Follow Fitri Lyiana Amir di Facebook

Isnin, 29 Februari 2016

Jelajah Novel 1 Malaysia

Assalammualaikum.

Selamat petang semua!

Hari ini saya nak berkongsi mengenai pengalaman untuk julung kalinya menyertai Jelajah Novel 1 Malaysia bersama penulis-penulis hebat yang lain. Saya yang masih baru dalam bidang penulisan ini cukup segan sebenarnya, apalah saya jika dibandingkan dengan mereka yang sudah lama dalam bidang ini. Baiklah, di sini saya hendak berkongsi beberapa keping gambar mengenai "Seorang Maisara" di dalam blog ini.


Lambakan novel "Seorang Maisara" di booth Jelajah Novel 1 Malaysia.



Ini gambar yang diambil oleh bos syarikat Penerbitan Bes Q 
semasa kami dalam perjalanan ke Johor Bahru.


Di lobi hotel Johor Bahru, tempat kami menetap dan ketika ini, saya menggagahkan diri untuk tandatangan beratus-ratus buah novel Seorang Maisara. Baru faham perasaan penulis lain sebelum ini. Adeh hahaha XD.



Di booth Jelajah Novel Satu Malaysia bersama novelis Wawa Taufik..

Selain syarikat Penerbitan Bes Q, terdapat empat syarikat penerbitan lain yang turut serta. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar bahkan sangat seronok sebab ada pelanggan yang memborong sampai berpuluh-puluh naskhah novel Seorang Maisara. Terima kasih ya warga Johor! :) Moga kisah Maisara memberi manfaat kepada kalian. 

lots of love,
Fitri Lyiana Amir. 


Rabu, 17 Februari 2016

Novel Seorang Maisara Terbitan Bes Q Publication (Sipnosis-blurp)

Assalammualaikum semua :)

Agak lama jari-jemari tak menari di sini. Ya ya ya ! :) Ada berita baik untuk semua, walaupun saya sudah maklumkan di facebook saya : Fitri Lyiana Amir dan Instagram, namun di blog belum saya update lagi entry mengenai novel saya yang sudah open order. Boleh dapatkannya dengan segera sekarang melalui saya sendiri di facebook atau secara terus kepada pihak penerbit : Nama Laman FB mereka ialah Penerbitan Bes Q. Boleh cari sendiri di facebook ya! Okay di bawah ini adalah cover novel saya "Seorang Maisara" dan sedikit sebanyak sipnosis mengenainya.


Seorang Maisara mengisahkan seorang gadis kasar dan agak tidak mempedulikan perasaan orang lain. Nama gadis itu Maisara, ya, seorang Maisara. Sejujurnya, ianya diadaptasi kisah sebenar seseorang yang biarlah saya rahsiakan siapa dia. Liku-liku kehidupan hijrah Maisara dalam merangkak mencari cinta Ilahi sehingga menyebabkan sesuatu yang tidak dijangka terjadi. Fitnah, mehnah dan cacian, semuanya perkara biasa bagi Maisara. Lebih-lebih lagi kemunculan Rayyan dan Firdaus yang merumitkan lagi keadaan. Apa yang sebenarnya terjadi kepada Maisara? Anda baca sendiri. :) 


Boleh juga mendapatkan novel Seorang Maisara melalui cara ini.
Harga RM 22 untuk Semenanjung Malaysia dan RM 25 untuk Sabah dan Sarawak.



Terima kasih Bes Q Publication.

Terima kasih semua :) 

Moga Allah redha! 

Rabu, 10 Februari 2016

Novel Hipokrit Bab 12

-HIPOKRIT- (Bahagian 12)



Tepat pukul dua belas tengah malam, Ema melangkah keluar dari rumahnya. Segala pesanan Mak Itam tersemat rapi di dalam minda, bahkan mantera yang disuruh oleh Mak itam agar dihafal, juga masih jelas berlegar-legar sama. Ema menarik nafas sedalam yang mungkin. Langkah kaki diatur menuju ke rumah Mustafa yang tidak jauh dari rumahnya.

"Gelapnya!"

Ema memeluk tubuhnya sendiri. Kedinginan malam menyelubungi seluruh tubuh, membuatkan Ema menggigil kuat. Tiada sesiapa pun yang kelihatan di mana-mana. Hanya daun pokok-pokok pisang yang asyik melambai ke kiri dan ke kanan gara-gara ditiup angin. Ema berdehem kuat, matanya melilau memandang keadaan sekeliling untuk memeriksa kalau-kalau ada mata-mata yang memandangnya ketika itu.

"Selamat, tak ada orang!" Bisik Ema lega.

Pantas kakinya meluru ke arah tanah di bawah rumah Mustafa. Tiang rumah yang terletak di bahagian tengah-tengah ditujunya dengan agak tergesa-gesa. Kayu panjang dan keras yang tergeletak berhampiran dengan rumah Mustafa digapai dan digunakan untuk mengorek lubang sedalam yang mungkin. Usai mengorek lubang tanah, Ema mengeluarkan botol minyak yang kecil dari poket baju tidurnya.

Arahan yang diberikan oleh Mak Itam beberapa hari sebelumnya dilakukan tanpa perasaan takut dan ragu-ragu. Yang penting bagi Ema sekarang, Mustafa mesti menjadi miliknya. Mesti! Maria atau pun Ilyana tidak akan dapat menjadi penghalang, tidak akan!

Meski darah sendiri tepaksa dititiskan untuk memastikan sihir ilmu hitam tersebut berkesan. Meski dia sendiri terpaksa keluar tengah-tengah malam buta begini hanya untuk menanam minyak tersebut di bawah rumah Mustafa. Ema tidak peduli. Dia sanggup! Walaupun dia tahu andainya dia berjaya nanti, ilmu hitam tersebut tidak akan tamat. Masih "ada" yang perlu dijamu. Itu yang Mak Itam pernah cakap, risiko yang perlu Ema tanggung sendiri.

"Buka kalangkah, bunga penyeri. Keseriku naik ke dahi."

Terkumat-kamit mulut Ema membaca mantera dan darah dari jari manisnya dititiskan ke dalam botol minyak tersebut. Kemudian, botol minyak itu ditanam. Ketika itu, Ema merasakan ada sesuatu yang sedang berdiri bersama dengannya, sesuatu yang mungkin dimaksudkan oleh Mak Itam tempoh hari.

"Jangan takut, Ema. Jangan takut!" Ema memujuk dirinya sendiri.

Usai menyelesaikan "kerja", Ema bergegas meninggalkan bawah rumah Mustafa. Tercungap-cungap nafas Ema, matanya masih memandang ke kiri dan ke kanan, masih risau kalau-kalau ada jiran-jiran ternampak dirinya mencangkung di bawah rumah Mustafa sebentar tadi.

Ketika sampai di rumah, cepat-cepat Ema menutup pintu. Perasaan cemas dan gelabahnya masih bermaharajalela, takut! Mungkin ini memang kerja gila, ya, memang kerja gila! Tiada sesiapa yang sanggup keluar tengah-tengah malam buta begini kecuali bagi orang yang mempunyai niat tertentu. Dan mungkin, seperti Ema, yang mempunyai niat untuk memiliki sesuatu yang bukan miliknya, walaupun dengan cara yang salah.

"Fuh, harap kali ini berjaya."

Ema melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu di ruang tamu, peluh di dahi diseka dengan lengan baju tidurnya. Nafas ditarik perlahan-lahan, jantungnya masih kencang berdegup. Dan serentak ketika itu juga, kedengaran suatu jeritan yang amat dahsyat dari arah rumah Mustafa.

"Dah kenakah?" Ema menyoal dirinya sendiri.

Pantas kakinya mengatur langkah menuju ke pintu. Pintu yang sudah ditutup dibuka semula, kepala dijengukkan ke arah rumah Mustafa. Kelihatan rumah yang sebentar tadinya gelap, bertukar menjadi terang-benderang kerana disinari cahaya lampu. Suara jeritan jelas kedengaran dengan sangat kuat, sungguh menakutkan.

Rumah jiran-jiran yang tadinya gelap turut turut menjadi terang, lampu rumah masing-masing dibuka. Masing-masing bergegas menuju ke rumah Mustafa dengan wajah cemas. Jeritan kedengaran semakin galak dan orang-orang kampung kian memenuhi rumah Mustafa. Hanya Ema yang masih berdiri di atas tangga sambil tersenyum puas.

"Rasakan, kau Maria! Itulah akibat merampas kekasih aku!" Ema berbisik jahat, matanya merenung puas ke arah rumah Mustafa.

Beberapa minit kemudian, Ema masuk ke dalam rumah semula. Pintu rumah ditutup rapat-rapat, pesan Mak Itam masih segar di ingatan. Orang tua itu melarang Ema keluar dari rumah sehinggalah ke saat berita mengenai keluarga Mustafa tersebar luas ke seluruh kampung.

Ya, berita kematian Maria!

-Akan bersambung-


Novel Hipokrit Bab 11

-HIPOKRIT- (Bahagian 11)



"Aku tak faham betul dengan kau ni. Mikhail yang okay tu pun kau nak reject!" Mimie menggeleng perlahan, wajah Ilyana ditatap hairan.

"Everything was okay. Just let it be. That's not my priority!" Balas Ilyana dengan nada suara sedikit tegas.

Mimie mendengus kasar. Ilyana memang kadang-kadang agak degil dan kepala batu. Adakalanya dia rasa perlu membantah tindakan Ilyana, kerana bagi Marina, yang sepatutnya dilayan dengan kasar ialah Acha, bukannya Mikhail.

Tetapi Ilyana?

Terbalik pula dibuatnya.

Acha dibiarkan terus menganiaya dan Mikhail yang mahu berbuat baik pula dikasari dan langsung tidak diendahkan.

Susah!

Marina hanya mampu menggeleng perlahan.
Ketika dua sahabat itu melintasi selekoh menuju ke kampung, Meon yang sedang laju mengayuh basikal berhenti tepat di hadapan Ilyana. Keadaan itu menyebabkan Ilyana menjerit terkejut, bahagian bahu Meon dihempas dengan fail di tangan.

"Adeh! Adeh! Sakit, Yana!" Meon mengaduh kesakitan. Marina turut memukul tangan Meon dengan botol air biru lautnya. Mana taknya? Jantung Marina seakan-akan hendak tercabut dengan tindakan tiba-tiba si Meon.

"Kau ni memang sengaja eh?" Soal Marina kasar. Wajah gadis hitam manis itu menyinga.

"Tak! Tak! Aku cuma nak cakap dengan Yana. Aku ada benda nak beritahu dia." Pantas Meon membalas, suara lelaki berambut senget itu kedengaran cemas dan menggelabah.

"Kau nak cakap apa? Cakaplah!" Ilyana membentak agak kuat.

Meon menggaru-garu kepalanya seketika. Wajah Ilyana dan Marina dipandang silih berganti. Antara takut dan berani.

"Cakaplah!" Marina mendesak.

"Aku tau siapa yang malukan kau semalam, Yana. Aku tahu siapa yang conteng nama kau kat papan tanda tu." Beriya-iya Meon bersuara, peluh di dahi diseka dengan tangan.

"Kau tahu?" Ilyana menyoal agak ragu-ragu. Sukar untuk dia percaya kata-kata yang keluar dari mulut Meon. Rakan sekelasnya itu memang sudah terkenal dengan sikap suka mempermainkan orang lain. Manalah tahu kali ini Ilyana pula menjadi mangsa?

"Betul! Aku tak tipu!" Meon mengangguk-anggukkan kepalanya pantas saat melihat pandangan mata Ilyana yang ragu-ragu.

"Siapa punya kerja dan bukti apa yang kau ada?" Marina pula yang melontarkan pertanyaan.

"Semalam, ada pelajar kelas lain tengok Acha, Ika dan Sara conteng nama kau di papan tanda tu. Diorang beritahu aku sebab diorang tahu, hanya aku yang berani berhadapan dengan Acha and the gang tu!" Meon mendabik dada dengan bangga.

"Acha?" Ilyana menyoal malas. Sebenarnya dia sudah dapat mengagak itu angkara tiga sekawan yang amat membenci dirinya itu.

"Aku dah agak!" Marina bersuara yakin, sedikit nada dendam tersisa di hujungnya.

"Tak apalah. Biarkan saja!"

Ilyana mulai mengatur langkah semula. Marina dan Meon berpandangan sesama sendiri. Hanya itu reaksi Ilyana? Hanya itu?

"Pelik budak ni." Meon mengomel sendirian. Kepalanya digeleng-gelengkan perlahan.


-Akan bersambung-

Novel Hipokrit Bab 10

-HIPOKRIT- (Bahagian 10)



Mikhail berlari-lari anak menghampiri Ilyana dan Marina yang sedang melangkah keluar di bahagian pintu gerbang sekolah. Tangannya didepakan di hadapan Ilyana, cuba untuk menahan langkah kaki gadis itu yang sedang melaju.

"Eh, apa ni? Orang nak baliklah!" Ilyana meninggikan suara, pandangan tidak senang dilemparkan kepada Mikhail.

"Wait, Ilyana. Awak dapat jalan balik ke dengan keadaan cedera macam ni? Kalau tak, its okay, I can send you back. Nanti saya suruh ayah saya hantar awak ke kampung dulu before balik ke rumah kami." Mikhail bersuara separuh memaksa. Sedikit mendesak.

"Tunggu, saya luka kat pipi. Bukan di kaki. Saya masih boleh berjalan. Dan awak, tak perlu nak caring sangat kat saya. Saya naik bosan! Rimas!" Suara Ilyana agak meninggi.

Wajah Mikhail dipandang tajam. Lelaki yang satu ini juga tidak berhenti menyusahkan hidupnya. Sikap prihatin yang keterlaluan dan berlebihan.

Over!

"I just want to help you." Mikhail bersuara perlahan, wajah Ilyana yang masam mencuka diperhati dengan perasaan tidak mengerti.

Apakah suatu kesalahan untuk Mikhail ambil berat dan prihatin perihal Ilyana?

Ilyana tidak pernah membenarkan Mikhail bersahabat dengannya, gadis itu tidak suka. Jika mereka bergaul sekalipun, hanyalah sekadar rakan sebaya yang bersekolah di tempat yang sama. Bezanya Mikhail pelajar aliran sains dan Ilyana pula merupakan pelajar aliran sastera.

"I don't need your help. Marina ada, I don't need you. Please, go away!" Ilyana menarik tangan Marina agar segera meninggalkan Mikhail.

"Ilyana." Mikhail mengeluh panjang. Sukar benar dia hendak mengerti perasaan gadis berlesung pipit di pipi itu. Susah!

Laju kaki Ilyana mengatur langkah, pipinya yang bertampal dengan pembalut luka diraba-raba sambil berjalan. Marina hanya menurut langkah Ilyana, amat memahami sikap sahabat baiknya itu yang memang tidak berapa menyukai Mikhail.

"Aku tak fahamlah apa salahnya si Mikhail tu, dia hanya ambil berat pasal kau." Marina yang sejak tadi mendiamkan diri akhirnya bersuara.

"Aku tak suka. Aku tak suka dia ambil berat pasal aku. Tak suka! Dia hanya akan menambahkan masalah aku. Bukan mengurangkan!" Suara Ilyana tegas. Dahinya berkerut seribu.

"Kau bersangka baik dengan dia, boleh? Seperti mana kau selalu bersangka baik dengan orang lain. Dia terlalu baik dekat engkau, tahu tak?" Marina mengetap bibirnya geram. Kepalanya digelengkan perlahan.

"Kerana dia terlalu baiklah aku takut. Kau dapat jamin hati aku selamat kalau aku terus biarkan dia melayan aku baik sangat macam tu?" Ilyana melontarkan pertanyaan dengan suara bergetar.


-Akan bersambung-

Novel Hipokrit Bab 9

-HIPOKRIT- (Bahagian 9)



"Aku dengar ada nama orang kena conteng dekat papan tanda di tepi jalan semalam." Seorang gadis yang berjalan melintasi Ilyana bersuara sinis. Tiga orang rakannya di belakang ketawa mengekeh.

Ilyana mengeluh kecil.

Matanya masih terpaku ke arah nasi lemak di hadapannya. Suara-suara sinis yang semakin galak menyindir langsung tidak dipedulikan.

"Tapi, aku rasa gelaran "Hipokrit" tu memang sesuai untuk dia. Sesuai sangat!"

"A'ah! Aku setuju. Berlagak suci! Macam orang tak pernah buat dosa!"

"Menyampah! Munafik!"

Cacian dan makian terus dilemparkan kepada Ilyana. Suara hilai tawa bergema di kawasan kantin sekolah, menyebabkan ramai pelajar mulai berbisik sesama sendiri.

Ilyana masih diam.

Nasi lemak disuap perlahan ke dalam mulut. Air mata menitis perlahan, mengalir menuruni pipi gebu Ilyana. Suara-suara sinis semakin galak mengutuknya.

"Acha, korang memang tak ada kerja lain ke? Nak mengutuk orang je kerja kau dan kawan-kawan kau!" Marina yang muncul di situ bersama dengan sebungkus mee goreng tapau menjerit geram.

"Kami bukan mengutuk, kami cakap benda yang betul. Memang kawan baik kau ni hipokrit. Konon nampak baik tapi sebenarnya jahat tahap setan!" Acha membentak kuat. Bahu Ilyana ditolaknya kasar.

"Wei, kau jangan nak berani buat macam tu dekat Yana!" Marina bersuara kasar, dahi Acha ditujahnya kasar.

"Jahanam!" Acha menerpa pantas ke arah Marina.

Pergelutan hebat berlaku antara kedua-dua gadis tersebut. Beberapa orang pengawas sekolah cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku. Ilyana menarik tangan Marina, gadis itu sempat menepis kasar tangan Acha yang mencengkam kuat lengan Marina.

"Sudah!" Suara Ilyana kedengaran sedikit meninggi. Ditariknya tangan Marina meninggalkan kawasan kantin.

"Betina sial! Munafik!" Acha menjerit dengan lebih kuat dan kali ini tangannya mencakar kasar pipi Ilyana.

Kuku Acha yang panjang menyebabkan lima garisan luka di pipi gebu Ilyana, darah mulai menitis titik demi titik. Semua pelajar menjadi senyap tiba-tiba melihat pipi gadis berlesung pipit itu terluka. Ilyana meraba-raba bahagian pipi kanannya, terasa pedih dan perit.

Sakit!

"Apa yang berlaku?" Mikhail, ketua pengawas yang sebaya dengan Ilyana menyoal hairan. Wajah-wajah yang ada diperhati aneh. Dia baru sahaja selesai menangkap pelajar lelaki yang merokok di tandas sekolah sebentar tadi. Oleh sebab itu, dia langsung tidak tahu apa yang menyebabkan ramai pelajar berkumpul di hadapan kantin.

"Acha cederakan Yana!" Marina mengadu tidak puas hati. Luka di wajah Ilyana ditunjukkan kepada Mikhail.

"Ya Allah, kenapa sampai macam ni sekali? Cepat bawa dia ke bilik rehat, ada Puan Melati di sana. Boleh tolong rawat luka dia." Arah Mikhail tegas. Wajah Ilyana yang sudah kemerah-merahan diperhati bimbang.

"Dan kau, Acha. Ikut aku ke bilik guru disiplin!" Bentak Mikhail marah.

Acha mendengus kasar.

Wajah Mikhail direnung tajam.

"Bedebah!" Jerit Acha tidak berpuas hati. Mikhail menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Perangai Acha memang tidak pernah berubah.

Degil dan penuh kebencian.

Ilyana yang selalu menjadi mangsa.

Ya, Ilyana!

Marina memaut bahu Ilyana, ada air mata mengalir laju di pipi sahabat baiknya itu.

"Sabar, Yana. Sabar!"

Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Marina. Ilyana menghela nafas yang panjang sebelum kakinya mulai melangkah menuju ke bilik rehat. Tangan kanannya masih memegang pipi, sakit di luar, sakit lagi di hati.

Mungkin ini ujian.


Untuk menguji hati seorang Ilyana. Bertabahlah hati! Semuanya akan baik-baik saja.

Novel Hipokrit Bab 8

-HIPOKRIT- (Bahagian 8)



"Mak Itam buatkan untuk saya ye." Ema bersuara memujuk.

Mak Itam mengeluh panjang. Wang puluhan ribu ringgit sudah terbayang di hadapan mata, hatinya melonjak-lonjak membayangkan wang yang begitu banyak bakal menjadi miliknya. Pantas tangan Mak Itam menggapai botol kecil berisi minyak di dalamnya.

Perlahan-lahan, penutup botol tersebut dibuka. Lima batang jarum diletakkan di dalam botol tersebut dan kemudian, bibir orang tua bersanggul tinggi itu terkumat-kamit membaca sesuatu.

"Jagukku dekuk, erangku tungkang, lidahku patah."

Mantera yang dibaca oleh Mak Itam membuatkan bulu roma Ema tiba-tiba tegak berdiri. Ema menelan air liur, entah mantera apa yang dibaca oleh Mak Itam sehingga bulu roma Ema meremang sebegitu rupa. Usai sahaja Mak Itam membaca jampi serapahnya, minyak di dalam botol kecil tersebut digoncang-goncangkan kuat sehingga warnanya menjadi hitam.

"Kau tanam botol minyak ni dekat bawah rumah Mustafa pada waktu tengah malam. Pastikan tidak ada orang nampak kau waktu tu. Tanam di penjuru tiang rumah yang terletak di tengah-tengah. Tanam dalam-dalam, jangan bagi ada orang yang tahu. Dan sebelum kau tanam, kau baca mantera yang aku baca tadi dan titiskan darah dari jari manis kau lima kali dalam botol minyak ni." Suara Mak itam cukup bersahaja.

Ema menelan air liurnya lagi.

TItiskan darahnya sendiri?

"Darah saya?" Ema menyoal agak ragu-ragu.

"Ya, darah kau. Supaya bila si Maria tu mati nanti, taklah si Mustafa tu melekat pada perempuan lain. Kau jangan bimbanglah, Ema. Kali ini, pasti jadi. Sihir yang aku guna ni, bukan sembarangan. Lepas kau tanam, kau duduk je di rumah dan tunggu saja berita beberapa hari lepas tu."

Ema mengeluh kecil mendengar kata-kata Mak Itam. Darah pun darahlah, asalkan Mustafa akan menjadi miliknya. Tidak sabar rasanya hendak menunggu saat itu, saat di mana segala yang diimpikannya selama ini akan menjadi kenyataan. Ema tersenyum kecil, ketika itu nanti, sikap bongkak dan angkuh Ilyana juga tidak akan mampu menghalangnya.

"Tapi aku pesan dekat engkau, selagi kau tak dengar berita daripada keluarga si Mustafa tu, kau jangan sesekali keluar dari rumah. Aku tak akan tanggung kalau ada apa-apa benda lain yang berlaku kalau kau tak turuti pesan aku." Pesan Mak Itam serius.

Ema mengangguk perlahan sebagai tanda memahami.

"Baiklah, Mak itam. Akan saya ingat pesan tu." Gumam Ema perlahan.

Mak Itam menghulurkan botol minyak tersebut kepada Ema dan ketika menyambut huluran botol tersebut, Ema merasakan ada sesuatu yang tidak kena, hatinya berdegup kencang tiba-tiba. Bulu roma di bahagian tengkuknya meremang lagi.

"Dan kalau kau berjaya, jangan lupa jamu "dia" nanti!" Mak itam mengekeh ketawa.

"Jamu "dia", apa maksud Mak itam?" Ema menyoal dengan dahi berkerut.

Mak Itam langsung tidak menjawab soalan yang diutarakan oleh Ema, bahkan orang tua itu ketawa dengan lebih kuat. Ema menggerutu geram, tetapi lebih memilih untuk berdiam. Mak Itam memang kadangkala menjengkelkan, tetapi kalau tiada orang tua itu, susah juga Ema hendak melunaskan dendamnya.

Ya, dendam!

Dendamnya terhadap keluarga Mustafa.

Tiada misi yang lebih besar daripada itu.


-Akan bersambung-

Novel Hipokrit Bab 7

-HIPOKRIT- (Bahagian 7)



"Aku benar-benar berharap, kalau kau belajar jauh nanti seperti yang kau impikan selama ni, kau akan jumpa kawan yang betul-betul jujur dan ikhlas berkawan dengan kau." Ujar Daud dengan suara separuh berbisik.

"Jangan risaulah, Allah kan ada!" Ilyana tersenyum lebar, lengan Ziera dan Marina diraih erat.

Memang tadi, dia agak marah. Tetapi apabila difikir-fikir semula, tiada gunanya dia hendak menyimpan dendam. Langsung tidak berfaedah, hanya akan menambahkan kehodohan di hati, yang sudah pasti akan tergambar hodohnya di wajah. Hodoh hati dan hodoh wajah, apa lagi yang lebih hodoh daripada kehodohan hati yang turut mencemarkan kemanisan wajah?

"Aku masih nak tahulah siapa punya angkara tu." Ziera mencebik tidak puas hati.

"Dahlah, tak payahlah. Lunyai orang tu nanti korang kerjakan. Biarlah Allah balas. Sekarang, aku masih boleh handle tapi kalau dah parah sangat sampai melibatkan maruah keluarga aku, aku akan minta tolong korang. Okay?" Ilyana cuba memujuk. Wajah teman-temannya dipandang dengan senyuman kecil.

Ketiga-tiga temannya mengangguk perlahan. Sekeping hati yang mudah memaafkan, walau kadang nampak bengis dan sukar diramal dari luaran, itulah Iyana. Dia mungkin kadang gelak tidak menutup mulut, melompat sana sini, menjerit tidak tentu arah kerana marah tetapi hati Ilyana itu, sukar diramal. Perangainya boleh berubah dalam sekelip mata.

Unpredictable!

Keesokan harinya, ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah pada sebelah pagi, Ilyana yang sedang berjalan bersama Marina disapa oleh Ema. Terkejut besar Ilyana dan Marina melihat betapa "luar biasanya" keramahan Ema ketika itu.

"Kamu berdua nak ke sekolah ke?" Ema yang rambutnya panjang mengurai menyapa mesra, kebaya coklat yang disarungnya dibetul-betulkan seketika.

"Tak, kami nak pergi London!" Marina menjawab geram. Macamlah si Ema itu tidak tahu, sudah sah-sah di hadapan mata Ilyana dan marina mengenakan pakaian seragam sekolah. Ke mana lagi kalau tidak ke sekolah? Stupid never finish!

"Yana, ayah kamu ada bagi duit belanja? Kalau tak ada, nanti Auntie bagi dekat kamu. Mana tahu ayah kamu terlupa nak bagi duit belanja. Auntie bukan apa, risau, takut kamu kelaparan di sekolah nanti!" Ema mengipas-ngipaskan wajahnya dengan tangan.

Ilyana mengerutkan dahi.

Merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada hari tersebut.

Bagaimana mungkin orang tua yang selama ini sentiasa mengeji Ilyana tiba-tiba berbuat baik, bahkan menawarkan diri untuk memberi duit belanja sekolah kepadanya. Ada udang di sebalik batu. Atau mungkin Ema sudah insaf dan enggan bermulut jahat lagi?

Weirdo.

"Tak yah, orang ada duit belanja. Mak bagi." Jawab Ilyana agak dingin.

Reaksi wajah Ema serta-merta berubah saat mendengar perkataan "mak" disebut oleh Ilyana. Wajah Maria yang putih bersih mulai singgah di ruang matanya. Ema mendengus kasar, benci benar hatinya mengenangkan Maria. Sebagaimana dia membenci Maria, seperti itu jugalah dia membenci Ilyana, anak gadis sulung Maria yang memang mewarisi wajah ibunya. Persis!

"Dahlah, jangan layan sangat si gila ni!" Marina menderam marah. Tangan Ilyana ditarik agar segera meninggalkan Ema.

Ema mengetap bibir, langkah kaki dua gadis itu diperhati marah. Si gila? Berani betul Marina itu menggelarkan Ema sebagai si gila. Kalau tidak kerana si Marina itu cucu kepada Haji Ismail, sudah lama gadis itu juga turut dikeji dan dihina. Kebiadapan Marina itu sama sahaja dengan Ilyana, kurang ajar dan tidak tahu menghormati orang yang lebih tua.

Tudung sahaja berlapik di atas kepala tetapi perangai?

Hipokrit!

"Tunggu kau Ilyana, Tunggu kau, kau rasalah nanti bila aku jadi mak tiri kau! Tak lama mak kau tu hidup, orang yang merampas kekasih orang lain tak akan pernah hidup aman dan tenang. Kau rasalah nanti. Tunggulah kau!" Ema bersuara geram.

Kelibat Ilyana dan Marina sudah hilang dari pandangannya tetapi rasa geramnya terhadap dua orang gadis itu masih tersisa. Ema pantas mengatur langkah menuju ke destinasi, rumah Mak itam jadi tujuan. Rumah kayu milik orang tua bernama Mak Itam itu terletak agak jauh daripada orang ramai. Di belakang rumah orang tua itu terdapat tanah perkuburan dan di sekelilingnya terdapat pokok-pokok yang tumbuh meliar.

Sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Mak Itam, Ema memberi salam. Salam itu disambut perlahan. Seorang wanita tua, yang berusia dalam lingkungan tujuh puluh tahun keluar dari rumah kayu terpencil itu. Ema pantas menyalami tangan orang tua tersebut sebelum kedua-duanya masuk ke dalam rumah.

"Apa hajat engkau ke mari, Ema? Hendak menyuruh aku buat minyak pengasih lagi? Tak habis-habis engkau hendakkan si Mustafa tu, orang dah ada keluarga sendiri, tak payahlah kau kacau lagi!" Mak Itam mengunyah daun sirih, wajah Ema yang tersenyum lebar diperhati jengkel.

"Mak Itam, saya ke sini bukan nak minta minyak pengasih. Tapi saya nak minta benda lain. Kalau setakat mintak pengasih, sampai bila-bila Mustafa tak akan jadi milik saya. Saya kena ikhtiar cara lain." Ema tersenyum jahat. Rambutnya yang ikal mayang dibelai lembut.

"Cara apa lagi?" Mak Itam menyoal tidak mengerti.

Ema mendekatkan bibirnya ke telinga Mak Itam, membisikkan sesuatu yang membuatkan wajah Mak Itam bertukar pucat dan takut-takut. Ema tersenyum lebar setelah selesai memberitahu Mak Itam mengenai cadangannya, wajah Mak itam ditatap puas.

"Kau gila, Ema. Takkan kau tergamak nak buat semua tu!" Suara Mak Itam kedengaran terketar-ketar, menandakan orang tua itu sedang berasa cemas dan takut yang teramat.

"Mak Itam, Mustafa tu dulu saya yang punya. Maria tu merampas je. Sekarang, Mak Itam kena tolong saya. Supaya saya dapat capai apa yang saya nak. Saya sanggup bayar berapa pun asalkan Mustafa tu jadi milik saya. Lima ribu? Sepuluh ribu? Dua puluh ribu? Berapa yang Mak Itam nak, saya akan bagi. Asalkan "benda" yang saya nak tu, Mak itam berikan pada saya."

Mulut Mak itam terlopong mendengar jumlah bayaran yang disebut oleh Ema. Memang banyak jumlahnya, rugi jika Mak Itam tidak mengambil peluang itu untuk meraih pendapatan yang lebih. Lagi pula selama ini, bukannya Mak itam tidak pernah berbuat semua perkara itu. Sihir dan ilmu hitam memang cara untuk Mak itam menyara kehidupannya sendiri. Walaupun terpaksa memporak-perandakan kehidupan orang lain.

Suami dan isteri bercerai-berai.

Minyak pengasih untuk memikat lelaki.

Guna ilmu hitam untuk bunuh orang.

Sihir porak-peranda hidup keluarga yang aman-damai.

Semuanya Mak Itam pernah lakukan atas keinginan pelanggan yang datang kepadanya dan menawarkan harga yang cukup tinggi. Ada yang datang jauh daripada bandar dan tidak kurang juga, penduduk kampung sendiri yang juga ada datang untuk bertemu dengannya. Kebanyakkannya ialah anak-anak gadis yang meminta digugurkan kandungan dengan menggunakan cara sihir dan ilmu hitam.


-Akan bersambung-

Novel Hipokrit Bab 6

-HIPOKRIT- (Bahagian 6)



Ziera dan Daud merenung wajah Ilyana dengan dahi yang berkerut. Entah apa yang difikirkan oleh dua orang sahabat baiknya itu, Ilyana sendiri juga tidak pasti. Sejak tadi, Zieyra dan Daud tidak berhenti mendesak Ilyana agar menceritakan perkara yang sebenar, kedua-duanya kelihatan masih tidak berpuas hati walaupun telah mengetahui cerita yang sebenar melalui Marina.

"Kau betul-betul tak tahu ke siapa yang buat?" Daud mendengus kasar, wajahnya kemerah-merahan menahan rasa. Entah siapa yang tergamak melakukan perbuatan bacul dan pengecut seperti itu.

"Tak, aku betul-betul tak tahu, Daud!" Jawab Ilyana serius.

"Hati kau? Hati kau tak ada rasa sapa yang sengaja burukkan nama kau ni? Wei, sedangkan aku dapat detect dua nama yang berani buat kau macam ni, kenapa pulak kau tak dapat rasa? Kau sengaja eh, sembunyikan dari kami semua?" Ziera membengkeng marah.

"Bukan aku tak dapat rasa, Ziera. Memang aku dapat rasa pasal dua orang tu tapi aku tak nak ajar hati aku untuk bersangka-sangka. Nanti tak pasal-pasal timbul fitnah. Aku tak berani. Biarlah! Kalau betul pun salah seorang dari mereka yang buat, perbuatan mereka langsung tidak mendatangkan kemudaratan pada aku."

Ziera merenung wajah Ilyana dengan mulut terlopong.

Biarkan? Boleh pula dia suruh biarkan saja!

Marina pula hanya mengeluh kecil. Tidak tahu apa yang harus disuarakan. Ilyana memang tidak suka bersangka buruk pada orang lain, Marina tahu itu. Tetapi kadang-kadang, sangkaan baik gadis berusia 17 tahun itu selalunya memakan dirinya sendiri. Contohnya, bersangka baik pada Ema yang sedang duduk berbual dengan jiran-jiran padahal wanita jahat itu sebenarnya sedang mengumpat Ilyana. Marina benar-benar tidak faham, untuk apa bersangka baik kepada orang yang susah terang-terangan membenci dan berniat ingin menjatuhkan?

"Sangkaan baik kau selalu meleset! Sebab itu kau selalu jadi bahan umpatan orang kampung, kau tak berani nak siasat siapa yang buat onar dekat engkau. Kalau aku, dah lama orang tu aku kerjakan. Yana, aku tak hairan kalau suatu hari nanti, dia boleh culik dan bunuh engkau, sebab kau tu terlalu bersangka baik!" Ziera menggerutu geram.

Ilyana menggeleng perlahan.

Dia memang tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Menuduh memang senang, tetapi jika bukti tiada, tidak berguna juga. Walaupun hatinya kuat mengatakan dia tahu siapa punya angkara itu, Ilyana tetap tidak mahu memberitahu. Bimbang pula nanti kalau-kalau Daud naik hantu. Silap hari bulan, ada yang kena parang pula nanti.

"Aliff belum tahu pasal ni." Daud bersuara perlahan.

"Dan kalau dia tahu, tak mustahil dalam sekelip mata dia boleh cari bukti untuk mengetahui siapa yang tulis ayat tu dekat papan tanda. Well, we know him very well. Nampak je macam pendiam tapi dalam diamnya itu, otaknya bergeliga. Selama ni,dia tak pernah gagal lagi dalam perkara siasat-menyiasat ni."Marina mengetuk-ngetuk meja, bibirnya tersenyum lebar.

"Yes, I know him very well." Ilyana tergelak kecil.

Tetapi ada bimbang juga terselit di hati.

Habislah orang yang berbuat angkara itu selepas ini.

Habis!

"That's why aku tak risau sangat tapi yang aku risau ni, kau tu, Yana. Sometimes, bersangka baik kau tu mesti bertempat. Macam mana kalau kau dah masuk universiti, belajar tempat jauh nanti, susahlah kalau kau terus macam ni! Kalau kami berempat ada, its okay. Tapi nanti, manalah kami berempat dapat temankan kau. Kau mesti hati-hati, jangan fikir semua orang baik-baik belaka. Dunia ini kadang tidak adil, Yana. Kalau kau tak pandai bawa diri, kau akan ditindas sesuka hati."

Ilyana menghela nafas yang panjang mendengar kata-kata Ziera. Mulutnya dimuncungkan sedikit, cuba memproses kata-kata Ziera di dalam mindanya.

"Aku dah jumpa macam-macam jenis orang dalam dunia ni, Yana. Aku memang buat benda-benda tak senonoh tu tapi aku tetap rasa jijik dan benci bila tengok perempuan bertudung sesuka hati buat maksiat dengan boyfriend dia dalam semak. Depan mata aku! Aku benci tengok orang macam tu sebab aku ada kawan-kawan yang juga bertudung, tetapi turut terkena tempias akibat perbuatan segelintir manusia bodoh macam tu. Kau jangan fikir orang yang nampak suci dan baik depan kau tu betul-betul baik dan tulus. Aku dah banyak jumpa, Yana. Banyak sangat! Sebab tu aku ni over protective dekat kawan-kawan aku." Daud menderam, nafasnya turun naik tidak tentu arah.

"Aku faham niat baik korang." Ilyana memandang wajah tiga prang sahabat baiknya itu dengan pandangan serba-salah. Mana tidaknya, ketiga-tiga wajah itu sedang merenungnya dengan renungan geram dan marah.

Memang dirinya selalu diingatkan agar jangan terlalu bersangka baik.

Tetapi, Ilyana?

Masih juga begitu. Langsung tidak pernah berubah. Entahlah, Ilyana sendiri tidak mengerti, setiap kali dia mahu mengajar hatinya agar bersangka buruk pada seseorang, pasti ada sahaja sudut positif orang tersebut muncul tiba-tiba. Sehingga Ilyana sendiri menjadi hairan dan naik bimbang.

"Kami sayang kau, sebab tu kami cakap macam tu. Kau tu polos dan naif sangat, orang sesuka hati nak permainkan kau." Ziera mengeluh berat. Bahagian belakangnya disandarkan ke bahagian dinding.


-Akan bersambung-

Novel Hipokrit Bab 5

HIPOKRIT- (Bahagian 5)



Ilyana memandang wajah-wajah yang dikenalinya satu persatu sebelum gadis itu mula menyambung langkah yang tergendala. Marina berlari-lari anak mengejar langkah sahabat baiknya itu daripada belakang.

"Kalau ya pun, slowlah sikit jalan." Marina tercungap-cungap cuba menyaingi langkah kaki Ilyana.

Ilyana nampaknya langsung tidak peduli, kakinya terus pantas mengatur langkah. Sebaik sahaja tiba di rumah, gadis itu langsung tidak bersuara memberi salam tetapi sebaliknya terus menerpa masuk ke dalam biliknya.

"DAMN!" Jerit Ilyana agak kuat.

Beg sekolah yang berwarna merah dan hitam dicampakkan kasar ke atas lantai. Tudung sekolah di atas kepala direntap kasar dan dilemparkan ke arah rak buku.

"Yana, kenapa dengan kamu ni? Balik sekolah terus mengamuk! Beri salam pun tak ada." Maria, si ibu muncul tiba-tiba dengan wajah yang berkerut di hadapan pintu bilik anaknya.

Ilyana hanya mendiamkan diri.

Langsung tidak menjawab.

"Ilyana!" Suara Maria kedengaran lebih tegas dari sebelumnya. Wajah anak gadisnya yang kemerah-merahan diperhati serius. Orang tua itu berdiri sambil bercekak pinggang.

"Tak ada apa-apa!" Pantas Ilyana menjawab. Langsung tidak mahu memandang wajah si ibu. Matanya hanya merenung marah ke arah beg sekolahnya di atas lantai.

Maria mengeluh berat. Hatinya dapat merasakan ada sesuatu yang sengaja disembunyikan oleh Ilyana. Tetapi untuk mendesak Ilyana memberitahu perkara yang sebenar ketika ini, mungkin bukan tindakan yang tepat. Emosi anak daranya itu masih tidak menentu dan masih memerlukan waktu untuk bertenang.

"Dah, pergi makan kat dapur." Ujar Maria lembut sambil mengatur langkah meninggalkan bilik Ilyana.

Ilyana mendengus kasar. Panas juga hatinya. Entah siapa punya angkara! Si Ema berambut ikal mayang itu mungkin? Atau si Acha yang memang sentiasa tidak berpuas hati?

"Ah, pening!" Ilyana mengeluh kecil. Gadis itu merebahkan dirinya ke atas katil.

"Ilyana!" Si ibu menjerit lagi dari arah dapur.

Ilyana menutup telinganya dengan bantal. Selimutnya ditarik menutupi keseluruhan badannya. Kipas angin di atas siling dipasang sekuat-kuatnya. Apa pun yang terjadi, Ilyana mahu tidur terlebih dahulu. Biar hilang pening kepalanya.

Settle!

Maria yang naik hairan melihat anak daranya tidak muncul-muncul juga di dapur meninjau semula ke bilik Ilyana. Mengucap panjang orang tua itu melihat Ilyana berbungkus dengan selimut.

"Haih, apalah nasib aku dapat anak dara macam ni? Tengah hari terik berbungkus dalam bilik!" Maria menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.

Orang tua itu melangkah semula menuju ke dapur sambil membebel panjang. Dan Ilyana pula semakin galak memejamkan mata, memaksa diri untuk terlena.

Biar reda marah di hati.

Biar luput dendam di sanubari.

Biar!


-Akan bersambung-

Novel Hipokrit Bab 4

-HIPOKRIT- (Bahagian 4)



Beberapa minit kemudian, Cikgu Kasim masuk ke dalam kelas. Semua pelajar 5A1 diminta menghantar esei yang diberikan sebagai kerja rumah pada hari Jumaat minggu yang lepas. Meon kelihatan tergesa-gesa, tangannya semakin pantas menulis. Pelajar-pelajar yang lain sedang sibuk menghantar tugasan esei masing-masing tetapi Meon masih tetap di tempat duduknya.

"Meon, tengah siapkan esei ke?" Cikgu Kasim menyoal dengan kening yang terangkat sebelah. Wajah Meon yang cemas diperhati sambil tersenyum lebar.

"Dah siap, cikgu!" Pantas Meon meletakkan kertas eseinya di atas meja guru sebelum berlari semula menuju ke tempat duduknya. Cikgu Kasim tergelak kecil, dia dapat mengagak bahawa Meon telah menyiapkan esei di saat-saat akhir.

Pada hari itu, Cikgu Kasim tidak mengarahkan pelajarnya mengarang esei memandangkan kelasnya ialah kelas terakhir pada hari tersebut. Sseorang demi seorang pelajarnya disuruh mendeklamasikan sajak yang terdapat di dalam buku. Bagi yang memang suka bersajak, itu memang bukan suatu yang bermasalah tetapi bagi pelajar nakal seperti Meon, bait-bait sajak tersebut dinyanyikannya seperti sebuah lagu. Habis satu kelas ketawa gara-gara pelajar lelaki berambut senget itu.

Sebaik sahaja loceng terakhir berbunyi, semua pelajar kelihatan kelam kabut mengemas barang masing-masing. Usai sahaja Cikgu Kasim keluar daripada kelas, pelajar 5A1 mulai berebut-rebut dengan pelajar kelas lain di bahagian koridor blok C hanya kerana ingin cepat keluar dari kawasan sekolah.Berbeza dengan Ilyana, dia masih tenang berdiri di hadapan pintu kelas sementara menunggu keadaan di koridor bertukar lengang.

"Yana!" Marina yang sedang menggalas beg sekolah berwarna biru berjalan dengan penuh gaya ke arah Ilyana. Gadis yang belajar di kelas 4A3 kelihatan agak mengantuk.

"Kau mengantuk?" Soal Ilyana agak pelik. Wajah Marina ditatap dengan dahi berkerut.

"A'ah, waktu Sejarah waktu last." Marina menjawab perlahan.

"Sejarah best apa? Aku suka sejarah, tanpa sejarah, kita tidak akan mampu belajar dari kesilapan lalu. It's worth to learn about history." Ilyana cuba memberi pandangannya yang tersendiri.

"Itu kau, bukan aku. Aku suka PSV. Seni Visual! Dahlah, jomlah balik. Perut aku dah berkeriuk lapar ni." Marian menguap, mulutnya ditutup dengan tangan kanan. Mengantuk!

Memandangkan keadaan sudah agak lengang, Marina dan Ilyana mulai mengatur langkah untuk pulang. Sepanjang perjalanan pulang, Marina tidak berhenti bercerita mengenai betapa seronoknya tugasan PSV kelas mereka. Ilyana hanya mampu mengangguk perlahan dan sesekali, gadis berlesung pipit di pipi itu turut menyampuk.

"Eh, apa yang diorang berkumpul ramai-ramai tu?" Ilyana menyoal aneh ketika melihat ramai remaja yang berpakaian sekolah berkumpul di bahagian selekoh menuju ke kampung.

Ilyana dan Marina berpandangan sesama sendiri sebelum kedua-duanya bergegas berlari menghampiri gerombolan pelajar tersebut. Sampai sahaja di tempat itu, Marina dan Ilyana menyedari beberapa orang pelajar Tingkatan Lima turut berada di situ, hanya pelajar-pelajar tersebut bukan rakan sekelas Ilyana.

"Eh, Ilyana pun ada di sini?" Sarah, gadis berhidung mancung dan bermata agak sepet menegur Ilyana.

"Ya saya, kenapa?" Ilyana menyoal kembali.

"Yana, cuba kau tengok apa yang tertulis di papan tanda tu." Marina menjuihkan bibirnya ke arah papan tanda berwarna putih di hadapan mereka. Di papan tanda putih tersebut, tertulis ayat "ILYANA PEREMPUAN HIPOKRIT" padanya. Ayat tersebut ditulis menggunakan cat berwarna merah yang sangat terang.

"Ya Allah, siapa punya kerja ni? Sampai nak mengaibkan orang macam ni sekali!" Riduan, pelajar kelas 5S1 turut bersuara terkejut. Semakin banyak pelajar yang dalam perjalanan menuju ke kampung berkumpul di kawasan selekoh itu.

Ilyana terdiam, matanya hanya merenung tulisan berwarna merah itu dengan pandangan yang sukar dimengerti. Siapa yang tergamak menulis ayat tersebut di situ? Sejahat itukah dirinya sehingga ada yang sanggup memalukan Ilyana di khalayak ramai?

"Ini cat putih bapak aku, aku ambik kat rumah tadi. Cat semula papan tanda tu, buang tulisan berwarna merah tu." Asri, rakan sekelas Ilyana datang ke tempat itu sambil di tangannya membawa satu tin cat yag berwarna putih dengan dua batang berus. Wajah Ilyana sempat dipandangnya sekilas. Masih tenang seperti biasa, wajah yang tiada perasaan.

Tin cat dibuka dan ketika Asri hendak mulai mengecat papan tanda putih itu, pantas tangan Ilyana merampas berus cat dari tangan lelaki tersebut. Gadis yang masih berpakaian seragam sekolah itu mengecat dengan penuh geram dan marah. Sesekali, papan tanda itu kelihatan seakan-akan hendak roboh kerana ditekan-tekan kuat oleh Ilyana.

"Dah siap!" Ilyana memulangkan semua berus cat kepada Asri sebaik sahaja selesai mengecat. Papan tanda berwarna putih direnung puas, tiada lagi namanya dan gelaran "Hipokrit" yang dilemparkan kepadanya terpampang di situ.

"Siapa yang berani buat benda macam ni kat kau, Yana?" Sarah menyoal dengan dahi berkerut.

"Sapa-sapa yang tak takut dosa." Ilyana menjawab ringkas.

"Ha'ah, jawapan yang klise seperti biasa daripada Ilyana Nasuha!" Asri menggeleng perlahan, sempat tergelak kecil mendengar jawapan daripada Ilyana.

"Orang yang buat macam ni orang pengecut je. Orang berani tak akan buat macam ni. Dah dia tak dapat nak apa-apakan Ilyana, sebab tu dia pergi malukan Yana pulak." Marina mengetap bibirnya geram.

Yang lain hanya mengangguk-anggukkan kepala mendengar kata-kata Marina. Memang benar, orang yang benar-benar berani tidak akan melakukan perkara tersebut walaupun terhadap orang yang paling dibencinya. Tindakan seperti itu hanyalah tindakan seorang pengecut yang bacul. Penakut!

"Orang yang berani dan orang yang bermaruah tinggi, dia tetap akan menjaga aib dan air muka seseorang itu, walaupun seseorang itu ialah musuh ketat yang paling dibenci olehnya di dunia ini." Ilyana bersuara sinis, bibirnya tersenyum jahat.

"Walaupun itu musuh dia?" Sarah menyoal agak ragu-ragu.

"Jadi musuh, biar jadi musuh yang bemaruah."

Semua yang ada di situ berpandangan sesama sendiri mendengar ayat yang diungkapkan oleh Ilyana. Menjadi musuh yang bermaruah? Di mana hendak mencari musuh yang bermaruah, yang tidak membongkar aib orang yang dibenci kepada seluruh dunia? Di mana?

Mungkin Ilyana satu-satunya musuh yang akan berbuat seperti itu.

Musuh yang menjaga aib musuhnya sendiri.

-Akan bersambung- —


Novel Hipokrit Bab 3

-HIPOKRIT- (Bahagian 3)



Suasana di dalam kelas 5A1 riuh-rendah. Suara jeritan nakal penghuni 5A1 hampir kedengaran di seluruh blok C. Nakal memang nakal, tetapi guru tetap sayang. Senakal-nakal mereka, tidaklah sampai ke tahap biadap dan kurang ajar terhadap guru yang mengajar mereka.

Beberapa orang pelajar berbangsa Cina sedang sibuk menelaah pelajaran dalam suasana riuh-rendah tersebut. Dan nun di suatu sudut di bahagian belakang kelas, Ilyana sedang asyik membaca buku Kesusasteraan Melayu Tingkatan Lima. Khusyuk dan langsung tidak terganggu dek bunyi bising rakan-rakan sekelasnya.

"Yana, kerja rumah Bahasa Melayu kau dah siap? Nanti cikgu Kasim masuk dan aku pulak belum siap lagi, bagi aku pinjam. Nak salin jawapan!" Meon, pelajar paling nakal dan paling pemalas di dalam kelas 5A1 bersuara memujuk, punggungnya dilabuhkan di kerusi kosong di sebelah Ilyana.

Ilyana merenung kosong wajah rakan sekelasnya yang dipenuhi jerawat itu. Gadis itu diam seketika. Bibirnya diketap!

"Kau rasa aku nak bagi?" Soal Ilyana dengan suara sinis.

"Of course kau bagi, kau kan kawan baik aku!" Yakin benar suara Meon memberikan jawapan.

Maisara tersenyum sinis.

Kawan baik ya?

Kawan baik waktu kerja rumah tak siap saja. Kalau waktu lain, Ilyana ibarat patung yang diperlekehkan dan dijadikan bahan ketawa seisi kelas.

"Stop dreaming! I will not give it to you. Ada tangan, ada otak. Boleh tulis dan fikir sendiri." Ujar Ilyana agak marah.

Meon mengeluh panjang.

Susahlah kalau begini.

Berbirat tangannya selepas ini dirotan Cikgu Kasim. Itu masih baik kalau dirotan, kalau dihukumnya mencuci tandas selepas habis waktu persekolahan? Mampus Meon! Balik lambat pulak nanti!

"Yana, please!" Meon tetap merayu. Wajah memohon belas kasihan ditunjukkan kepada Ilyana.

"Don't ever think you can do everything you want on me, Sameon Bin Kudin! I'm not stupid." Ilyana membentak keras.

"Wuuuuu, orang speaking tuuu! Nak tunjuk diri terror BI." Jaafar yang sedang duduk berlunjur kaki di atas meja bersuara menyindir.

Ilyana malas hendak melayan. Bacaannya yang tergendala disambung semula.

"Sampai hati kau, Yana." Suara Meon kedengaran kecewa. Anak muda itu segera kembali ke tempat duduknya sendiri dengan wajah yang sugul.

"Tak ada orang lainkah dia mahu pinjam? Setiap hali mau pinjam sama kamu." Siew Ling, gadis Cina yang duduk di hadapan Ilyana melontarkan pertanyaan.

"Entahlah. Hobi dia kot." Jawab Ilyana ringkas. Tidak tahu jawapan apa lagi yang lebih tepat diberikan sebagai jawapan.

"Pelik itu orang!" Siew Ling bersuara aneh, kepalanya digeleng-gelengkan perlahan.

Ilyana mengeluh kecil. Dari jauh, Meon yang duduk di hadapan sekali diperhati. Lelaki berambut senget itu sedang berusaha menyiapkan esei Bahasa Melayu dengan sangat bersungguh.

"Hmm, at least dia usaha sendiri daripada dia meniru." Ilyana berbisik sendiri.


-Akan bersambung- —

Novel Hipokrit Bab 2

-HIPOKRIT- (Bahagian 2)



"Engkau ni pun satu, Daud. Yang sampai cakap nak putus kawan tu kenapa? Aku kenal hati perut Yana ni, tak adanya nak tinggalkan kawan-kawan dia macam tu je. Kalau dia nak, dia boleh je tak kawan dengan aku yang freehair dan couple sana sini ni." Ziera menggerutu geram. Tak pasal-pasal Ilyana menangis gara-gara si Daud.

Daud tergelak kecil.

Jejaka berbaju kelabu itu menggeleng perlahan. Memang dia kenal siapa Ilyana. Mereka berkawan bukan setahun dua tetapi sudah terlalu lama.

"Dahlah tu, Yana. Buah hati kau apa khabar? Si rambut terpacak macam ekor kucing mengawan tu!" Daud cuba menukar topik.

Marina ketawa besar mendengar kata-kata Daud. Si rambut terpacak macam ekor kucing mengawan?

"Wei, sejak bila si rambut terpacak tu jadi buah hati aku? Mulut kau jaga sikit eh." Sempat Ilyana menjerit marah dalam tangisan. Teman-temannya yang lain hanya mampu tergelak, sudah masak benar dengan perangai gadis bernama Ilyana Nasuha itu.

"Relaks, relaks!" Aliff bersuara menenangkan Ilyana. Dan Ilyana pula mengetap bibirnya geram.

Sedang asyik mereka mengetawakan Ilyana, mereka langsung tidak menyedari sesosok badan gempal dan gelap sedang memerhati dengan iri. Sosok itu duduk di atas tangga rumahnya yang berada di hadapan rumah Ilyana. Memandang dengan penuh dengki, dan mulutnya pula tidak berhenti terkumat-kamit menyumpah seranah.

"Haih, kau ni dok memerhati rumah si Mustafa tu dari tadi dah, Ema. Apa yang menarik sangat tu?" Mak Minah, orang tua berkain batik yang sedang menyidai kain di ampaian menegur dengan dahi berkerut.

"Bukan apa, Mak Minah. Tak senang hati aku tengok Ilyana, anak si Mustafa tu berkawan dengan budak-budak tak tentu arah. Berkawan dengan kaki botol, kaki hisap gam, macam tak ada orang lain dia nak jadikan kawan." Ema mendengus kasar, wajah Ilyana dan teman-teman gadis bertudung hijau itu ditatap tajam dari jauh.

"Biarlah dia. Dulu Yana tu berkawan dengan Marina, cucu Haji Ismail tu, kau tak puas hati. Kau kata Ilyana tu berlagak sebab berkawan dengan cucu seorang Haji. Sekarang pun, dia berkawan dengan Daud, Aliff dan Ziera pun kau tak puas hati." Mak Minah bersuara hairan.

Wajah Ema yang agak gelap diperhati pelik. Entah apa masalahnya sehingga Ema selalu tidak berpuas hati dengan keluarga Mustafa, terutamanya terhadap Ilyana, anak gadis sulung Mustafa dan Maria.

"Dah dia memang berkawan dengan orang jahat! Daud tu, tiap-tiap malam meneguk arak. Ziera tu pulak tidur dengan lelaki. Tengoklah nanti, lama-lama nanti tak adanya budak Yana tu nak menyarung tudung lagi." Ema tetap mempertahankan hujahnya. Baginya, Ilyana memang tidak pernah betul. Ada sahaja yang tak kena di matanya.

Bertudung, dikata berlagak alim.

Bila berkawan, dituduh itu ini.

Duduk memerap di rumah, dikata pemalas.

Memang ada sahaja kesalahan Ilyana di matanya. Semuanya tidak pernah betul.

"Suka hati kaulah, Ema. Yang aku tahu, Ilyana tu tak bermasalah. Mungkin kau yang bermasalah agaknya, masalah otak!" Mak Minah mencebik bibir.

Pantas orang tua berkain batik itu masuk ke dalam rumahnya. Malas hendak melayan jiran bermulut puaka di sebelah rumahnya itu.

Ema yang masih duduk di atas tangga rumah menyumpah seranah. Berani benar Mak Minah mengatakan Ema mempunyai penyakit otak.

Dasar orang tua gila!

Pandangannya dilemparkan semula ke arah Ilyana yang kini sedang tersenyum lebar. Gadis berlesung pipit di pipi itu sedang seronok memeluk tubuh Marina dan Ziera.

"Tak lama kau dapat gembira macam tu, Yana. Lepas ni, kau tak akan mampu tersenyum macam tu lagi."

Senyuman jahat terukir di bibir Ema. Rambutnya yang ikal mayang disentuh lembut. Matanya mengecil jahat.

Dan beberapa minit selepas itu, azan Asar kedengaran berkumandang dari arah masjid kampung. Ilyana yang sedang duduk di beranda rumah segera berlari ke dalam rumah. Daud dan Ziera pula menoleh ke arah Ema dengan pandangan curiga dan berbaur perasaan benci.

Menyedari dirinya direnung tajam, Ema segera masuk ke dalam rumah. Pintu rumahnya dihempas kuat.

"BAM!!!"

Ziera tersenyum sinis melihat gelagat wanita berambut ikal mayang itu dari jauh.

"Pontianak sesat!" Ziera menggumam kasar. Melihat wajah Ema dari jauh sahaja sudah menimbulkan rasa marah yang meluap-luap.

"Wei, mulut!" Marina tergelak besar mendengar dua patah perkataan yang terkeluar dari mulut Ziera. Sudah pasti gelaran itu ditujukan kepada Ema, siapa lagi kalau bukan wanita itu?

Marina tahu benar "secret code" mereka berlima. Lucu!

"Pontianak sesat." Aliff turut menyampuk sambil ketawa.


-Akan bersambung