu. Membalas dendam atas segala perbuatan Ema terhadap keluarganya. Kerana perempuan itu, keluarganya porak-peranda. Kerana perempuan itu, dia tidak dapat menikmati zaman remajanya seperti biasa. Dan kerana perempuan itu, dia dihalau keluar daripada kampung, atas fitnah dan mehnah yang dilemparkan tanpa sebarang usul periksa. 

Kejam!

            Ilyana menarik nafasnya dalam-dalam.

            Air matanya menitis perlahan.

            Sakit.

            Hatinya mulai terasa sakit.

            “Kau tidak akan berhasil, lupakan saja niat kau itu.” Perlekeh Ema dengan suara meleweh-leweh yang biasa muncul ketika wanita berambut kerinting itu ingin merendah-rendahkan kemampuan orang lain.

            “Ilmu hitam kau itu tidak mampu buatkan kau kebal. Tuhan itu tidak tidur. Penganiayaan yang kau lakukan ke atas aku dan keluarga aku akan dapat balasan yang setimpal jua nanti. Tidak di dunia, di akhirat nanti kau akan mendapatkannya. Jika di dunia saja kau sudah bagai cacing kepanasan mendengar ayat-ayat al-Quran dialunkan, apatah lagi di akhirat, tempat di mana neraca Tuhan Yang Maha Agung menghakimi semua makhluk seadil-adilnya. Kau tidak akan terlepas, Ema!”

            Tersentak Ema mendengar kata-kata yang dituturkan oleh segaris bibir yang nampak lembut namun cukup berbisa. Ilmu hitam? Akhirat? Neraca Tuhan Yang Maha Agung? Keadilan? Ema terkesima seketika, lidahnya kelu dan mindanya beku, tidak berupaya memproses kata-kata yang ingin dibalas kepada Ilyana.

            “Dan sekali pun aku mampu membalas dendam, itu tidak sehebat balasan yang Allah akan beri di akhirat. Jadi, aku pilih untuk kekal berdiam diri walaupun hati aku sakit, bagai ditusuk pisau belati. Pinta aku hanya satu, buanglah “benda” yang tidak sepatutnya ada bersama kau. Ianya hanya memudaratkan, bukannya membawa keuntungan. Syaitan itu menyesatkan, hanya kemewahan dunia dihamparkan untuk mengaburkan mata kau. Satu-satunya sebab yang utuh untuk itu adalah untuk menarik kau bersamanya di neraka kelak. Berubahlah, Ema. Jika aku dapat berusaha menghalang rasa dendam ini daripada terus membara, kenapa tidak engkau? Jika diturutkan nafsu, memang engkau ingin aku bunuh! Tetapi apa yang aku dapat dengan semua itu? Kepuasan duniawi semata-mata, tidak lebih dari itu.”

            Ilyana melabuhkan punggung di birai katil, matanya merenung sejadah yang dilipat kemas di hadapannya. Air mata yang mulai menitis dikesat dengan tangan perlahan-lahan. Ema pula masih mendiamkan diri, langsung tidak mengeluarkan sepatah bicara pun.

            “Ema, buanglah “benda” itu sebelum ia memakan diri kau.”

            Sa’di yang sejak tadi hanya mendengar perbalahan mulut antara Ema dan Ilyana akhirnya bersuara mencelah. Wajah Ema dipandang dengan penuh kasih, langsung tiada riak benci dan marah di dalam redup mata wanita itu. Ema hanya menggeleng-gelengkan kepalanya mendengar kata-kata lembut Sa’di. Wanita berambut kerinting itu jatuh terjelepok di atas lantai sambil menangis.

            “Nampak mudah namun susah!” Ema pantas membidas.

            “Kau tidak berusaha, bagaimana engkau tahu ia susah?” Sa’di menyoal penuh penasaran. Besar harapan di hatinya agar Ema berubah menjadi seorang muslimah yang taat pada agama dan terputus daripada belenggu syaitan yang tidak pernah berputus asa menyesatkan manusia.

            “Kecantikan aku akan hilang. Rasa hormat orang pada aku akan hilang. Harta yang melimpah-ruah ini juga akan kusut sedikit demi sedikit. Engkau tidak tahu bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang hodoh dan dipandang jijik oleh orang-orang kampung, Sa’di. Kau tidak melalui apa yang aku lalui, sehingga kawan baik aku sendiri khianatkan aku dan merampas lelaki yang aku cintai. Dan hasilnya, lahirlah gadis keparat hipokit ini!” Ema meluah rasa, jari telunjuk kanannya dituding marah ke arah Ilyana yang masih duduk di birai katil.

            “Ibu aku tak pernah khianatkan engkau.” Ilyana bingkas bangun dari katil, bersuara membela ibunya. Kening gadis itu kelihatan hampir bertaut dan dahinya berkerut.

            “Kau tidak tahu apa-apa, Ilyana!” Ema mengherdik Ilyana kasar.

            “Syaitan itu bukan membantu kau sedikit pun, itu hanya tipu daya semata-mata. Kecantikan ini tak akan kekal, Ema. Harta ini tidak akan mampu kau bawa mati. Rasa hormat orang juga akan hilang bila tiba masanya nanti. Cukuplah Ema, cukup!” Sa’di menggoncang-goncangkan bahu Ema, tangisnya sudah meledak hebat.

            Ema meraung kuat, tangannya mencengkam kuat kepalanya sendiri. Pelbagai rasa menusuk-nusuk hatinya saat ini. Rasa kerdil, rasa hina, rasa benci, rasa marah, rasa kasih, rasa cinta dan rasa kecewa. Semuanya bercampur aduk dan seakan-akan saling mendesak untuk menguasai segenap hati yang masih sirna, gelap tiada cahaya di dalamnya. Dan kemudian, dia mendengar bisikan halus itu lagi, entah ke berapa kali.


Dia hipokrit. Hapuskan dia!”


            “Jangan kacau aku, setan!”

            Jeritan Ema membuatkan seluruh ruang yang ada di rumah itu bergema hebat dengan suaranya. Sa’di memeluk tubuh Ema erat sambil matanya melilau memandang ke arah sekeliling bilik Ilyana. Terasa tegak bulu romanya tiba-tiba. Ilyana juga merasakan perkara yang sama, ayat kursi segera dibaca dengan matanya yang dipejamkan erat. Dan beberapa minit setelah itu, kedengaran suatu raungan suara garau yang amat dahsyat dari arah belakang rumah kayu peninggalan Mustafa. Serentak dengan itu, bau sesuatu terbakar menusuk ke lubang hidung, membuatkan Ilyana dan Sa’di berpandangan sesama sendiri.

            “Bau benda terbakar.” Ujar Ilyana perlahan.

            “Shhhhhh.”

            Sa’di meletakkan jari telunjuknya di bibir, wajah Ilyana dipandang serius. Ema yang sedang berada di dalam pelukan Sa’di kelihatan sudah tidak sedarkan diri. Peluh masih membasahi seluruh tubuh wanita berambut kerinting itu.

            “Mari, tolong mak cik angkat Ema ke dalam bilik dia.” Sa’di bersuara lega.


            Ilyana pada mulanya malas hendak membantu tetapi hati kecilnya memberontak agar akur untuk menghulurkan bantuan. Dalam keadaan mahu dan tidak mahu, gadis muda itu mengangkat tubuh Ema bersama dengan Sa’di. Tubuh langsing dan kurus itu diusung masuk ke dalam bilik tidur Ema yang berdekatan dengan ruang tamu. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan