Aku ialah sehelai tudung labuh koshibo berwarna hijau muda. Badanku diperbuat daripada kain koshibo dan dijahit dengan rapi serta kemas sekali oleh seorang wanita yang memang merupakan seorang penjual tudung labuh. Setelah siap dijahit dan sudah sedia untuk dijual, aku diletakkan di sebuah kedai pakaian muslimah. Di dalam kedai itu, aku bertemu dengan begitu banyak teman-temanku yang lain. Aku bertemu dengan tudung Akel, tudung Rozella dan aku paling tertawan melihat si selendang labuh bernama Halfmoon. Mungkin kerana dia agak cantik berbanding kami yang lain. Tetapi itu tidak penting, yang penting kami semua wujud di situ hanyalah dengan satu tujuan. Peniaga yang menjual kami bukan semata-mata ingin menjual kami untuk memperoleh keuntungan duniawi, tetapi tujuan utamanya adalah untuk membekalkan tudung yang labuh dan sesuai mengikut syariat Islam kepada wanita-wanita Islam di luar sana. Harga yang dikenakan juga sangat murah berbanding dengan tudung-tudung berjenama lain yang selalunya diiklankan di televisyen. Aku selalu mendengar peniaga yang menjual aku merungut tentang tudung-tudung berjenama yang terkenal itu. Harga tudung-tudung itu mencecah ratusan ringgit tetapi tudungnya singkat dan tidak menutup dada. Sedangkan di dalam Islam, khimar/jilbab/tudung yang dipakai oleh seseorang wanita itu wajiblah menutup dada.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya(semasa mereka keluar);cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Al Ahzab:59)
Oleh sebab itu, peniaga yang menjual aku hanya menjual pakaian muslimah yang mengikut syariat. Baju T- muslimah dan jubah-jubah yang cantik juga ada dijual di kedai itu. Oh ya, terlupa aku hendak mempromosi nama kedai tempat aku dijual ini. Nama kedainya ialah Alyani's Muslimah Shop! Namanya secomel tuan empunya kedai, kecil molek dan lemah-lembut orangnya. Aku akui, peniaga ini amat menitikberatkan kualiti barang jualannya. Ramai pelanggan berpuas hati dengan tudung-tudung yang dihasilkannya tetapi selama sebulan aku di dalam kedai tersebut, aku lihat Akel dan Halfmoon sangat laris seperti cucur pisang panas yang dijual di tepi jalan. Aku fikir, mungkin orang ramai tidak begitu meminati tudung labuh koshibo seperti aku. Aku fikir, mungkin begitu.
Suatu hari, pada hari Isnin yang cerah dengan angin sepoi-sepoi bahasa bertiup masuk ke dalam kedai Alyani's Muslimah Shop, lima orang gadis muda masuk ke kedai Alyani's muslimah shop. Empat daripada mereka, semuanya memakai tudung labuh kecuali seorang gadis berkulit cerah yang hanya berdiri memerhati teman-temannya membelek-belek beberapa helai tudung labuh Akel dan Pashmina labuh. Gadis berkulit cerah itu memerhati beberapa helai tudung labuh koshibo yang berhampiran denganku. Tangannya menyentuh rakan-rakanku dan kemudian ketika tiba giliran aku, gadis itu berhenti sejenak. Matanya tidak lekang memerhati aku. Ketika itu, aku fikir, tidak mungkin gadis itu hendak membeli aku. Penampilan gadis itu menampakkan dia bukanlah jenis gadis yang bertudung labuh. Gadis itu mengenakan tudung bawal biasa bidang 45 tetapi pakaiannya masih dikira agak okay. Tidak begitu ketat dan longgar. Kakinya juga tidak ditutup dengan stoking padahal kaki seorang wanita itu ialah aurat. Mungkin gadis itu sekadar melihat-lihat saja, fikirku.
Namun sangkaanku meleset, gadis berkulit cerah dan bertudung bawal itu mengambil aku dari rak tudung secara tiba-tiba. Aku dibawa ke kaunter pembayaran dan diletakkan di situ. Kemudian, aku lihat, gadis itu turut mengambil lima pasang stoking yang tersusun rapi di suatu sudut dan membawa stoking-stoking itu ke kaunter pembayaran. Dan di situlah permulaan detiknya, aku mulai berkhidmat sebagai sehelai tudung labuh yang mengikut syariat kepada tuan aku.
credit to wardahsyaukah.blogspot.com
Walaupun aku tidaklah secantik Rozella, Halfmoon atau lemah lembut gemalai seperti Akel, tuan aku tetap sangat menyayangi aku dan aku sering digunakannya ketika menghadiri kuliah di universiti. Aku sangat bahagia mempunyai tuan yang sangat menjaga dan menyayangi aku, lebih-lebih lagi aku merupakan tudung labuh pertama yang dimilikinya. Ada juga beberapa rakannya mengejek ketika dia menggunakan aku tetapi tuan aku tidak ambil peduli tentang itu. Dia selalu menghadiri usrah ketika hujung minggu dan di situ, aku bertemu dengan banyak rakan-rakanku yang lain, tudung labuh koshibo bermacam-macam warna yang dipakai oleh muslimah-muslimah ketika itu.
"Jangan sesekali kita memandang rendah pada mereka yang baru hendak berubah,
bimbinglah mereka dan ajaklah mereka dengan penuh cinta kepada Allah."
Pelbagai perkongsian dikongsi bersama ketika usrah diadakan setiap hujung minggu. Tuan aku juga telah membeli beberapa helai tudung labuh baru tetapi aku masih diutamakan. Aku langsung tidak berasa dianaktirikan, walaupun dengan kehadiran tudung labuh baru yang jauh lebih cantik dan berseri rupanya. Dan aku juga bersyukur, sekurang-kurangnya aku ada teman baru. Pada suatu petang, tuan aku balik dari kuliah seperti biasa, dengan memakai si Akel bidang enam puluh berwarna coklat. Itu perkara biasa bagi aku tetapi sesuatu yang luar biasa tentang hari itu ialah tuanku turut membawa pulang sehelai tudung labuh koshibo berwarna coklat muda yang terkoyak dan kelihatan sangat kotor. Tudung itu lusuh dan basah. Entah apa yang telah terjadi kepada tudung itu. Aku sebak melihat keadaannya, begitu juga dengan rakan-rakan baruku yang lain.
Tuan aku mencuci si tudung labuh koshibo coklat muda itu dan menjahit tudung itu setelah ia kering. Dan ajaibnya, tudung itu sebenarnya masih elok untuk dipakai setelah dibersihkan dan dijahit semula. Subhanallah. Aku bertanya kepada si tudung labuh coklat muda tentang sebab kenapa keadaannya begitu teruk ketika dibawa oleh tuanku dahulu. Tudung itu menangis teresak-esak beberapa minit dan kemudian ia memberitahuku dengan suara sayu;
"Aku telah dibeli oleh seorang gadis yang menuntut di universiti yang sama dengan tuanmu. Tuan aku dahulu juga bertudung labuh tetapi sekarang, ia tidak lagi memerlukan aku kerana terpengaruh dengan kata-kata teman lelakinya. Tuan aku mulai bergaya dengan tudung-tudung singkat menampakkan dada dan aku sangat takut melihat perubahan mendadaknya itu. Dia tidak lagi menutup auratnya dengan rapi seperti dulu. Kerana itulah aku dibuang dan bukan aku sahaja, banyak lagi rakan-rakanku yang lain dihumban ke dalam tong sampah. Aku bertuah kerana ditakdirkan Allah untuk diselamatkan oleh tuanmu ketika dia melintasi tempat aku terbuang tidak berguna, dipijak orang yang lalu-lalang dan kadang-kadang, disepak-sepak oleh anak-anak muda jalanan. Aku sedih kerana tidak mampu lagi membantu tuan aku menutup bahagian yang patut ditutup dan aku sangat sedih, kerana tuan aku sudah tidak ambil berat tentang dosa lagi. Aku sangat sedih!"
Aku tersentuh melihat keadaan si tudung labuh coklat muda itu. Aku sangat berharap, tuan aku tidak akan menjadi seperti tuan si tudung labuh coklat muda. Aku berharap tuan aku akan istiqamah dengan hijrahnya. Kami sebagai tudung labuh bukan sekadar penghias kepada wanita muslimah semata, tetapi tugas kami sebagai tudung labuh adalah untuk melindungi wanita-wanita di luar sana daripada bahaya ancaman mata lelaki. Tugas kami juga untuk membantu wanita mentaati perintah Allah seperti mana yang termaktub dalam surah al-Ahzab ayat 59. Itulah tugas kami.
Mungkin dengan memakai kami, wanita-wanita tidak kelihatan mampu bergaya seperti stailista, hijabista atau shawlista lista yang berbelit-belit itu tetapi penilaian siapakah yang paling sempurna jika tidak penilaian Allah yang Maha Esa. Lagipun, ada sahaja selendang dan shawl yang labuh tetapi hanya kadang-kadang, sesetengah wanita lebih suka memakai yang singkat. Tuan aku sendiri misalnya, kadang-kadang memakai si Pashmina labuh untuk keluar bersukan. Aku lihat sejak tuan aku bertudung labuh, memang banyak teman-temannya yang cuba mempengaruhinya untuk bertudung singkat semula tetapi Alhamdulillah, dia seorang gadis yang kuat dan semoga dia terus istiqamah. Anak-anak muda yang bertudung labuh juga banyak yang berjaya dalam kehidupan sosial mereka dan itu jelas membuktikan kami si tudung labuh bukan penghalang untuk muslimah di luar sana mencapai kejayaan. Dan aku, sebagai sehelai tudung labuh yang mengikut syariat, berasa bangga kerana dapat memastikan tuan aku berpakaian mengikut perintah Allah. Alhamdulillah. Semoga lebih banyak muslimah yang akan mengerti maksud di sebalik sehelai tudung labuh.
Selagi aku masih mampu berbakti,
aku akan tetap berbakti kepada muslimah yang inginkan cinta Tuhannya.
-Si Tudung Labuh Koshibo-
The picture credit to: syariatilahiinspirasikami.blogspot.com
(Cerita ini rekaan semata-mata, yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari saya sendiri)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan