Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Jumaat, 29 Disember 2017

BAHAN BANTU MENGAJAR WATAK DAN PERWATAKAN DALAM CERPEN - PART 1

Assalammualaikum semua.

Di sini saya nak berkongsi mengenai sesuatu yang mungkin dapat memberi manfaat kepada semua. Semester lima ini, kami pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu mengambil kursus KPD 3016 I dan dalam kursus itu, kami belajar membuat Rancangan Pengajaran Harian (RPH), Jadual Spesifikasi Kandungan (JSK), Jadual Spesifikasi Ujian (JSU), Kit Media dan Bahan Bantu Mengajar yang digunakan dalam salah satu RPH kami. Di sini saya nak berkongsi tentang BBM yang saya buat. Saya telah memilih RPH yang mengajar watak dan perwatakan di dalam cerpen Air Mata Dalang - cerpen ini dimuatkan di dalam buku Antologi Kubentang Sehelai Peta yang digunakan oleh pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu untuk masa yang terkini. Jadi saya telah memilih BBM dengan menggunakan kad dialog melalui teknik lakonan dan kaedah berkumpulan. Berikut ialah gambar kad dialog yang saya buat :


Kad dialog yang mengandungi dialog

Saya menggunakan pendekatan mengalami menghayati di dalam RPH ini dan oleh sebab itu, saya membuat kad dialog yang akan membolehkan murid-murid untuk melakonkan semula dialog-dialog yang ditulis di dalam kad tersebut. Salah satu huraian pembelajaran khusus adalah untuk membolehkan murid-murid menerangkan jenis watak yang dikaji di dalam cerpen Air Mata Dalang. Untuk maklumat yang lebih terperinci tentang kad dialog ini, boleh dibaca di bahagian bawah. Saya berkongsi mengenai kad dialog ini agar dapat memberikan idea kepada guru-guru Kesusasteraan Melayu atau mana-mana guru yang hendak mengajar mengenai watak dan perwatakan di dalam karya agar murid-murid lebih memahami mengenai watak dan perwatakan yang sedang mereka belajar. 

Kit Media Kad Dialog

Kad dialog di bawah merupakan kad yang mengandungi dialog daripada watak-watak di dalam cerpen Air Mata Dalang. Dialog – dialog tersebut adalah daripada tiga watak yang paling menonjol di dalam cerpen Air Mata Dalang iaitu watak Pak Yasok, Faezah dan Nora. Kad dialog ini akan lebih memudahkan murid-murid untuk memahami mengenai watak dan perwatakan di dalam cerpen Air Mata Dalang kerana aktiviti ini akan melibatkan murid-murid secara aktif. Oleh sebab itu, guru telah menggunakan kad dialog untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih efektif dan berkesan. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kad dialog ini adalah seperti yang berikut iaitu gunting, kertas warna, animasi yang telah dicetak, gam dan dialog dari cerpen yang hendak diajar juga perlu dicetak untuk ditampal di atas kertas warna. Cukup mudah dan ringkas! 

     Enam kad dialog tersebut akan diagihkan oleh guru kepada enam kumpulan yang dianggotai oleh lima orang murid di dalam setiap kumpulan. Setiap kumpulan akan mendapat satu kad dialog daripada guru dan guru akan memberikan arahan agar setiap kumpulan memilih seorang wakil untuk melakonkan dialog tersebut. Guru turut memberikan arahan agar ahli-ahli kumpulan yang lain fokus kepada dialog yang dilakonkan oleh wakil kumpulan dan cuba mengenal pasti jenis watak tersebut. Apabila selesai setiap wakil daripada kumpulan melakonkan dialog suatu watak, guru akan memberikan masa sebanyak 10 minit untuk murid-murid berbincang di dalam kumpulan masing-masing tentang jenis watak yang telah dilakonkan oleh wakil kumpulan masing-masing. Selepas 10 minit, setiap kumpulan akan diminta untuk membentangkan dapatan perbincangan di hadapan kelas dan ketika itu, guru akan meminta setiap kumpulan memberikan respons kepada pembentangan tersebut. Usai sahaja semua kumpulan habis membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing, guru akan membetulkan kesalahan dan memberikan jawapan yang tepat kepada murid-murid. Di bawah ini adalah gambar kad tersebut dengan lebih dekat.





Saya rasa awak semua boleh buat kad dialog yang lebih menarik daripada apa yang saya buat ini sebab semakin menarik kad ini, murid-murid akan menjadi lebih bersemangat untuk belajar dan aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Apa pun, doakan saya akan ditempatkan menjadi guru dalam masa dua tahun akan datang dan doakan saya menjadi guru yang baik. Doakan saya juga dapat A untuk subjek ini. Aaamiinn ya rabb. Selamat mencuba kad dialog ini ya, cikgu-cikgu dan juga bakal-bakal cikgu. 

Lots of love,
Fitri Lyiana Amir. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan