Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Isnin, 27 Julai 2015

Seorang Maisara (Bahagian 16)

-Seorang Maisara- Bahagian 16

"Bagaimana dengan Kiah? Tak apa-apakah dia? Tadi abang pergi surau, semua orang bercakap pasal kes si Kiah memanjat pokok mangga si Deli petang tadi dengan berkain batik!" Malik menyoal isterinya dengan suara geli hati.
"Betulkah abah?" Maisara bersuara teruja, pantas gadis itu yang sedang duduk di atas kerusi sambil membaca buku "Zainab Al Ghazali" mendapatkan abahnya.
"Laaaaa, ingatkan kamu dah tau!" Malik memandang wajah Maisara yang sudah duduk bersila di hadapannya dengan pandangan hairan. Hairan kerana mendapati si anak yang duduk di rumah tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut sedangkan kecoh sekampung!
"Manalah saya tahu! Mak tak nak cerita kat saya, abah. Sedangkan mak yang pergi cari Mak Su tadi." Maisara bersuara geram, mengenangkan sikap si ibu yang sengaja berahsia.
"Malas mak nak bagi tau kamu!" Halimah yang sedang menyikat rambut si Haikal membalas, juga dengan nada yang sama seperti Maisara, berbaur geram!
"Awak yang pergi cari Kiah tadi. Tentu awak tahu kenapa dia panjat pokok mangga si Deli tu sampai kain batik dia koyak-rabak." Ujar Malik sambil tergelak.
Halimah menarik muncung.
Galak benar si suami mengetawakan adik bongsunya. Kalau kena diri sendiri, baru tahu rasa!
"Yang awak ni diam saja dah kenapa? Marah?" Semakin galak Malik ketawa melihat wajah Halimah yang kian mencuka.
"Mana ada saya marah?" Pantas Halimah bersuara menafikan. Maisara dan Haikal hanya menjadi tukang perhati, kedua-dua anak itu saling bertukar pandangan sambil tersengih lebar.
"Dah tu kenapa pertanyaan abang tak dijawab Limah oiiii! Jawablah duhai payung intan emas permata!"
"Abang ni! Dah kerbau Pak Mat tu kejar dia, ke mana lagi dia nak sembunyi kalau bukan atas pokok mangga si Deli?" Halimah mengeluh panjang, wajah suaminya yang sedang galak ketawa diperhati jengkel.
"Kena kejar kerbau? Bestnya!" Haikal bertepuk tangan, gembira sungguh anak kecil itu mendengar Mak Su Kiahnya dikejar oleh kerbau.
"Tak hairanlah! Tadi Mak Su pakai baju warna merah. Tergoda kerbau Pak Mat tu melihatnya." Maisara turut menyampuk.
Geli hati mengenangkan Mak Su.
Kerbau Pak Mat pun terpikat!
"Tahu pulak warna baju Mak Su tetapi kenapa kisah Mak Su panjat pokok mangga tu kamu tak tahu?" Malik menyoal Maisara. Terlalu banyak persoalan bermain di minda orang tua berkain pelikat itu malam ini.
"Kalau abah nak tahu, pada mulanya Mak Su tu kejar sayalah. Bercekak pinggang dia di tengah jalan tunggu saya balik dari pasar. Dia kejar saya pusing satu kampung dengan kayu. Bila saya tengok belakang lagi, dia tak ada." Maisara bersuara menjelaskan.
"Kena kejar dengan kerbau dah tu!" Haikal mencelah tiba-tiba.
"Betul tu, Haikal!" Maisara turut mengiyakan.
"Sudahlah! Kesian Mak Su kamu tu. Cukuplah bercakap tentang dia. Lebam dan bengkak kamu tu, jangan lupa sapu minyak, Maisara. Nanti tak cepat baik!" Halimah bersuara tegas, wajah Maisara dipandangnya serius.
"Yalah, orang tahu." Maisara membalas malas. Buku di tangannya dipeluk erat.
"Kamu kerja ke esok, Maisara?" Malik menyoal lagi. Maisara mengerutkan kening mendengar soalan si abah. Pelik!
"Kerjalah! Kenapa abah tiba-tiba tanya?"
"Mana tahu kamu ambil cuti sebab muka dan bahu kamu bengkak terlanggar pintu kereta." Perlahan suara si abah menjawab.
Maisara mengeluh kecil.
Ambil cuti?
Itu tidak mungkin.
Sakit sedikit sahaja, bukan tenat sangat pun sampai perlu ambil cuti. Lagipun, kalau Maisara ambil cuti, akan berkuranglah wang gajinya. Kalau gaji berkurang, tak dapatlah dia membantu ibu bapanya membeli dan membayar keperluan harian.
Duit jualan ikan si abah tidak begitu memberangsangkan kebelakangan ini disebabkan musim tengkujuh. Keadaan arus sungai tidak menentu dan angin ribut kadang hadir tidak diduga.
-Akan bersambung-


Perhatian : 

Saya tak benarkan karya saya ini dicopy, ditiru, diambil tanpa pengetahuan dan izin saya. 

Harap maklum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan