Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Ahad, 22 Oktober 2017

Dilema Aku

Ada kalanya engkau tidak tahu apa yang perlu engkau tuliskan tetapi jari-jemari engkau tetap terus laju menari-menari menekan-nekan punat-punat di atas papan kekunci. Begitu juga aku, yang kadang buntu tentang apa yang harus aku tuliskan, namun tetap aku layahkan aksara kerana ilham itu magik, ia datang tanpa diduga. Dia yang Maha Memberi mengurniakan ilham, tidak kira waktu dan tempat, hatta ketika aku sedang menunggu bas Kiffah di Taman Bahtera, ilham itu boleh datang tiba-tiba. Dalam menuliskan ilham itu menjadi sebuah karya, aku acapkali berperang dengan diriku sendiri. Peperangan yang sangat rumit, antara akal dan hati, yang selalu tidak selari. Sedangkan berperang dengan diriku sendiri sudah cukup sakit - menyebabkan ada beberapa karya yang hanya aku pendam dan tidak aku hantarkan kepada penerbit.



Dan suatu ketika di dalam kelas subjek Penulisan Kreatif, pensyarah meminta kami untuk menghasilkan sebuah sajak berdasarkan pengalaman paling sedih atau paling gembira di dalam hidup kami. Ketika itu, perkara pertama yang terlintas di benakku ialah pengalaman sedih tetapi aku cuba untuk menyembunyikannya serta cuba untuk menghasilkan sajak yang gembira tetapi aku gagal. Ternyata aku tidak dapat membohongi diri dalam berkarya dan akhirnya sajak itu ku baca sambil tersedu-sedan menangis di hadapan kelas. Kerana sajak itu cukup berbeza dari menulis novel -sedangkan dalam menulis novel juga aku mencedok serba sedikit kisah benar dari mereka di sekelilingku dan kisah itu aku adunkan dengan perisa-perisa sehingga khalayak yang dekat denganku tidak akan dapat mengetahui itu kisah siapa. 

Aku suka mengambil kisah-kisah di sekelilingku sebagai inspirasi untuk berkarya, walau ia secebis cuma namun jika ia memberi impak yang besar kepadaku, akan ku jadikan ia sebuah karya tidak kira sajak, cerpen atau novel. Memandangkan semester lima ini kami pelajar sastera mengambil subjek Penulisan Kreatif, kami diminta untuk menyiapkan kerangka novel, cerpen dan sajak. Kiranya itu assignment kami dan itu, aku anggap sebagai satu peluang yang besar. Siapa tahu aku akan dapat menulis karya yang berkualiti? Menulis karya yang berkualiti itu sangat payah. Aku memang amat mencintai karya-karyaku yang sebelum ini tetapi aku tidak merasakan diriku cukup bagus untuk berhenti belajar mengenai bidang penulisan ini dengan lebih mendalam. Aku masih dangkal dan cetek ilmu, perlu belajar lebih lagi.

Dan ketika ada segelintir yang menganggapku "kaya" kerana bergelar penulis, aku harap selepas ini mereka buang pemikiran seperti itu jauh-jauh. Duit royalti novelku, biasanya aku peruntukkan untuk keperluan keluarga terlebih dahulu. Tiada yang lebih menggembirakan apabila melihat keluarga - mak, bapa, nenek dan adik-adik kau gembira - dan mengetahui kaulah sebab kegembiraan mereka. Dan berkarya itu memang boleh menjadi sumber pendapatan, tidak aku nafikan. Namun semuanya tetaplah berbalik kepada niat, niat baik insyaaAllah, Allah akan bantu. Moga Dia mempermudahkan semuanya selepas ini. Moga aku akan dapat menulis karya-karya yang lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Aaamiin. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan